Google Kayak mengakhiri projek Street View di Langkawi

Share Button

Tahukah anda, anda boleh melihat pemandangan di seluruh dunia menggunakan Google Maps? Salah satu fungsi yang terdapat di Google Maps, iaitu Street View membolehkan anda melihat pemandangan di dalam peta, seperti anda benar-benar berdiri di situ. Dan fungsi ini juga terdapat di peta Google Maps Malaysia. Lebih menarik lagi, ia tidak merangkumi jalan di darat sahaja, tetapi termasuk pemandangan di laut.

Projek ‘Paddle for Nature‘ telah membawa peralatan Google’s Street View Trekker, di atas kayak mereka, dan mengelilingi semenanjung Malaysia dari Pengkalan Kubor, Kelantan merentasi Laut China Selatan menuju ke Johor, kemudian mengharungi Selat Melaka sehingga ke destinasi terakhir di Pulau Langkawi.

Google Street View Kayak complete

Projek ‘Paddle for Nature‘ merupakan satu kerjasama di antara Persatuan Alam Semulajadi Malaysia (Malaysian Nature Society, MNS) dan juga Google Malaysia. Projek sebegini juga merupakan yang pertama seumpamanya bagi Google Maps Street View, kerana menggunakan kayak yang dilengkapi Google’s Street View Trekker, untuk merakam gambar di laut bagi kegunaan Google Street View di Google Maps. Sebelum ini, Trekker ini telah dilengkapkan ke dalam beg belakang untuk pejalan kaki, kereta, tricycle, motorsikal dan juga troli.

Google Street Trekker on car Solo kayakers from MNS

Ekspedisi solo kayak ini bermula pada 9 September 2014 di Pengkalan Kubor, Kelantan dan berakhir 26 minggu selepas itu di perhentian akhirnya di Kuah, Pulau Langkawi. Selain dari mengelilingi perairan Semenanjung Malaysia, ia turut membuat pusingan penuh mengelilingi Pulau Kukup di Pontian, Johor serta Pulau Pinang dan pulau-pulau utama di Langkawi.

Paddle4Nature route

Google Malaysia menyokong misi MNS ini yang bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia betapa pentingnya menjaga warisan lautan dan perairan, serta menjadi hero tempatan untuk bersama menyelamatkan harta yang tidak ternilai ini. Ia juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi projek pemuliharan marin di masa akan datang.

Sejak tahun 2013, Google Street View telah mula mengelilingi jalan-jalan di Malaysia untuk merakam pemandangan sekitar. Tahun lepas, Google telah mengeluarkan hampir 90% gambar pemandangan di jalanan Semenanjung Malaysia, termasuk lebuhraya, jalan negeri, jalan persekutuan, bandar dan taman perumahan.

Walaupun begitu, terdapat banyak bantahan berkaitan isu privasi terutama di kawasan perumahan, walaupun kesemua gambar di Google Street View telah dikaburkan maklumat peribadi seperti nombor rumah dan nombo plat kenderaan.

Dari statistik Google Maps di Malaysia pada tahun 2014, 10 tempat yang paling banyak dilawati menggunakan Google Street View ialah:

1. Taman KLCC
2. Pulau Pangkor
3. Sunway Lagoon
4. Bandar Melaka
5. Batu Caves
6. Sepang International Circuit
7. Taman Negara Pulau Pinang
8. Pantai Cenang, Langkawi
9. Kereta Kabel, Langkawi
10. Bukit Bendera, Pulau Pinang

Trackbacks

  1. […] Kempen yang berjalan selama setahun ini adalah sebahagian dari misi MNS untuk mengekalkan rupa alam semulajadi di pesisir pantai Malaysia, di samping memberi kesedaran kepada orang awam. Ia juga bertujuan mengutip dana untuk aktiviti MNS akan datang. […]

Apa komen anda?