LG AKA sangat comel tapi tiada di Malaysia

Share Button

Telefon pintar sering kelihatan terlalu eksklusif atau cuba direka agar kelihatan premium menggunakan binaan seperti kaca, aluminum dan sebagainya. Tetapi bagaimana pula kalau telefon pintar kelihatan ceria dengan warna-warni yang terang hanya dengan menggunakan plastik polikarbonat?

LG memenuhi permintaan tersebut dengan menghasilkan telefon pintar yang diberi nama LG AKA. Ia pertama kali diperkenalkan di Korea Selatan pada penghujung tahun lepas, tetapi mulai bulan ini ia telah mula dijual di luar Korea iaitu di Hong Kong, China, Taiwan, Singapura & Turki. Ya, nama Malaysia kekal tiada di dalam senarai negara yang menjual telefon pintar LG. Tetapi usah khuatir, kami akan membantu anda dalam hal ini. Mari kita lihat dahulu apa itu LG AKA.

LG AKA color YellowLG AKA color WhiteLG AKA color NavyLG AKA color Pink

LG AKA dihasilkan dengan fokus untuk kanak-kanak. Ia bukan mempunyai 4 warna, tetapi dipanggil 4 personaliti. 4 personaliti LG AKA ini ialah Eggy berwarna kuning yang mudah jatuh cinta, Wooky berwarna putih yang sangat berterus terang, Soul berwarna biru laut yang baik hati dan peminat lagu serta akhir sekali Yo-Yo berwarna merah jambu yang sangat menjaga pemakanannya.

Setiap telefon LG AKA ini mempunyai kertas dinding, widget serta ringtones yang bersesuaian dengan warna & personalitinya. Selain dari animasi mata interaktif yang besar di atas skrin, pengguna juga dapat mendekorasi LG AKA menggunakan pelekat yang diberi, pen marker serta cat. Dengan fokus mendalam sebegini terhadap pengguna, LG AKA memenangi Anugerah Rekaan iF yang berprestij di arena antarabangsa.

LG AKA spec2

Spesifikasi LG AKA kelihatan agak bagus. Ia menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 410, 4-teras 1.2 GHz dengan 1.5GB RAM serta 16GB storan dalaman, yang boleh ditambah melalui slot mikro-SD. Skrinnya sebesar 5-inci dengan paparan IPS serta resolusi HD 1280×720. Baterinya pula berkapasiti 2610mAh yang boleh dicabut. Selain itu, ia juga menyokong internet pantas 4G-LTE. Kamera hadapannya 13MP dilengkapi auto-fokus Lazer, sama seperti LG G3 & G Flex 2, manakala kamera hadapannya 2.1MP sahaja.

Bagi meraikan LG AKA ke luar negara, LG dengan kerjasama syarikat TUBA Entertainment yang menghasilkan siri animasi Larva, telah menghasilkan satu siri animasi khas berkaitan LG AKA yang diberi nama Rotary Park. Episod pertama Rotary park sudah boleh ditonton di laman YouTube RotaryPark.

Seperti yang disebut di atas, LG AKA tidak dijual secara rasmi di Malaysia. Kami tidak mendapat sebarang jawapan mengapa LG Malaysia tidak mahu menjual telefon LG AKA ini di sini. Tetapi pengguna di Malaysia masih boleh mendapatkannya, melalui pekedai yang menjual set import AP. Salah satu darinya ialah DirectD. Kami melihat di lamanweb Direct, LG AKA dijual pada harga RM1499. Jika anda berminat, bolehlah ke kedai DirectD atau melawat lamanweb jualan LG AKA mereka di sini dan sini.

LG AKA DirectD

Apa komen anda?