LG menambah bengkok pada G Flex2

Share Button

LG Electronics adalah salah satu syarikat pengeluar barangan elektronik terkemuka di dunia. Di CES 2015 kali ini, mereka memperkenalkan telefon pintar revolusi, G FLex2 dengan rekaan melengkung yang menerima pujian ramai pada model sebelum ini. G Flex2 yang baru ini kini dilengkapi dengan rekaan lebih menawan dengan prestasi lebih baik dan yang paling utama, penggunaan yang lebih mudah.

LG GFlex2 dikuasakan CPU baru dari Qualcomm, iaitu Snapdragon 810 64-bit yang mempunyai 8-teras berkelajuan 2.0GHz. Ia digandingkan dengan RAM 2GB DDR4 dan cip grafik Adreno 430 untuk prestasi gambar berkualiti tinggi. CPU Snapdragon 810 juga dillengkapi ‘Carrier Aggregation’ 3x20MHz bagi kualiti rangkaian yang lebih baik dan stabil.

LG GFlex 2 spec2

Skrin melengkung pada G FLex2, kini lebih melengkung berbanding model sebelum ini. Kali ini ia menampilkan skrin melengkung dengan radius dari 400mm hingga 700mm merentasi depan, belakang, tepi serta dari atas ke bawah. Rekaan dinamik dengan lengkung berlapis ini menambahkan lagi keanggunan rekabentuk G Flex2.

Paparan pada G Flex2 kali ini dipertingkatkan ke HD Penuh 1080p pada permukaan 5.5-inci. Ia menggunakan paparan P-OLED yang memberikan rekaan unik dan ketahanan pada G Flex2. Skrin G Flex2 juga 20% lebih lasak dengan selaput bahan kimia istimewa yang direka oleh LG. LG turut mengekalkan belakang telefon ini dengan permukaan pulih sendiri, yang memastikan telefon sentiasa bersih dari calar. Tempoh pemulihan ini juga lebih pantas berbanding sebelum ini. Ia mengambil masa hanya 10 saat pada suhu bilik, berbanding 3 minit sebelum ini.

LG GFlex 2 red back

Salah satu kelebihan yang terdapat pada G Flex2, ialah kameranya yang dilengkapi autofokus lazer. Teknologi ini membolehkan gambar diambil kekal tajam walaupun dengan cahaya malap, dengan mengukur jarak subjek menggunakan cahaya lazer. Ia digabungkan dengan penstabil imej optikal OIS+ ciptaan LG serta dwi flash LED bagi menghasilkan gambar yang hebat.

LG melengkapkan beberapa fungsi bagi menjadikan penggunaan G Flex2 lebih mudah. Fungsi Gesture Shot membolehkan gambar diambil dengan lambaian tangan mudah sehingga 1.5 meter jauh. Manakala Gesture View memberi akses pantas untuk memeriksa gambar yang terakhir diambil. Fungsi GlanceView pula memaparkan info penting seperti masa, mesej terkini atau panggilan yang terlepas dengan sapuan mudah ke bawah ketika skrin padam. LG turut melengkapkan teknologi pengecasan pantas pada satu-satunya bateri melengkung di dunia ini, dengan mengecas sepantas 50% kapasiti dalam masa 40 minit sahaja.

LG GFlex2 akan mula dijual di Korea Selatan pad akhir bulan ini dan diikuti pasaran di negara lain berikutnya. Ia didatangkan dalam 2 pilihan warna iaitu Platinum Silver dan Flamenco Red.

LG GFlex 2 color platinum and red LG GFlex 2 side left LG GFlex 2 side right

Apa komen anda?