Pengalaman Pertama Mencuba Apple Watch

Share Button

umobile_800x100_bm

Akhirnya, Apple menghasilkan jam tangan pintar yang sekian lama dinantikan peminatnya. Bermula hari ini, ia telah mula dijual dan diedarkan kepada pembeli, yang telah menempahnya sejak tempahan dibuka pada 10 April lepas. Australia adalah salah satu dari negara terawal menerima Apple Watch. Oleh kerana itu, Theskop bersama rakan dari MindBlow iaitu SoyaCincau serta TheHypedGeek terbang terus ke Australia untuk mendapatkan sendiri Apple Watch. Tidak dilupakan, jutaan terima kasih kepada U Mobile yang menyediakan perayauan data antarabangsa untuk kami berikan liputan berterusan dan terkini.

 

Menuju ke Apple Store

Apple Store di Sydney

Destinasi kami ialah Sydney, Australia dan kami terus ke Apple Store sejurus selepas mendarat di lapangan terbang. Perjalanan dari lapangan terbang ke bandar Sydney tidak mengambil masa yang panjang. Tidak sempat kami melepaskan lelah, pemandu teksi telahpun berhenti di hadapan Apple Store yang terletak di King Street.

Dari luar, bangunan ini tidak kelihatan segah mana, tetapi ia menggunakan kaca sepenuhnya sebagai dinding luar. Jadi semua perkara di dalam Apple Store ini boleh dilihat dari luar. Hanya terdapat satu logo Apple berlampu di tengah-tengah bangunan kaca ini.

 

Mencuba fungsi Apple Watch

Di dalam Apple Store tersebut, kami disajikan dengan satu meja berlapik kaca, yang menayangkan semua model Apple Watch yang dijual. Tiga jenis Apple Watch iaitu Apple Watch Sport, Apple Watch Stainless Steel dan juga Apple Watch Edition dengan pelbagai jenis tali boleh dilihat di dalam meja kaca ini.

Demo Apple Watch dan iPad

Di sudut yang lain, terdapat Apple Watch yang tersedia untuk dicuba sendiri oleh pengunjung. Tetapi Apple Watch ini diletakkan di atas satu kotak yang didatangkan bersama iPad. Jadi, ia tidak boleh dicuba di atas tangan, tetapi pengunjung boleh mencuba sendiri pengalaman menggunakan butang pada Apple Watch, serta semua fungsi yang terdapat di Apple Watch, yang boleh diakses dengan sentuhan dari skrin Apple Watch tersebut.

Terdapat dua butang di sisi Apple Watch, dengan butang pertama berbentuk bulat, adalah sejenis roda yang dipanggil ‘Digital Crown’. Ia boleh ditekan dan akan membawa pengguna kembali ke skrin utama. Pendek kata, Digital Crown ini adalah butang HOME. Digital Crown juga boleh diputarkan untuk menjalankan sesuatu arahan seperti zum dan juga skrol. Manakala satu lagi butang di bawahnya adalah butang yang membawa terus ke ‘Contacts’.

Digital Crown Apple Watch

Digital Crown pada Apple Watch ini, dirasakan kurang efektif. Ini kerana ia kurang geseran serta terasa seperti kurang teguh. Jika Apple dapat meletakkan geseran yang bersesuaian pada Digital Crown ini, pasti pengalaman penggunaannya lebih menarik. Pasti tidak terlepas berita ketika skrol di pleyar ataupun terlebih zum ke dalam gambar, sehingga terlihat perkara yang tidak berapa sesuai dilihat dengan zum terlau besar. Diharapkan, model jualan sebenar mempunyai Digital Crown yang lebih baik dari set demo ini.

Apple Watch Edition Blue HOME

Di situ, kami mencuba sendiri penggunaan antaramuka Apple Watch. Boleh dikatakan, muka jam adalah perkara pertama kelihatan apabila Digital Crown ditekan. Sebagai jam tangan pintar, muka jam ini boleh ditukar kepada pelbagai jenis muka lain. Apabila Digital Crown ditekan sekali lagi, ia akan memaparkan senarai aplikasi. Tetapi senarai aplikasi ini disusun, atau lebih sesuai dikatakan ia diletakkan berterabur dengan ikon berbentuk bulat. Di sini, Digital Crown boleh digunakan dalam bentuk zum. Ikon aplikasi ini boleh dikecil dan dibesarkan menggunakan putaran Digital Crown. Jadi pilihan aplikasi yang ingin digunakan menjadi lebih mudah.

Seperti antaramuka iOS pada iPhone, antaramuka pada Apple Watch juga dirasakan lancar. Membuka aplikasi dan pergi dari satu muka ke muka lain juga lancar. Ini memang boleh dijangka memandangkan pengalaman Apple dalam iOS, apatah lagi antaramuka Android Wear malah Tizen pada Samsung Gear S juga sememangnya lancar, berbeza dengan antaramuka pada telefon pintar Android.

Apple Watch Gear S G Watch RDari kiri: Apple Watch, Samsung Gear S, LG G Watch R

Tidak salah juga kami katakan, pengalaman penggunaan Apple Watch ini sangat mudah, kerana ia hampir menyerupai antaramuka iOS sendiri. Apabila anda sudah mengenali butang home di Digital Crown, sebagai pengguna iPhone sedia ada, anda sudah pun mengetahui cara penggunaan Apple Watch.

Aplikasi-aplikasi yang terdapat pada Apple Watch ini, adalah beberapa aplikasi yang sudahpun tersedia pada iPhone. Contohnya, aplikasi panggilan, mesej, jam (sudah pasti), pelayar, peta dan navigasi, cuaca, kalendar, galeri gambar dan macam-macam lagi. Tetapi penggunaan Digital Crown memang memberi pengalaman berbeza, yang tidak terdapat pada jam tangan pintar yang lain.

UI Apple Watch Home

Tetapi beberapa aplikasi khas pada Apple Watch ini, adalah seperti aplikasi kesihatan Fitness dan Workout. Dengan sensor terbina dalam, ia boleh memaparkan aktiviti harian yang dilakukan pengguna seperti jarak berjalan, kalori yang terbakar serta masa yang diambil. Pengguna juga boleh menetapkan sasaran aktiviti mereka dan Apple Watch boleh memberi peringatan, contohnya jika pengguna lama tidak bergerak dari duduk. Tetapi ini ialah fungsi biasa pada jam tangan pintar yang lain.

 

DEMO 1: Apple Watch Edition

Apple Watch Edition Red Gold

Selepas selesai mencuba Apple Watch yang terkunci, kami berjumpa dengan pegawai pembantu di Apple Store tentang temujanji kami untuk mencuba sendiri Apple Watch. Selepas disahkan temujanji kami telah bersedia, kami dibawa ke tingkat atas di satu sudut. Di situ, kami dibawakan bertemu seorang pegawai pembantu Apple Store, yang bertanyakan tentang model Apple Watch yang ingin dicuba. Tanpa berlengah kami meminta untuk mencuba Apple Watch Edition dengan tali berwarna merah.

Selepas menunggu beberapa minit, kami ditemukan dengan satu kotak empat segi. Apabila dibuka, dapat dilihat Apple Watch Edition dengan badan emas 18-karat serta tali berwarna merah. Kami diterangkan, selain badan, pin besi pada tali jam tangan juga diperbuat dari emas 18-karat. Kami ditunjukkan cara menggunakan tali jam tangan ini, yang berbeza dari biasa. Selepas itu, kami mencubanya sendiri di atas tangan.

Apple Watch Edition Box Blue

Tetapi malangnya, tali ini tidak muat dipakai pada tangan kami. Tangan lelaki mungkin tidak serasi dengan Apple Watch Edition 38mm ini, apatah lagi ia kelihatan feminin. jadi, kami ditawarkan untuk mencuba model lain. Seterusnya, kami dibawakan pula sebuah kotak Apple Watch Edition yang lain, bersaiz 42mm dan bertali kulit berwarna biru gelap. Tali pada jam tangan ini menggunakan mekanisma tali kulit yang biasa. Tetapi pin besi pada tali ini masih dibuat dari emas 18-karat.

Apple Watch Edition Blue in Box

Kali ini, ia boleh dipakai dengan mudah. Maka tanpa berlengah lagi, kami cuba untuk mula menggunakan Apple Watch Edition ini, tetapi sekali lagi dikecewakan. Apple Watch yang boleh dicuba untuk dipakai ini, tidak boleh dioperasikan sendiri. Ia hanya memainkan video demonstrasi aplikasi yang terdapat pada Apple Watch.

Ada satu perkara yang boleh dicuba dengan video demo ini, iaitu merasakan getaran haptik (haptic feedback). Sebagai pengguna Samsung Gear S, boleh dikatakan getaran pada Apple Watch ini lebih lembut tetapi masih dapat dirasakan sepenuhnya. Jadi, jika ada notis masuk atau apa perkara yang membuatkan Apple Watch ini bergetar, pengguna pasti tersedar. Tapi mungkin tidak semasa bergerak, apatah lagi ketika berlari.

TheSkop - Apple Watch Edition

Pertama kali memakai Apple Watch Edition ini, memang rasa sangat teruja. Bayangkan benda yang berharga sama seperti sebuah Perodua Myvi, melekat di atas tangan. Memang terasa premium di atas tangan, dengan berat emas 18-karat. Tentang talinya, bercakap dari seorang pengguna yang jarang memakai produk kulit, sukar untuk dibandingkan dengan produk kulit premium sebenar. Beratnya terasa di atas tangan, apatah lagi ia sering menjadi perhatian bukan sahaja pemakai, tetapi orang sekeliling.

Kemudian, jam tangan itu dibuka untuk disimpan semula di dalam kotaknya, dan kami diberi penerangan tentang kotak Apple Watch Edition tersebut. Di dalam kotak itu, Apple Watch Edition diletakkan di sisi, dan melekat secara magnetik pada pengecasnya yang terdapat di dalam kotak itu. Kotak tersebut, juga ditutup secara magnet. ini menunjukkan, Apple turut memberi perhatian dalam pembinaan kotak untuk produk premium ini. Pasti kos membuat kotak ini tidak menghampiri langsung kos Apple Watch Edition itu sendiri, mungkin tidak sampai 10% pun.

Apple Watch Edition Blue Back

 

DEMO 2: Apple Watch Link Bracelet

Apple Watch LINK Bracelet sisi

Selesai mencuba Apple Watch Edition, kami terus membuat temujanji untuk mencuba pula Apple Watch versi besi tahan karat (stainless steel). Satu perkara yang perlu diberi perhatian, Apple Watch Edition tidak mempunyai tali yang diperbuat dari besi, mungkin kerana mereka hanya boleh menggunakan emas sepenuhnya dan ini akan menjadikan kosnya meningkat berganda.

Kerana itu, kami memohon untuk mencuba Apple Watch dengan tali besi. Dengan pantas, kami dibawakan ke sudut yang lain, dan dipamerkan dengan laci yang penuh dengan pelbagai jenis Apple Watch. Ini juga bermakna, tiada kotak Apple Watch untuk dilihat.

laci simpanan Apple Watch

 

Pegawai pembantu Apple Store segera mengeluarkan dua jenis jam Apple Watch dengan tali besi. Model pertama yang diberikan kepada kami ialah Apple Watch dengan tali besi yang dinamakan Link Bracelet. Ianya kelihatan seperti tali besi jam tangan yang biasa. Tetapi Apple telah mempatenkan rekaan tali besi ini.

Apple Watch LINK Bracelet atas tangan

 

Tali besi ini menggunakan dua klip untuk dipakai di pergelangan tangan. Memang tidak sukar untuk melihat produk besi kelihatan premium, dan Link Bracelet ini ternyata memberikan pengalaman tali jam tangan besi yang biasa. Apatah lagi dengan beratnya, pasti anda tidak perasan ianya adalah jam pintar, jika memakainya tanpa mengetahui tentangnya.

Apple Watch LINK Bracelet

Bagaimanapun, kami tidak dapat membezakan pengalaman memakai Apple Watch Edition tadi, dengan Apple Watch Link Bracelet ini. Melainkan satu menggunakan tali kulit, dan satu lagi menggunakan tali besi.

Selepas selesai mencubanya, kami ditunjukkan bagaimana tali Link Bracelet ini, boleh diubahsuai panjangnya dengan mudah. Malah, kami turut diperlihatkan cara menukar tali jam Apple Watch. Semuanya semudah menekan butang mengunci, dan menolak sahaja ia keluar dari badan jam. Cara yang mudah ini, mungkin pertama kali diperkenalkan pada jam tangan, yang membuatkan Apple mempatenkan rekaan tali Link Bracelet ini.

 

DEMO 3: Apple Watch Milanese Loop

Apple Watch Milanese Loop atas tangan

Model kedua Apple Watch yang kami cuba dengan tali besi ialah versi yang dipanggil Milanese Loop. Tali ini berfungsi seperti tali beg, yang digunakan untuk menyesuaikan panjang tali beg. Tetapi ia turut mempunyai magnet, untuk melekatkan hujung Milanese Loop ini ke atas tali ini sendiri. Secara keseluruhan, ianya adalah tali magnetik.

Dengan Milanese Loop, boleh dikatakan ia dapat dipakai dalam apa jua saiz tangan. Tetapi anda perlu memastikan tangan anda muat untuk dimasukkan ke dalam Milanese Loop, sebelum ia kekal dipakai di pergelangan tangan.

Apple Watch Milanese Loop

Apabila dipakai di atas tangan, terasa besar perbezaannya dengan Apple Watch Edition yang dicuba lebih awal. Tali jam tangan Milanese Loop ini terlalu ringan di atas tangan, bagi kategori tali besi. Percubaan melekatkannya secara magnetik juga, kelihatan seperti permainan nanodot. Getaran haptik turut kurang terasa, berbanding percubaan dengan Apple Watch Edition. Secara kasar, kami melihat Milanese Loop ini sesuai untuk pengguna wanita, manakala Link Bracelet lebih menyerlahkan gaya seorang lelaki.

 

DEMO SETERUSNYA

Dengan ini, selesailah sesi percubaan Apple Watch kami di Apple Store yang terletak di Sydney, Australia. Kami kongsikan pengalaman pertama kami mencuba Apple Watch ini dengan anda. Dari segi rekaan, kami berpuas hati dengan perkara yang cuba dibawa Apple pada Apple Watch ini. Pelbagai pilihan tali jam tangan, dengan rekaan dan mekanisma yang berbeza dari biasa. Badannya juga dibentuk dengan rupa premium yang kelihatan kemas bukan sahaja di depan, tetapi di belakangnya. Apatah lagi dengan versi emas, pastinya ia menjadi tumpuan ramai, terutama wanita.

Jadi, selepas membaca pengalaman kami mencuba sendiri Apple Watch, mahukah anda membelinya? Nantikan laporan penuh kami tentang Apple Watch, kerana kami telah pun menempah satu unit Apple Watch Sport. Tungguuu.

 

umobile_800x100_bm

Trackbacks

  1. […] Theskop – Pengalaman Pertama Mencuba Apple Watch […]

Apa komen anda?