lengkung itu indah, indah itu hanya pada G4

Share Button

Hari ini, TheSkop berpeluang memegang dan menguji telefon panas, LG G4. Anda mahu tahu apa yang kami lihat?

LG G4 yang dapat kami cuba ini, mempunyai penutup belakang seramik, tetapi ia masih mempunyai rasa plastik polikarbonat. Walabagaimanapun, ia terasa lebih teguh berbanding plastik polikarbonat telefon pintar yang lain. Tekstur 3D yang terdapat di belakang, walaupun kurang meluncur dari tangan sebab licin, tetapi terasa sedikit kurang selesa di dalam genggaman. Bagaimanapun, ia turut bergantung kepada kegemaran pengguna sendiri.

Pandang Pertama LG G4 - LG G4 depan Pandang Pertama LG G4 - LG G4 belakang

Satu yang pasti, rekaan lengkung slim-arc pada LG G4 ini memang selesa dipegang. Nipis tidak penting, tetapi keselesaan menjadi keutamaan memang sangat tepat. Apatah lagi, LG mengatakan rekaan lengkung sebegini membantu mengurangkan impak semasa jatuh. Ini meningkatkan kadar ketahanan telefon di masa tidak terduga.

Pandang Pertama LG G4 - LG G4 belakang kamera

LG juga mengekalkan kedudukan butang kuasa dan kawalan bunyi di belakang telefon. Untuk ini, kami agak bersetuju dengan kesesuaian posisi butang ini, yang memberi kesamarataan kepada pengguna tangan kanan serta tangan kiri. Tetapi kadang-kala, jika telefon diletakkan di atas meja, sukar juga untuk mencapai butang sebegini. Contohnya, mahu menguatkan bunyi ketika mendengar lagu. Tapi jangan lupa, skrin LG G4 boleh dihidupkan dengan mengetuk skrin sahaja.

Pandang Pertama LG G4 - selelah S6 depan Pandang Pertama LG G4 - tebal S6

Apabila dibandingkan dengan Galaxy S6 edge, LG G4 sememangnya lebih besar. Saiz skrin sahaja sudah memberitahu kebesarannya, dengan saiz 5.5-inci berbanding 5.1-inci pada Galaxy S6 edge. Masih ramai yang tidak gemarkan skrin sebesar 5.5-inci dan selesa dengan skrin sekitar 5-inci. Jadi, mungkin LG G4 berada sedikit bawah dalam senarai kegemaran mereka ini. Rekaan melengkung juga menjadikan LG G4 kelihatan sangat tebal berbanding Galaxy S6 edge, tetapi keselesaan memegang LG G4 adalah lebih baik dari bingkai besi s6 edge yang sangat nipis.

Pandang Pertama LG G4 - LG G4 kamera

Tidak banyak yang dapat kami perkatakan dalam masa yang singkat ini. Tapi dapat kami simpulkan, LG tidak memberi fokus kepada fungsi sampingan seperti pengimbas cap jari atau degupan jantung, mahupun sistem bunyi ataupun kalis air dan debu. Tetapi LG menumpukan kepada fungsi asas telefon seperti rekaan luar dan memastikan kualiti kamera adalah yang terbaik. Cumanya, mungkin LG terlebih berusaha untuk memastikan rekaan mereka tidak menyerupai mana-mana pengeluar lain. Sekali-sekala, nampak serupa pun tak mengapa. Kerana Steve Jobs pernah mengingatkan kata-kata Picasso: seniman yang bagus meniru, tetapi seniman yang hebat mencuri.

Pandang Pertama LG G4 - LG G4 depan senget

Imbas sedikit, LG G4 menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 808 dengan 6-teras yang menyokong arahan 64-bit dan dipadankan dengan 3GB RAM LPDDR3. Storan dalaman LG G4 bermula dari 32GB, dengan pilihan menambahnya melalui kad mikro-SD. LG G4 didatangkan dengan bateri berkapasiti 3000mAh, yang boleh diganti sendiri oleh pengguna, menjadikannya satu-satunya peranti utama masakini yang boleh dicabut bateri. Kamera belakang LG G4 sebesar 16MP dengan apertur F1.8. Apertur ini lebih besar dari kamera belakang Galaxy S6 yang menjadi kegemaran kami kini. Kamera belakang ini juga dilengkapi penstabil imej OIS 2,0 beserta fokus lazer. Skrin LG G4 sebesar 5.5-inci menggunakan paparan IPS Quantum, serta resolusi QuadHD, 2560×1440 dengan kepadatan piksel 538 PPI.

DirectD menjual telefon ini pada harga RM3,799 tetapi harga tersebut terlalu berlebihan berdasarkan kadar untung yang cuba diraih. Walaupun LG Malaysia seperti tidak mahu menjual telefon pintar LG di Malaysia, tetapi LG Malaysia telah memperkenalkan secara rasmi LG G3 di Malaysia, hampir setahun selepas pelancarannya. Walaupun lewat, lebih baik dari tiada. Sekiranya ia dibawa ke Malaysia dalam masa terdekat, harganya mungkin hampir sama dengan model terhangat Samsung sekarang. Jadi, mahukah anda memilikinya?

 

Apa komen anda?