Pengganti GALAXY Alpha tiba minggu depan

Share Button

Samsung Malaysia dijangka akan melancarkan telefon pintar yang menggantikan GALAXY Alpha, iaitu GALAXY A3 dan GALAXY A5 minggu hadapan. Dikenali sebagai siri A, ia akan menggunakan rekabentuk badan besi serta kenipisan seperti GALAXY Alpha.

Samsung Malaysia akan mengadakan satu majlis pelancaran pada 8 Januari 2015 kelak, di mana dijangka telefon pintar GALAXY A3 dan GALAXY A5 akan diperkenalkan. Dengan serangan penuh dari pengeluar telefon pintar dari China seperti Xiaomi, Oppo, Meizu dan beberapa nama lagi, GALAXY siri-A dijangka akan turut sama memberi saingan sengit kepada telefon pintar dari China terutama dari segi harga dan rekabentuk.

GALAXY siri-A memfokuskan kepada rekabentuk badannya yang premium, menggunakan besi sepenuhnya serta lebih nipis dari biasa. Tetapi spesifikasi perkakas dalamannya tidak terlalu tinggi, menjadikannya lebih mampu milik dengan harga lebih murah. Kedua-dua GALAXY siri-A ini digerakkan sistem operasi Android 4.4 KitKat.

Telefon GALAXY A5 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 410, 4-teras berkelajuan 1.2GHz, dengan 2GB RAM dan 16GB memori dalaman. Ia mempunyai skrin HD 720p Super AMOLED sebesar 5-inci. A5 dilengkapi kamera utama 13MP dan kamera hadapan 5MP. Dengan kenipisan hanya 6.7mm seperti GALAXY Alpha, ia memuatkan bateri berkapasiti 2300mAh. Ia juga memiliki rangkaian internet pantas 4G LTE.

GALAXY A5 depan GALAXY A5 belakang

Manakala GALAXY A3 pula, walaupun mempunyai CPU yang sama seperti GALAXY A5, tetapi RAMnya hanya 1GB. Memori dalamannya masih 16GB, tetapi skrinnya juga lebih kecil. GALAXY A3 mempunyai skrin qHD 540p Super AMOLED 4.5-inci. Kamera utamanya pula hanya 8MP, dengan kamera hadapan 5MP. A3 lebih tebal sedikit dari A5, iaitu 6.9mm tetapi lebih ringan dengan hanya 110.3 gram berat kerana kapasiti baterinya juga lebih kecil pada 1900mAh. A3 turut memiliki internet berkelajuan pantas 4G LTE.

GALAXY A3 depan GALAXY A3 belakang

Di Amerika Syarikat, GALAXY A3 dijual pada harga USD329.99 (~RM1149) manakala GALAXY A5 pula berharga USD409.99 (~RM1449). Dapat dijangkakan harga untuk GALAXY A3 sekitar RM1149 dan GALAXY A5 pula RM1449. Ia agak mahal jika mahu bersaing dengan telefon berjenama China, apatah lagi dengan matawang Ringgit Malaysia yang agak lemah berbanding Dolar US, memungkinkan kenaikan harga GALAXY siri-A ini apabila tiba di Malaysia pada 8 Januari kelak.

Apa komen anda?