Test Produk – Microsoft Lumia 535

Share Button
[ez_box title=”KELEBIHAN” color=”orange”]
  • Mampu milik untuk pengguna pertama Windows Phone
  • Spesifikasi pertengahan, cukup lancar untuk Windows Phone 8.1
  • Lumia Camera penuh fungsi manual
  • Lumia Selfie tangkap gambar selfie automatik
[/ez_box] [ez_box title=”KEKURANGAN” color=”orange”]
  • Skrin kurang responsif berbanding model sebelumnya
  • Rakaman video sehingga 480p sahaja
[/ez_box]

 

PENGENALAN

Selepas sekian lama mengambil alih bekas gergasi pengeluar telefon Nokia, Microsoft akhirnya menggantikan jenama telefon pintar Nokia Lumia, kepada jenamanya sendiri, iaitu Microsoft Lumia. Produk pertama yang membawakan nama baru Microsoft Lumia ini ialah, telefon pintar mampu milik Microsoft Lumia 535. Telefon pintar berasaskan sistem operasi Windows Phone 8.1 ini pertama kali dilancarkan di Malaysia pada Disember 2014 pada harga hanya RM429 sahaja. TheSkop kini membawakan test produk Mirosoft Lumia berwarna biru cyan, salah satu warna yang sering digunakan Microsoft untuk produk Lumia.

Lumia-535-colorful

 

REKABENTUK LUAR

Microsoft Lumia 535 mempunyai skrin sebesar 5-inci, saiz skrin yang paling banyak terdapat pada telefon pintar kini. Dari hadapan, saiz ukuran telefon ini ialah 140.2mm panjang & 72.45mm lebar dengan ketebalan 8.8mm. Keberatannya pada 146 gram, tidaklah seringan seperti kebanyakan telefon pintar utama lain, tetapi dalam kategori berat biasa.

Lumia535 - depan

Skrin 5-inci IPS dengan kaca Corning Gorilla 3 memenuhi ruang hadapan telefon ini, tetapi resolusinya hanya qHD 960×540 dengan 220ppi sahaja. Terasa jelas perbezaan skrin ini dengan mana-mana skrin HD telefon lain, tetapi ia mungkin tidak menjadi masalah untuk pengguna biasa. Perkataan Microsoft tertera di atas skrin, menandakan jenama barunya, dengan kamera hadapan 5MP di kanan perkataan tersebut. Pada Lumia 535, Microsoft meletakkan butang utamanya iaitu Back, Home & Search pada skrin, bukan lagi di luar skrin bagi menjimatkan ruang. Dengan ini, butang ini akan tersorok apabila tidak digunakan, dan pengguna perlu menyapu dari bawah ke atas untuk mengeluarkannya apabila ia tersorok.

Lumia535 - atas Lumia535 - bawah

Ruang di atas Lumia 535, hanya terdapat port audio 3.5mm yang terletak sedikit ke kiri. Manakala di bahagian bawah telefon pula, hanya mempunyai port mikro USB 2.0 di tengah.

Lumia535 - kiri Lumia535 - kanan

Pada bahagian kiri telefon, ianya bersih licin tanpa terdapat sebarang butang, slot ataupun lubang port. Tetapi di sebelah kanan, terletaknya butang kawalan suara naik & turun, sedikit di atas. Manakala butang kuasa terletak di bahagian tengah, kanan telefon.

Lumia535 - belakang Lumia535 - belakang atas

Di belakang telefon, kelihatan jelas warna biru cyan. Penutup belakang diselaputi sepenuhnya dengan warna biru cyan ini, berbeza dengan ruang hadapan yang serba hitam, apabila skrin terpadam. Pertama sekali, dapat dilihat terpampang 4 petak logo Microsoft, beserta perkataan Microsoft di belakang ini. Di atasnya, terdapat kamera utama dengan resolusi 5MP yang dipadankan dengan lampu LED Flash di kiri kamera. Di bawah sekali, terdapat satu lubang kecil pembesar suara.

Lumia535 - belakang buka

Penutup belakang Lumia 535 yang penuh berwarna biru cyan ini, boleh ditanggalkan dan diganti dengan warna lain, jika ada. Ianya boleh dibuka untuk akses kepada bateri dan juga slot kad sim dan kad memori mikro-SD. Penutup belakang ini diperbuat dari plastik polikarbonat, tetapi kami sentiasa suka dengan material polikarbonat buatan Nokia, kerana ia memberi rasa yang kukuh dan tahan lasak. Nokia sememangnya terkenal dengan ketahanan telefon pintar keluarannya, dan tradisi ini turut diteruskan dalam pengeluaran Lumia kini.

Lumia535 - belakang kad sim sd Lumia535 - bateri

Apabila penutup belakang ini dibuka, dapat dilihat baterinya berwarna hitam dengan logo Microsoft berkapasiti 1905mAh. Di bahagian atas kanan, dapat dilihat slot untuk kad memori mikro-SD. Manakala slot sim kad mikro terletak di atas bateri, dan memerlukan bateri dicabut keluar sebelum kad sim dapat dimasukkan. Model Lumia 535 di Malaysia, datang dengan dwi slot sim kad mikro, jadi dua nombor boleh digunakan sekaligus pada telefon ini. Sim kad utama yang menyokong 3G diletakkan di slot kad sim 1 di sebelah kanan, manakala sim kedua yang menyokong sehingga EDGE, di slot sim 2 di sebelah kiri.

 

KUASA DALAMAN

Pada harga RM429, Lumia 535 pastinya tidak menjanjikan prestasi cemerlang, tetapi mencukupi untuk memastikan ia dapat berjalan lancar dan masa pemprosesan yang tidak terlalu lama. Pemproses yang digunakan Lumia 525 datang dari Qualcomm iaitu Snapdragon 200, 4-teras berkelajuan 1.2GHz.

Lumia-535-spec

Walaupun kebanyakan telefon Android datang dengan CPU Snapdragon 400 pada julat harga sebegini, tetapi prestasi kelancaran Lumia 535 setanding walaupun penggunaan CPU lebih rendah. Ini mungkin kerana ia dibantu RAM sebesar 1GB dengan storan dalaman 8GB. Storan ini boleh ditamban dengan sokongan kad mikro-SD sehingga 128GB.

Lumia 535 tidak menyokong rangkaian pantas 4G LTE, tetapi ia mempunyai sokongan HSPA+ dengan kelajuan muat turun sehingga 42Mbps. Selain itu, ia mempunayi sokonga sambungan standard seperti WiFi 802.11 b/g/n serta Bluetooth 4.0 dan turut boleh menjadi WiFi hotspot yang menyokong sehingga 8 peranti dalam satu.

 

SISTEM OPERASI & ANTARAMUKA

Microsoft Lumia merupakan barisan telefon pintar utama yang menggunakan sistem operasi Windows Phone. Ia mempunyai kemaskini Windows Phone 8.1 terkini, dan dilengkapkan lagi dengan peningkatan Nokia Lumia Denim yang membawakan beberapa tetapan dan aplikasi khas keluaran Nokia.

Pertama kali skrin diaktfikan, akan terpampang skrin kunci bing, yang mempunyai wallpaper dinamik yang sering berubah. Pada skrin kunci ini terpapar jam, hari dan tarikh. Skrin Lumia 535 juga boleh diaktifkan tanpa menggunakan butang kuasa di tepi, kerana Lumia 535 mempunyai fungsi dua ketukan yang boleh menghidupkan skrin. Ya, hanya ketuk dua kali di atas skrin, dan skrin tersebut akan hidup.

Lumia535 - setting about Lumia535 - UI Lock Screen Lumia535 - UI power off

Skrin kunci ini pula seterusnya dibuka, dengan menyapunya dari bawah ke atas. Dengan itu, akan terpampang jubin dan petak yang menjadi tanda Windows Phone 8. Dengan kemaskini Windows Phone 8.1, jubin ini boleh diubahsuai saiznya dengan mudah, serta boleh dijadikan folder untuk mengumpulkan beberapa aplikasi di dalam satu tempat. Jubin ini berputar memaparkan pelbagai info berkaitan aplikasi, bagi memberitahu pengguna apa jua berita terkini aplikasi tersebut, seperti notifikasi media sosial, emel ataupun ramalan kajicuaca.

Lumia535 - UI 001 Lumia535 - UI 002 Lumia535 - UI 003

Untuk melihat senarai semua aplikasi di dalam telefon pula, pada skrin utama yang penuh dengan jubin itu, sapu dari kanan ke kiri. Semua aplikasi akan tersenarai di sini mengikut susunan abjad.

Lumia535 - UI apps 01 Lumia535 - UI apps 02 Lumia535 - UI apps Lumia

Windows Phone turut memiliki ruang notifikasi yang hampir sama seperti Android. Sapu dari atas skrin ke bawah, dan senarai notifikasi terkini akan dipaparkan di sini. Di ruang notifikasi ini juga terdapat butang pantas tetapan, di mana secara lalai ia mempunyai tetapan pantas untuk WiFi, Bluetooth, Kamera dan tahap kecerahan skrin. Untuk senarai penuh tetapan, terdapat juga butang setting di situ.

Lumia535 - UI notifikasi Lumia535 - Setting 01 Lumia535 - Setting 02 Lumia535 - Setting Apps

Di sini bermulanya perkara yang paling kami tidak gemar pada Windows Phone, iaitu ruang tetapannya. Tetapan pada Windows Phone dilihat bersepah dan sukar untuk dicari. Ini kerana ia tidak dikumpulkan atau disenaraikan mengikut jenis atau abjad. Kami tidak pasti bagaimana ia disenaraikan. Untuk mencari tetapan ketukan menghidupkan skrin serta tahap kecerahan, ia terletak dalam tetapan yang jauh berbeza. Pengguna memerlukan daya memori yang tinggi untuk mengingati di mana terletaknya tetapan berlainan yang diperlukan.

Lumia535 - Windows Store 01 Lumia535 - Windows Store 02

Aplikasi untuk Windows Phone, boleh didapati dari Windows Store. Tetapi jika dibandingkan dengan iOS Appstore atau Google Playstore, sememangnya ia jauh ketinggalan, samada dari segi kuantiti aplikasi malah kualiti aplikasi juga. Malah tidak salah untuk dikatakan, ia juga ketinggalan dari Blackbery Appworld, yang mempunyai lebih banyak aplikasi berkualiti. Sebagai contoh, pelayar utama pada Windows Phone ialah Internet Explorer. Tetapi pelayar alternatif yang boleh didapati di dalam Windows Store hanyalah Opera, dan beberapa pelayar lain yang kurang dikenali. Tiada Chrome atau Firefox. Tetapi Windows Phone memang bermasalah dengan aplikasi dari Google, apatah lagi aplikasi Youtube masih tidak terdapat pada Windows Phone hingga kini. Antara kelebihan yang terdapat pada Windows Phone ialah, adanya aplikasi Microsoft Office terbina di dalamnya, yang didatangkan bersama storan awan OneDrive, apllikasi nota OneNote dan aplikasi emel Outlook. Skype turut siap datang di dalamnya, dan boleh digunakan percuma dalam beberapa keadaan.

Lumia535 - UI apps Lumia Lumia535 - Keyboard

Nasib baik, dengan adanya Lumia Denim bersama Lumia 535, ia memberikan tambahan beberapa aplikasi terbaik Nokia untuk kegunaan Windows Phone. Antara aplikasi hebat Nokia yang terdapat pada Lumia, ialah HERE Drive+ dan HERE Maps. Kedua-dua aplikasi ini adalah peta dan navigasi gps yang percuma, dan boleh digunakan tanpa sambungan aktif internet. Selain itu, ia juga mempunyai aplikasi interaktif dan multimedia seperti Lumia Beamer, Lumia Camera, Lumia Cinemagraph, Lumia Creative Studio, Lumia Selfie dan Lumia Storyteller.

 

KAMERA

Sebut sahaja nama Lumia, pasti ramai menjangkakan kamera hebat yang sentiasa ada bersama jenama ini. Tetapi peranti yang berharga kurang RM500 ini, jangan diletakkan harapan yang terlalu tinggi. Walaubagaimanapun, ia masih memiliki beberapa kehebatan yang tidak terdapat pada telefon pintar yang jauh lebih mahal darinya.

Kamera utama Lumia 535 di belakang mempunyai resolusi 5MP sahaja, dengan auto fokus dan satu LED Flash. Kamera ini tidak mempunyai penstabil imej serta fungsi HDR. Tetapi apa yang menjadikannya hebat, ialah aplikasi Lumia Camera. Aplikasi Lumia Camera mempunyai tetapan seperti kamera manual, yang menjadikan jurugambar seronok menggunakannya, waaupun hasilnya mungkin tidak seberapa. Tetapan manual pada Lumia Camera adalah White Balance, ISO, exposure, malah tetapan fokus serta kelajuan shutter, yang jarang dilihat hatta pada kamera berharga lebih RM1000.

Lumia535 - Camera 01 Lumia535 - Camera 02 auto Lumia535 - Camera 02 manual

Beberapa percubaan kami mengambil gambar dengan kamera Lumia 535 ini, memberikan hasil yang mengatasi jangkaan untuk telefon mampu milik ini. Dengan beberapa pilihan tetapan manual, gambar di dalam pencahayaan malap, boleh diambil dengan terang. Malah, gambar yang dizum juga lebih baik dari telefon di dalam kelasnya. Dengan kehebatan seperti ini, tidak dapat dinafikan dengan perkakas lebih hebat pada model Lumia yang lebih mahal, dapat menghasilkan gambar kamera yang jauh lebih memukau.

Satu lagi fungsi yang ditekankan Microsoft pada Lumia 535, ialah kamera hadapannya yang mesra pengguna selfie. Ia mempunyai resolusi yang sama seperti kamera belakang, iaitu 5MP dengan lensa lebar yang boleh mengambil gambar lebih lebar pada jarak dekat, sesuai dengan gelaran mesra selfienya. Jika anda mahu kualiti lebih baik dengan auto fokus, apa kata mencubanya dengan kamera belakang. Aplikasi Nokia Selfie mempunyai kebolehan mengambil gambar automatik dengan kamera belakang. Fungsi auto selfie padanya, boleh mengesan ruangan muka terletak tepat di tengah gambar, dengan menghasilkan bunyi untuk memberitahu pengguna menggerakkan kepala. Semakin ke tengah muka, semakin kuat bunyinya. Apabila ia mengesan mua terletak betul-betul di tengah gambar, scara automatik gambar akan diambil. Selfie berkualiti tinggi lebih mudah dengan Nokia Selfie.

Lumia535 - Camera Selfie Lumia535 - Camera video manual

Tetapi ia berbeza pula di bahagian video. Lumia 535 hanya menyokong rakaman video sehingga 480p sahaja, tidak mencapai HD langsung. Sememangnya ia bukan disasarkan untuk mengambil video berkualiti HD.

Sampel Gambar Kamera Microsoft Lumia 535

TheSkop Lumia 535 001 indoor TheSkop Lumia 535 002 outdoorTheSkop Lumia 535 003 outdoor TheSkop Lumia 535 004 indoor

 

BATERI

Bateri pada Lumia 535 ini boleh ditanggalkan, selepas penutup belakang dibuka. Ia mempunyai kapasiti 1905mAH, kapasiti biasa bagi telefon berskrin 5-inci, walaupun semakin banyak telefon dengan skrin yang sama menampilkan kapasiti bateri lebih besar, seperti 3100mAh pada Honor 6.

Lumia535 - Bateri usage

Dari penggunaan separa aktif, Lumia 535 memberi jangka hayat selama 1 hari 6 jam untuk bateri jatuh ke 16%. Satu perkara yang mungkin paling kurang memakan tenaga berbanding telefon lain, ialah skrinnya yang beresolu rendah. Skrin dengan resolusi tinggi lebih kuat menggunakan tenaga.

Terdapat satu fungsi penjimatan bateri terbina di dalam Lumia 535, yang dipanggil Battery Saver. Apabila diaktifkan, fungsi yang kurang berguna dan aplikasi yang sedang berjalan tetapi tidak digunakan, akan dipadam & paling utama notifikasi akan kurang kelihatan, mungkin tidak aktif ketika skrin padam.

 

PRESTASI

Tidak banyak aplikasi menguji prestasi untuk Windows Phone. Terdapat aplikasi seperti Multibench 2, tetapi kelihatan seperti sudah lama tidak dikemaskini. Pada ujian MultiBench 2, Lumia 535 mencatat markah 45.526 untuk grafik, 6.931 untuk memori, 25.533 untuk storan data dan 16.279 untukk CPU. Satu lagi aplikasi benchmark yang kami temui ialah WP Bench, di mana Lumia 535 memperoleh markah sebanyak 251.45 mata.

Lumia535 - Benchmark MultiBench 2 Lumia535 - Benchmark WP bench

Kami menerima maklumbalas dari pengguna Lumia 525, mengatakan Lumia 535 kurang lancar apabila dibandingkan dengan Lumia 525. Walaupun kelihatan lancar, tetapi memang terasa perbezaan kelancaran antara kedua-dua Lumia ini. Terdapat satu tetapan di Lumia 525, iaitu “Touch Sensitivity” yang boleh ditetapkan ke High. Tetapan ini tidak terdapat pada Lumia 535.

 

KESIMPULAN

Lumia 535 merupakan telefon pintar di bawah model Lumia yang menggunakan nama Microsoft, yang pertama dikeluarkan. Walaupun pada nombor model ia kelihatan seperti peningkatan, dari segi prestasi sebenarnya ia lebih rendah dari Lumia 525. Mungkin ini strategi pemasaran Microsoft untuk pasaran permulaan, menyediakan telefon mampu milik yang fokus kepada keperluan golongan seperti ini, dengan menyingkirkan fungsi yang kurang perlu agar kos menjadi lebih rendah.

Pada harga RM429, ia memberi nilai terbaik untuk telefon pintar berasaskan Windows Phone 8.1, apatah lagi diperkasakan dengan kemaskini Lumia Denim. Semua aplikasi utama sedia untuk digunakan, walaupun untuk aplikasi tambahan terutama games, sedikit sukar untuk didapati dari Windows Store. Fungsi Lumia Camera dan Lumia Selfie dengan perkakas yang mencukupi, menjadikan Lumia 535 satu tarikan untuk penggemar selfie yang kekurangan modal mendapatkan telefon pintar. Apatah lagi, Lumia 535 didatangkan dalam warna yang garang dan trendi seperti cyan, oren dan hijau bak florsecent, yang pasti menjadi perhatian muda-mudi masakini.

Satu perkara lagi yang perlu diingat, Microsoft telah menjanjikan kemaskini Windows 10 untuk pengguna peranti Windows Phone 8.1, yang pastinya termasuk Microsoft Lumia 535 ini  🙂

Apa komen anda?