HTC Desire 826 puaskan keinginan selfie dengan lebih murah

Share Button

Bagaimanakah cara mendapatkan selfie terbaik, dengan fokus tepat tanpa kabur? pastinya dengan menggunakan kamera belakang, selfie anda akan kelihatan hebat. Tetapi sukar untuk mendapatkan posisi yang tepat, kerana tiada skrin previu. HTC sebenarnya memberi penyelesaian ini dengan HTC Desire EYE, kamera hadapan mempunyai spesifikasi sama seperti kamera belakang. Tetapi, adakah ia masih di luar bajet anda?

HTC Malaysia telah melancarkan telefon pintar Desire 826 dengan kamera hadapan 13MP serta apertur F2.0, bakal menjadikan gambar selfie anda lebih hebat. Desire 826 juga dijual lebih murah dari Desire EYE, dengan harga hanya RM1359 termasuk GST. Kamera belakang Desire 826 turut mempunyai resolusi 13MP, siap dengan LED Flash serta fokus auto.

Dua Warna Desire 826

Sekali pandang, Desire 826 kelihatan seperti Desire EYE. Badannya diperbuat dari plastik polikarbonat, dengan bingkai getah. Dua tona warnanya juga memang sama dengan rekaan Desire EYE. Tetapi skrin Desire 826 lebih besar, dengan saiz 5.5-inci serta resolusi HD Penuh 1920×1080.

Desire 826 turut memiliki dua pembesar suara stereo hadapan, yang kelihatan tersorok di pada garisan bingkai telefon, serta diperkasakan teknologi HTC Boomsound dan Dolby Audio untuk memberikan pengguna pengalaman menonton video yang hebat. Ia ditambah lagi dengan hedfon bergred tinggi untuk meningkatkan pengalaman bunyi pengguna, di mana jua.

Desire 826 speaker depan

Dalamannya, Desire 826 menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 615 8-teras berkelajuan 1.7GHz, dengan sokongan 64-bit. Ia dipadankan dengan 2GB RAM dan 16GB storan dalaman yang boleh diluaskan dengan tambahan kad memori mikro-SD. Baterinya yang terbina di dalam pula berkapasiti 2600mAh. Desire 826 turut menyokong rangkaian internet pantas 4G-LTE.

Desire 826 didatangkan siap dengan Android 5.0 Lollipop, dan akan mula dijual di Malaysia bermula 30 April 2015, dengan harga RM1359 termasuk GST.

penggunaan HTC Desire 826

Apa komen anda?