eSports Malaysia tubuh Liga Sukan Elektronik Malaysia tahun ini

Share Button

Setelah sekian lama, sebuah badan yang memantau sukan elektronik (e-sukan) di Malaysia telah dilancarkan. Dengan nama berdaftar eSports Malaysia (eSM), ia telah dilancarkan di Dewan Perdana FELDA dengan mendapat sokongan dari FELDA sendiri, serta ASUS Malaysia selaku jenama peralatan yang disyorkan. eSM telah didaftarkan pada Disember 2014 dengan objektif menaiktaraf sukan elektronik di Malaysia.

eSM telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Dato Latt Sharimann “Paktehh” Abdullah, dan telah mendapat pengiktirafan sebagai ahli “International e-Sports Federation”. Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama, telah melantik pemain e-sukan terkenal Malaysia, Rinie “Si_Jali” Ramli sebagai Setiausaha Agung, untuk membantu melancarkan dan memacu e-sukan di Malaysia, dengan pengalamannya selama lebih 12 tahun di arena ini.

pelancaran esports malaysia 2

Malaysia telah melahirkan pelbagai bakat dalam e-sukan ini. Sekitar tahun 2000, World Cyber Games (WCG) telah beberapa kali diadakan di Malaysia, dengan pencapaian tertinggi yang pernah diperolehi Malaysia melalui Rinie, yang memenangi 3 medal emas dan berada di kedudukan ke-4 terbaik dunia pada tahun 2005.

Permainan paling popular, DOTA telah mencungkil ramai bakat dalam sukan ini, seperti pasukan Kingsurf yang mewakili Malaysia pada tahun 2008 di Electronic Sports Word Cup dan mendapat tempat kedua. Dengan kemunculan versi terbaru, DOTA 2 merancakkan lagi arena e-sukan bukan sahaja di Malaysia, malah di serata dunia. Dalam pertandingan International 3, DOTA 2 Championship di Amerika Syarikat, pasukan Orange Esports dari Malaysia mendapat tempat ke-3 dan membawa pulang wang tunai lebih dari RM1 juta. Ia juga menyaksikan peningkatan populariti pemain Malaysia seperti Mushi, yang kini bermain secara profesional di China.

Sukan elektronik semakin mendapat tempat di hati masyarakat, serta sokongan dari pelbagai pihak swasta serta kerajaan. Dari pungutan hadiah, pertandingan sukan elektronik kini mengumpul antara hadiah tertinggi berbanding sukan tradisional lain. Sebagai contoh, pertandingan International 4 sendiri telah mengmupul hadiah wang tunai sebanyak USD10.9 juta, berbanding pertandingan Golf-Fedex Cup sebanyak USD10.4 juta serta perlumbaan NASCAR sebanyak USD5.9 juta dan Tenis Terbuka Amerika Syarikat sebanyak USD3 juta.

esm pool prize

Bagi memastikan e-sukan di Malaysia terus berada di landasan untuk berkembang, eSports Malaysia ditubuhkan dengan dasar untuk membentuk standard e-sukan, melatih dan mendidik pemain, membantu meningkatkan taraf permainan, mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan menjaga kebajikan ahli. Oleh itu, eSports Malaysia mengumumkan akan memulakan Liga Sukan Elektronik Kebangsaan pada Mei 2015, dengan pelancarannya dibuat pada Mac 2015 beserta jelajah ke seluruh Malaysia untuk memperkenalkan eSports Malaysia kepada semua. eSports Malaysia juga bercadang untuk menubuhkan akademi sukan elektronik bagi mencungkil bakat selain dari pemain, seperti pengurus permainan, pengurus pasukan, pengulas permainan serta penganjur acara.

Untuk lebih banyak maklumat serta info terkini berkaitan eSports Malaysia, layari laman Facebook mereka di https://facebook.com/persatuansukanelektronikmalaysia atau twitter di http://twitter.com/esportsmalaysia dan juga instagram di http://instagram.com/esportsmalaysia

Apa komen anda?