Ujian pengecasan pantas empat peranti dan hasilnya

Share Button

Perkara ini bukan diuji kami, tetapi ia dibuat oleh OPPO sendiri. OPPO telah membuat ujian dalaman dan berkongsi hasilnya, tentang pengecasan pantas telefon pintar, di antara 4 model telefon pintar utama, iaitu iPhone 6 Plus, Nexus 6, Galaxy S6 dan jua OPPO N3 sendiri (bukan OPPO N6 ya).

Terdapat dua jenis ujian pengecasan dilakukan. Pengecasan semasa skrin terpasang, serta pengecasan semasa skrin terpadam. Berikut adalah jadual pengecasan 4 telefon pintar selepas 30 minit dicas dengan skrin hidup terpasang:

jadual 1 perbandingan pengecasan skrin hidup 30 minit

Bagi ujian pertama, semasa skrin terpasang, bacaan diambil selepas 30 minit pengecasan dibuat, dengan skrin dibiarkan hidup sepanjang masa. Dari ujian ini, selepas 30 minit, OPPO N3 dengan teknologi VOOC dicas sepenuh 71%. Manakala iPhone 6 Plus mencatat 12%, Nexus 6 pula 35% dan Galaxy S6 hanya 25%.

Dari hasil ini, didapati Galaxy S6 yang mempunyai pengecasan pantas, tidak mengaktifkan pengecasan pantas itu jika skrin hidup terpasang. Manakala OPPO N3 kekal pantas dengan VOOC dan mencatat 73% penuh dalam masa 30 minit. Nexus 6 kelihatan mengecas seperti biasa, tetapi iPhone 6 Plus mencatat prestasi mengecas paling lembab, hanya 12% selepas 30 minit.

Pada ujian kedua pula, iaitu pengecasan ketika skrin terpadam, kapasiti dicaj dicatat pada dua masa: selepas 30 minit dan selepas 60 minit. Hasilnya seperti jadual di bawah ini:

jadual 2 perbandingan pengecasan skrin padam 30 minit jadual 3 perbandingan pengecasan skrin padam 60 minit

Dengan skrin terpadam, dapat dilihat Galaxy S6 mempamerkan kemampuan pengecasan pantasnya. Dalam 30 minit, ia mengecas sepenuh 56%, dengan Nexus 6 menghampiri pada 41% manakala iPhone 6 Plus pula hanya 21%. OPPO boleh dikatakan mencatat kapasiti pengecasan yang sama ketika skrin hidup, iaitu 72% penuh semasa skrin terpadam.

Tetapi selepas 60 mini pengecasan dengan skrin terpadam, Galaxy S6 mencatat 93% penuh, manakala Nexus 6 pada 80% dan iPhone 6 Plus pula 40%. VOOC pada OPPO N3 pula mencatat 96% penuh. Ini menunjukkan, pengecasan VOOC menjadi kurang laju apabila menghampiri tahap penuh pengecasan.

Perlu diingatkan juga, kapasiti bateri yang berbeza pada setiap peranti ini. Galaxy S6 mempunyai kapasiti bateri 2550mAh, manakala Nexus 6 sebesar 3220mAh dan iPhone 6 Plus hanya 2915mAh sahaja. OPPO N3 pula mempunyai kapasiti bateri sebesar 3000mAh, tetapi teknologi VOOC nyata mengecas dengan sangat pantas, berbanding peranti lain.

Jadi inilah keputusan ujian yang dilakukan OPPO untuk membandingkan teknologi pengecasan pantas mereka, VOOC berbanding pengecasan peranti jenama lain.

Tetapi satu lagi perkara perlu diambil perhatian, untuk teknologi pengecasan pantas ini berfungsi sepenuhnya, ia memerlukan telefon itu sendiri, kabel USB & kepala pengecas menyokong teknologi pengecasan pantas yang sama. Jika kekurangan salah satu, ia akan mengecas mengikut tahap pengecasan biasa.

Apa komen anda?