Surface 3 lebih ringan, nipis dan murah akan tiba

Share Button

Microsoft Surface adalah satu tablet yang sangat menarik dihasilkan oleh Microsoft. Ia direka sebagai peranti yang boleh menjadi laptop, dengan rekaan yang sangat nipis dan ringan, pada harga yang lebih mampu milik dari Ultrabook. Kini, Surface telah memasuki generasi 3 dengan pengenalan Surface Pro 3 pada tahun lepas.

Terbaru, Microsoft baru sahaja mengumumkan model terbaru dalam keluarga Surface, iaitu Surface 3, tanpa perkataan Pro. Microsoft Surface 3 yang baru ini memberikan peluang kepada lebih ramai pengguna untuk memiliki tablet yang serba boleh ini. Surface 3 kini lebih nipis dan ringan dari Surface 3 Pro, dengan ketebalan 8.7mm dan berat 622 gram.

harga dua surface 3

Terdapat beberapa perkara yang membezakan Surface 3 ini dengan Surface 3 Pro. Paling utama, Surface 3 tidak lagi menggunakan CPU Intel Core-i. Sebaliknya ia menggunakan CPU Atom x7 4-teras yang masih mempunyai kemampuan jangka hayat bateri sehingga 10 jam. Ia juga didatangkan dengan pilihan RAM yang lebih kecil. Surface 3 juga memiliki skrin yang lebih kecil, iaitu 10.8-inci dengan resolusi HD Penuh 1920×1080.

Selain itu, Surface 3 mengekalkan perkara hebat yang terdapat pada Surface Pro 3. Ia mempunyai penegak yang dibuka dari belakang dengan mudah, terbina padanya. Badannya juga menggunakan binaan magnesium yang ringan dan sangat teguh. Sekali pandang, mungkin sukar untuk membezakan Surface 3 dengan Surface Pro 3.

Surface 3 - kickstand positions

Surface 3 dikuasakan Windows 8.1 versi penuh, tidak sama seperti yang ada pada Surface RT dahulu. Ini bermakna, semua aplikasi biasa Windows boleh dipasang ke dalam Surface 3. Lebih baik lagi, Microsoft mengumumkan Surface 3 akan menerima kemaskini Windows 10 secara percuma, apabila ia dilancarkan kelak.

Satu lagi perkara menarik pada Surface 3 ialah, ia didatangkan lengkap dengan aplikasi pejabat, Microsoft Office 365 dengan langganan selama setahun. Office 365 memberikan pengguna akses kepada aplikasi seperti Outlook, Word, Excel, PowerPoint dan OneNote, serta storan awan OneDrive.

Surface 3 akan hadir dengan aksesori yang sama seperti Surface 3 Pro. Aksesori paling utama bagi Surface untuk menjadikannya kepada laptop ialah, Type Cover. Ia akan didatangkan dengan pilihan pelbagai warna. Terdapat juga Surface Pen serta Docking Station, untuk menghubungkan Surface 3 dengan monitor, port Mini Display, pembaca kad memori mikro-SD serta port USB 3.0 tambahan.

Harga jangkaan Surface 3

Model 2GB RAM, 64GB Storan – RM1879
Model 4GB RAM, 128GB Storan – RM2249

Surface 3 serta semua aksesori ini akan mula dibuka tempahannya bermula 13 April 2015 menerusi rakaniaga Microsoft yang terpilih. Jualan rasmi Surface 3 akan bermula pada 5 Mei 2015 menerusi beberapa pengedar terpilih, dan bermula 7 Mei 2015 ia akan mula dijual di seluruh negara dan boleh dibeli menerusi semua pengedar sah produk Microsoft.

Surface 3 Type Cover docking station back Surface pen warna warni

Apa komen anda?