Pelaksanaan GST melembapkan pasaran ICT

Share Button

Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) hari ini berkongsi pandangan mereka berkenaan sektor ICT di Malaysia, tentang impak yang diberikan oleh Cukai Barangan & Servis (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015.

Produk teknologi seperti komputer dan telefon pintar selama ini tidak dikenakan sebarang cukai di bawah sistem Cukai & Jualan (SST). Selepas pengumuman GST, semua produk teknologi ini dilihat termasuk di dalam senarai cukai 6% GST. PIKOM menjangkakan kenaikan harga perkakas, perisian serta servis yang disediakan kepada pengguna, kerana kos yang meningkat dari pengenalan cukai ini akan dikenakan kepada pengguna. Sedikit sebanyak, ini akan memperlahankan sentimen pengguna dalam berbelanja untuk produk teknologi.

Pengerusi PIKOM 2015 Cheah Kok Hoong

Pengerusi PIKOM, Cheah Kok Hoong berkata, PIKOM melihat sekitar enam bulan akan datang, perkakas & gajet seperti telefon pintar, PC, laptop, pencetak dan pelbagai barangan pengguna lain akan menyaksikan trend jualan yang perlahan. Ia juga akan terkesan kepada Industri Kecil & Sederhana. Secara keseluruhan, PIKOM menjangkakan penurunan jualan sebanyak 30%.

Cheah menambah, PIKOM tidak melihat pembelian dan pelaburan produk teknologi oleh syarikat besar dan korporat akan terkesan dari cukai GST ini, kerana cukai 6% yang dikenakan pembekal boleh dituntut semula dari Kastam Diraja Malaysia (Kastam) sebagai cukai kemasukan, jika mereka berdaftar dengan GST.

Kerana itu, kepada syarikat yang telah berdaftar dengan GST, kesan cukai yang baru ini adalah neutral, kerana mereka boleh menuntut semula dari Kastam selepas dicaj oleh pembekal.

Untuk berdepan dengan situasi kelembapan pasaran seperti ini, PIKOM menggalakkan pekedai ICT untuk memperlihatkan perbezaan mereka untuk bersaing secara kompetitif dalam pasaran. Mereka boleh memanfaatkan penggunaan teknologi untuk mengurangkan kos di samping mengekalkan pelanggan dalam pasaran yang sering berubah dengan pantas ini.

PIKOM percaya, walaupun akan terdapat kelembapan dalam pasaran sejurus kesan reaksi masayarakat terhadap pengenalan awal GST ini, sektor ICT di Malaysia akan terus berkembang dan mencatatkan keuntungan sehingga RM95bilion menjelan 2017 kelak.

pikom_logo

Apa komen anda?