Perbandingan: HTC One M9 dan Samsung Galaxy S6

Share Button

Di Mobile World Congress (MWC) tahun ini, dua peranti utama yang paling menjadi perhatian adalah telefon pintar dari HTC dan juga Samsung yang dilancarkan di sini, iaitu HTC One M9 dan Samsung Galaxy S6.

Di sini, sebagai wakil Malaysia yang telah mencuba sendiri kedua-dua telefon, kami bentangkan kepada anda pembaca kami, perbandingan HTC One M9 terus dari tangan.

 

RUPA LUARAN

HTC One M9 mengekalkan rupa seperti model lamanya, One M8. Binaan unibodi dengan besi sepenuhnya. Perkara yang berbeza hanya pada penggunaan dua tona warna yang berbeza pada kerangka tepi dan belakang. Dari segi ini, kami melihat Samsung adalah pemenang tanpa cabaran kerana S6 direka semula dari asas, dan taruhan Samsung sememangnya berbaloi-baloi.

Rekaan semula Galaxy S6 dengan badan unibodi menggunakan kemasan besi yang jauh berbeza dari apa yang kami pernah rasa sebelum ini. Boleh dikatakan, Samsung berjaya memilih kemasan besi yang terbaik untuk genggaman. Tambahan lagi penggunaan kaca di belakang adalah gandingan yang sangat bagus.

Tetapi apa yang membuatkan Galaxy S6 lebih menyinar berbanding mana-mana telefon kini, adalah pada warna yang digunakan. Kilauan warna yang digunakan Galaxy S6 memang boleh memikat mata dari jauh.

Saiz Galaxy S6 adalah lebih kecil berbanding dengan HTC One M9. Walaupun mempunyai skrin 5.1-inci, Galaxy S6 berukuran hanya 143.4 x 70.5 mm dengan ketebalan 6.8mm. Sedangkan One M9 dengan skrin 5-inci, mempunyai saiz 144.6 x 69.7 mm dan ketebalan 9.6mm. Malah, Galaxy S6 jauh lebih ringan dengan berat 138 gram berbanding One M9 seberat 157 gram.

Tetapi apabila dikira dari segi praktikal, kami lebih gemarkan kemasan ‘brushed metal’ pada HTC One M9 berbanding kaca Galaxy S6 kerana ia kurang licin dan lebih kemas dalam genggaman tangan.

 

KUASA DALAMAN

Kedua-dua peranti ini boleh dikatakan mempunyai kuasa yang sama. Ia menggunakan ram DDR4 sebesar 3GB tetapi CPU yang berbeza. HTC One M9 menggunakan CPU Qualcomm Snpdragon 810 terbaru, manakala Galaxy S6menggunakan CPU Exynos 7420 keluaran Samsung sendiri. Samsung dilaporkan tidak mahu menggunakan Snapdragon 810 kerana masalah haba.

Tetapi di atas kertas, CPU Exynos 7420 lebih berkuasa dari Snapdragon 810. Kedua-duanya menyokong 64-bit, tetapi Exynos 7420 mempunyai lebih kelajuan, dengan 4-teras 2.1GHz + 4-teras 1.5GHz berbanding Snapdragon 810 yang mempunyai 4-teras 2.0GHz + 4-teras 1.5GHz. Lebih baik lagi, Exynos 7420 dibina dari proses 14nm berbanding 20nm pada Snapdragon 810, menjadikannnya lebih jimat tenaga dan berkuasa.

Samsung juga menyatakan storan dalaman Galaxy S6 yang menggunakan teknologi Universal Flash Storage (UFS2.0) adalah lebih pantas dan lebih jimat tenaga berbanding storan eMMC 5.0 yang digunakan HTC One M9.

 

SKRIN

HTC One M9 mempunyai skrin Super LCD 3 sebesar 5.0-inci dengan resolusi HD Penuh 1920×1080. Manakala Galaxy S6 menggunakan skrin Super Amoled sebesar 5.1-inci, tetapi dengan resolusi jauh lebih tinggi, Quad HD 2560×1440. Sukar untuk memperhatikan perbezaan piksel antara keduanya, tetapi ini memberi satu lagi kelebihan kepada Galaxy S6.

 

KAMERA

Samsung melengkapkan Galaxy S6 dengan kamera 16MP beserta penstabil imej optikal dan apertur f/1.9. Manakala HTC yang tidak lagi menggunakan duo-kamera dan Ultrapixel di kamera belakang, melengkapkannya dengan kamera 20MP yang mempunyai apertur f/2.2. Dapat dilihat kamera Galaxy S6 boleh menghasilkan gambar lebih cerah berbanding One M9, tetapi ia bergantung juga pada hasil pemprosesan selepas mengambil gambar.

Bagi kamera hadapan, One M9 nampaknya mempunyai kelebihan dengan pengunaan Ultrapixel 4MP dengan apertur f/2.0. Tetapi kamera hadapan S6 mempunyai resolusi lebih tinggi pada 5MP dan apertur f/1.9.

Dari segi aplikasi kamera, One M9 dilengkapi dengan aplikasi lebih menarik. Pilihan pelbagai tetapan dan efek selepas mengambil gambar adalah lebih menarik berbanding aplikasi kamera Galaxy S6.

 

BATERI

Jangan terkejut jika kami katakan Galaxy S6 mempunyai bateri yang bukan sahaja lebih kecil dari HTC One M9 yang mempunyai kapasiti 2840mAh, tetapi juga lebih kecil dari Galaxy S5 yang mempunyai kapasiti 2800mAh. Samsung begitu berani meletakkan bateri berkapasiti 2550mAh pada Galaxy S6, walaupun dengan skrin QuadHD yang pasti memakan lebih tenaga.

Samsung memberitahu, CPU Exynos 7420 yang dibina dari proses 14nm menggunakan kuasa yang kurang serta lebih efisyen. Samsung juga melengkapkan S6 dengan pengecasan pantas yang boleh mengecas 50% kapasiti dalam masa 30 minit, terima kasih jua pada kapasitinya yang lebih kecil.

Lebih menarik lagi, Galaxy S6 sedia terbina dengan pengecas tanpa wayar dengan standard PMA & WPC. Hanya perlu mendapatkan plat pengecas tanpa wayar, dan Galaxy S6 boleh terus menggunakan pengecas tersebut. Dari segi ini, One M9 ketinggalan kerana kekurangan pengecasan pantas apatah lagi pengecas tanpa wayar.

 

FUNGSI KHAS DAN UNIK

HTC seperti biasa mengekalkan pembesar suara stereo di hadapan, yang dilengkapi Boomsound serta kali ini diiktriaf Dolby. Ini merupakan kelebihan pada One M9 yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana telefon pintar lain lagi buat masa ini. Manakala Samsung mengalihkan pembesar suara ke bawah telefon S6, di tepi port mikro-usb. Ianya satu peningkatan berbanding S5, tapi jauh ketinggalan berbanding One M9, apatah lagi hanya satu pembesar suara. Tetapi itu sahaja kelebihan HTC One M9.

Digunapakai sejak S5 dan kini dipertingkatkan, Galaxy S6 dilengkapi sensor pengimbas degupan jantung yang terletak di tepi kamera belakang. Ia juga mengekalkan pengimbas capjari di butang fizikal home, tetapi kali ini sensor ini dipertingkatkan. Pengguna tidak perlu lagi menyapu dari atas ke bawah di butang home untuk mengimbas cap jari, hanya perlu meletakkan jari di atas butang home untuk mengimbas, sama seperti yang digunakan iPhone 6.

Sedikit sedih, Samsung tidak lagi menjadikan Galaxy S6 sebagai peranti kalis air, kerana Galaxy S5 dahulu kalis air dan debu IP57. Tetapi sama juga di HTC One M9, ia adalah telefon yang tidak kalis air.

 

KESIMPULAN

Dari pandangan awal kami terhadap dua peranti yang dilancarkan di MWC hari ini, HTC One M9 ternyata jauh ketinggalan berbanding Samsung Galaxy S6, hampir pada semua aspek. Walaupun Samsung baru pertama kali menggunakan binaan unibodi untuk Galaxy siri-S, tetapi dapat dilihat mereka berjaya menjadikannya jauh lebih baik dari HTC One M9. HTC ibarat membuat peningkatan dalaman tanpa pengenalan invoasi terbaru. berbeza dengan Samsung, yang sentiasa mencuba sesuatu yang baru pada setiap pengenalan baru produk utama mereka.

Apa yang boleh HTC lakukan kini, hanyalah memastikan peranti mereka dijual lebih awal dari Samsung serta harga yang lebih menarik. Begitu jelas, kali ini Samsung menawarkan lebih banyak fungsi bernilai dengan gaya premium terbaik.

Untuk ringkasan, lihat infografik di bawah yang disediakan oleh rakan kami, Vernon Chan dari Thehypedgeek.com berkenaan spesifikasi HTC One M9 dan Samsung Galaxy S6 serta S6 edge.

 

mwc15-s6-vs-m9-infographic-BM-v3-800px

 

Comments

Apa komen anda?