Sebab mahu jadi pertama, badan jadi binasa

Share Button

Bencana banjir yang menimpa negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang termasuk Perak masih belum pulih sepenuhnya. Pelbagai kisah dan tragedi berlaku sepanjang bencana banjir antara yang terburuk dicatatkan di dalam negara. Di zaman teknologi maklumat yang bergerak pantas ini, pelbagai berita dan spekulasi begitu mudah tersebar dengan kemudahan telefon pintar di setiap tangan rakyat Malaysia, termasuk gambar dan video yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Sebagai rakyat yang prihatin, adalah menjadi kewajipan kita untuk membantu sesama rakyat yang sedang di dalam kesusahan, apatah lagi di waktu bencana yang melanda di dalam negara. Menyampaikan maklumat dengan pantas kepada pihak berkuasa juga salah satu bantuan yang amat diperlukan. Tetapi bukan dalam bentuk penyebaran berita palsu malah menipu ataupun fitnah sama sekali.

Media sosial kini lebih pantas menyajikan berita kepada manusia berbanding akhbar, televisyen mahupun lamanweb berita itu sendiri. Satu perkara yang harus wartawan dan pemberita sejati harus patuhi dan turuti ialah menyampaikan berita yang benar dan disahkan sahaja. Sedangkan media sosial peribadi, adalah ruang persendirian berkongsi apa-apa jua maklumat, sesama rakan media sosial sahaja. Gosip adalah satu perkara yang sering menjadi perhatian dalam perbualan, dan paling sering dikongsikan di media sosial, yang mana gosip adalah berita yang tidak disahkan kebenaran kisahnya.

Pasti anda pernah terbaca atau menonton bagaimana syarikat media disaman kerana memaparkan berita tidak benar ataupun palsu. Perkara ini, sebenarnya tidak terlepas kepada individu. Tahukah anda, sesiapa rakyat Malaysia yang menyebarkan berita palsu dan tidak benar boleh ditahan dan dipenjara di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

“papankekunci adalah lebih bahaya dari bom nuklear”


Insiden penyebaran berita palsu semasa bencana banjir kali ini, telah memaksa SKMM menyiasat dan memanggil 14 individu untuk membantu siasatan. Sehingga kini, polis telah menahan seorang juruteknik yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir melalui laman sosial Facebook, serta sepasang suami isteri yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir melalui aplikasi WhatsApp.

Perkara ini dengan mudah boleh terjadi pada diri kita sendiri, kerana terlalu mudah untuk menekan butang share pada Facebook apatah lagi butang forward pada Whatsapp kerana tiada caj yang dikenakan. Berbanding dengan mencari terlebih dahulu, samada bertanya dengan pakcik Google ataupun abang Yahoo, benarkah berita yang dibaca ini, sebelum dikongsikan. Pastinya anda tahu, dosa menyebarkan fitnah adalah lebih teruk dari membunuh. Malah pepatah juga ada mengatakan, mata pena adalah lebih tajam dari mata pedang. Dalam hal ini, papankekunci adalah lebih bahaya dari bom nuklear.

Kerana itu, sebelum menekan butang share, sebelum menekan butang RT, sebelum menekan butang forward, silalah luangkan masa meneliti dan mencari sumber sahih berkenaan berita yang tersebar. Mungkin anda terlepas dari penjara dunia, tetapi bagaimana pula di padang sana nanti?

(SUMBER: Bernama 1, Bernama 2)

Apa komen anda?