LG mula menjual Urbane Watch di pasaran global

Share Button

Jam tangan pintar Android Wear yang baru diperkenalkan LG ketika MWC lepas, iaitu LG Watch Urbane akan mula berada di pasaran bermula minggu ini. Urbane Watch adalah jam tangan ketiga berasaskan Android, dikeluarkan oleh LG. Tetapi, seperti biasa produk LG tidak dijual secara rasmi di Malaysia.

Jam LG Urbane Watch akan mula dipasarkan di Korea Selatan minggu ini, dan diikuti beberapa negara di Amerika Utara, Eropah dan Asia beberapa minggu berikutnya. Penduduk di negara seperti Australia, Kanada, Perancis, Jerman, India, Ireland, Itali, Jepun, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat akan boleh membeli jam LG Watch Urbane ini melalui Google Store.

LG Urbane Watch direka dengan rupa bentuk jam tangan klasik yang elegan. Ia direka menggunakan badan besi sepenuhnya dengan warna emas ros serta perak, dan dipadankan dengan tali jam diperbuat dari kulit, dengan kemasan jahitan benang bagi menambahkan rupa premium.

LG Urbane Watch dua warna

LG turut melaporkan, jam LG Urbane Watch dilengkapi sistem operasi Android Wear terbaru, yang boleh berhubung dengan peranti berasaskan Android 4.3 Jellybean atau ke atas, dengan lancar. Fungsi seperti sambungan WiFi secara terus turut terdapat pertama kali di jam berasaskan Android Wear.

Android Wear versi terbaru ini juga membolehkan pengguna menghantar emoji dengan mudah. Hanya lukis menggunakan jari di atas skrin Urbane Watch dan ia akan cuba menterjemahnya ke kod emoji terhampir, dan boleh digunakan untuk dihantar ke rakan yang lain. Antara fungsi baru lagi, ia boleh ditetapkan untuk dikunci dari penggunaan, apabila jam tangan ini dicabut dari tangan.

Terdapat fungsi khas yang tidak terdapat pada Android Wear, ditambah sendiri LG ke dalam LG Urbane Watch. Salah satunya ialah LG Call, yang membolehkan pengguna melihat sejarah panggilan serta senarai panggilan kegemaran di dalam telefon pintar, terus di skrin LG Urbane Watch. Pengguna tidak lagi perlu mengeluarkan telefon dari poket untuk membuat panggilan. Fungsi kedua pula ialah LG Pulse, yang boleh mengesan denyutan nadi pengguna setiap saat tanpa had, terutama ketika bersenam.

Buat masa ini, LG masih belum mengumumkan harga jualan untuk jam tangan LG Urbane Watch. Ia akan diumumkan ketika pelancarannya di negara ia dijual, yang mana mungkin tidak akan dapat dilihat dalam Ringgit Malaysia.

 

kilauan lg urbane watch emas ros

Apa komen anda?