Gaya hipster LG dengan pengenalan LG G4 kulit & seramik

Share Button

Dalam satu acara yang berlangsung serentak di seluruh dunia, LG melancarkan telefon pintar utama terhebat mereka, LG G4 yang menggantikan LG G3 yang diperkenalkan tahun lepas. Pelancaran yang dihadiri hampir 1000 orang ini dibuat di bandar-bandar utama dunia iaitu New York, London, Paris, Singapura, Istanbul dan juga halaman rumah LG sendiri di Seoul.

LG G4 - seramik

Dengan pelancaran LG G4 ini, LG kelihatan cuba menjadi lain daripada telefon pintar yang lain, apabila memperkenalkan rekaan seramik dan juga kulit asli pada badan LG G4. Tiada lagi plastik pada badan telefon LG ini, dan mereka tidak mengikut arus semasa peranti pintar utama yang kebanyakannya mengenakan rekaan besi dan kaca untuk badan peranti. Kulit Asli ini diperbuat dari tradisi lama, yang menggunakan sayuran sebagai pewarna, yang lebih mesra alam dan warna lebih tahan lama.

LG G4 - kulit 01

 

Sekali imbas, LG G4 kelihatan seperti LG G Flex 2. Ini kerana LG mengenakan skrin lengkung untuk LG G4, tetapi tidaklah melengkung seperti G Flex 2. Rekaan yang dipanggil ‘Slim Arc’ ini menawarkan ketahanan 20% lebih baik, berbanding skrin rata jika terjatuh. Malah, rekaan lengkung ini juga lebih sedap digenggam. Skrin LG G4 sebesar 5.5-inci dengan paparan IPS Quantum, dikatakan menghasilkan lebih 20% warna, 25% lebih cerah dan 50% lebih kontras. Ia kini mempunyai resolusi QuadHD, 2560×1440 yang membawa kepadatan piksel 538 PPI.

LG G4 - skrin lengkung

 

Dalamannya, LG menggunakan CPU Qualcomm yang lebih baru, Snapdragon 808 dengan 6-teras yang menyokong arahan 64-bit. Tetapi CPU ini terletak sedikit bawah dari Snapdragon 810 yang lebih baik. LG memberitahu pemilihan CPU ini dilakukan untuk menjadikan kos lebih rendah di samping mengekalkan prestasi peranti. Salah satu kekurangan CPU ini ialah, tiada sokongan RAM DDR4. Jadi, LG G4 hanya dilengkapkan dengan 3GB RAM LPDDR3. Storan dalaman LG G4 bermula dari 32GB, dengan pilihan menambahnya melalui kad mikro-SD. LG turut menawarkan storan awan Google Drive, sebanyak 100GB untuk kegunaan pengguna selama 2 tahun secara percuma.

LG G4 spec

LG memberitahu, LG G4 boleh bertahan selama sehari dengan penggunaan biasa, 20% lebih lama daripada LG G3 sendiri. LG G4 didatangkan dengan bateri berkapasiti 3000mAh, yang boleh diganti sendiri oleh pengguna.

Peranti pintar utama, sering menampilkan kamera yang hebat. LG membawakan kamera belakang 16MP untuk LG G4. Kamera ini mempunyai apertur F1.8, lebih besar dari yang dimililiki Samsung Galaxy S6, dengan apertur F1.9. Ini membolehkan lebih banyak cahaya ditangkap oleh sensor, untuk menghasilkan gambar lebih cerah. LG G4 juga dilengkapi penstabil imej OIS 2.0 yang lebih baik dari OIS+ sebelum ini. Aplikasi kamera boleh diaktifkan dengan pantas, dengan menekan butang di belakang dua kali.

LG G4 - kulit 02

Pengguna turut boleh menggunakan mod manual pada kamera LG G4, untuk kawalan leih baik fokus, kelajuan penutup, ISO, pendedahan, dan juga keseimbangan warna puih pada setiap tangkapan. Pilihan untuk menyimpan gambar dalam format RAW, turut terdapat pada LG G4, selain format JPEG yang menjimatkan ruang simpanan.

Untuk gambar selfie, LG G4 mempunyai kamera hadapan dengan sensor 8MP. Ia disertakan dengan teknologi ‘Gesture Shot’ dari LG untuk mengambil gambar selfie yang sentiasa tajam. Kawalan untuk mengambil gambar juga boleh dibuat tanpa menekan butang di telefon, hanya membuka & menutup tangan dua kali, akan membuat LG G4 mengambil gambar secara automatik.

LG G4 didatangkan dengan sistem oeprasi terbaru dari Google, iaitu Android 5.1 Lollipop, yang pertama bagi peranti di pasaran kini. LG mengenakan antaramuka buatannya, UX 4.0 yang menjanjikan operasi lebih mudah dan intuitif serta lebih mesra penggunaan manusia. Ia mengurangkan langkah penggunaan, tetapi memberi lebih tetapan untuk pengguna yang mahukan lebih kawalan.

LG akan memulakan penjualan L GG4 bermula hari ini, 29 April 2015 di Korea Selatan. Ia seterusnya akan diikuti di beberapa buah negara melalui hampir 180 syarikat telekomunikasi. Harganya masih belum diumumkan, dan akan diberitahu di pelancaran setempat kelak.

LG Malaysia telahpun memulakan penjualan LG G3 di Malaysia, walaupun terlalu lambat selepas pelancaran. Diharapkan, LG Malaysia akan turut membawa LG G4 masuk ke Malaysia secepat mungkin, dengan harga yang lebih menarik dari pesaing. Jika dapat dibawa masuk LG G Flex 2, pasti pasaran telefon pintar Android di Malaysia menjadi lebih menarik lagi.

Apa komen anda?