Selepas satu HTC datang lagi satu HTC

Share Button

HTC selaku pengeluar utama telefon pintar Android di arena antarabangsa, turut tidak melepaskan peluang untuk beraksi di perhimpunan gergasi Mobile World Congress (MWC) di Barcelona, Sepanyol awal bulan depan. HTC telah pun mengeluarkan jemputan kepada media tentang majlis pelancaran produk baru mereka.

Pada masa lepas, HTC sering membuat pelancaran model terbaik mereka ini, HTC One sekitar bulan Februari atau Mac. Untuk kali ini, model terbaru One M9 atau dikenali dengan kod nama HTC Hima, akan dilancarkan ketika pameran MWC berlangsung. Atau lebih tepat lagi, sehari sebelum pameran MWC dibuka iaitu pada hari Ahad, 1 Mac 2015.

HTC One M9 atau HTC Hima dijangka akan menggunakan spesifikasi terhebat yang ada kini, sama seperti jenama lain. Boleh diramalkan ia akan dilengkapi CPU Qualcomm Snapdragon 810 64-bit yang terkini, dan dipadankan dengan sekurang-kurangnya 3GB RAM serta prosesor grafik Adreno 430. Memori dalamannya akan kekal 32GB dengan pilihan memori tambahan menggunakan kad memori mikro-SD.

Apa yang menjadi perhatian ramai untuk HTC One M9 ini, ialah kameranya. Pada model One M8 yang lepas, HTC memperkenalkan teknologi kameranya yang dipanggil Ultrapixel serta duo-camera. Ultrapixel menggunakan pixel serendah 4MP tetapi sensor yang lebih besar. Manakala duo-camera boleh merakamkan gambar pada tahap kedalaman berbeza, yang boleh diubahsuai selepas gambar diambil.

Dijangkakan HTC tidak lagi menggunakan kamera Ultrapixel pada kamera belakang, tapi akan menggunakan Ultrapixel pada kamera hadapan One M9. Kamera belakang akan datang dengan resolusi sebesar 20MP. Dua pembesar suara di hadapan yang menjadi salah satu tarikan utama HTC One, akan kekal pada One M9 ini. Ia juga akan didatangkan tersedia dengan Android 5.0 Lollipop yang diselaputi HTC Sense 7 yang baru.

Jika anda merupakan peminat telefon pintar HTC One dengan rekaan unibodi penuh besi padanya, jangan lepaskan peluan untuk mengikuti pelancarannya secara langsung kelak pada hari Ahad, 1 Mac 2015 jam 11 malam waktu Malaysia.

[Sumber 1, 2]
onem9-rumor

Adakah begini rupa HTC One M9 aka HTC Hima yang bakal dilancarkan di MWC?

Apa komen anda?