Intel Malaysia berkongsi bayangan teknologi tahun 2015

Share Button

Banyak inovasi dan teknologi baru diperkenalkan pada tahun lepas, 2014. Intel Malaysia sendiri, memperkenalkan pelbagai produk khususnya berkaitan PCU dan prosesor ke pasaran Malaysia, bukan sahaja buat pengguna malah kepada rakaniaga pengeluar peranti dan perkakas jua. Untuk itu, Intel yakin tahun 2015 akan membawakan lebih banyak lagi teknologi baru, yang telah diusahakan sejak 2014 atau sebelumnya.

Oleh itu, Sumner Lemon, Pengurus Negara Intel bagi Malaysia & Singapura berkongsi dengan rakan media berkenaan pandangan Intel berkaitan dunia teknologi, khususnya yang akan diperkenalkan pada tahun ini 2015. Sebagai permulaan, Intel Malaysia membawakan CPU terbaru keluaran Intel, dari keluarga Intel Core generasi ke-5, dengan penggunaan teknologi 14nm yang lebih jimat tenaga dan efisyen.

Sumner Lemon

Sumner Lemon

Dengan pengenalan CPU yang semakin kecil, kurang menggunakan tenaga dan tidak melepaskan haba yang banyak, peranti 2-dalam-1 dan semua-dalam-1 semakin banyak dapat dihasilkan. Tahun ini, pengeluar-pengeluar perkakas dan peranti semakin berlumba-lumba untuk menghasilkan laptop yang boleh dilipat 360-darjah dan berfungsi sebagai tablet, dalam badan yang nipis dan ringan. Pengguna juga, semakin ramai lebih gemarkan produk hibrid seperti ini, berbanding memiliki laptop dan tablet secara berasingan.

Satu perkara yang banyak diperkatakan tahun lepas dan akan menghasilkan lebih banyak produk berkaitan pada tahun ini ialah, Internet of Thing (IoT). IoT menjadikan produk menerima gelaran pintar, apabila dapat berkomunikasi, berinteraksi malah memberi maklum balas antara satu sama lain, kebanyakannya diproses melalui sistem awan. Pameran CES 2015 di Las Vegas minggu lepas, menyaksikan banyak syarikat mempamerkan produk IoT mereka, seperti contoh BMW mempertontonkan kereta elektrik mereka yang dapat dikawal dari jam tangan pintar Samsung Gear S.

Bagi memacu pengeluaran produk IoT, Intel sendiri mengambil inisiatif menghasilkan produk dan sistem berkaitan. Pada tahun lepas, Intel telah mempamerkan produk prototaip mereka, seperti Intel Edison, sebuah sistem komputer lengkap yang boleh beroperasi sendiri, dengan saiz hanya sebesar kad memori SD. Edison boleh dimuatkan ke dalam prototaip Intel Galileo untuk memberinya lebih banyak fungsi. Intel juga mempamerkan Compustick, sistem komputer lengkap dalam bentuk USB drive, yang boleh dicucuk pada skrin & monitor dan terus beroperasi seperti komputer biasa.

IFS-Intel-Edison-sebesar-setem-dan-syiling-20-sen IFS-Intel-Galileo-merupakan-komputer-mini-lengkap

Intel turut bersama dalam kumpulan pembangun teknologi Rezence, bagi membangunkan standard pengecasan tanpa wayar. Intel membayangkan produk ini akan dikomersialkan pada tahun ini, apabila Intel sendiri telah pun mendapat kerjasama dari Lapangan Terbang San Francisco dan juga syarikat penerbangan Emirates, untuk penggunaan pengecasan tanpa wayar di tempat mereka.

Dunia pengimejan terutama kamera juga akan berevolusi pada tahun ini, apabila teknologi seperti Intel Real-Sense mula dibina ke dalam peranti seperti laptop dan tablet. Dengan Real-Sense, ia dapat mengesan kedalaman dengan lebih tepat. Rekabentuk model 3D boleh diambil terus dari kamera, tanpa perlu peralatan khas luaran. Tahap kedalaman di dalam gambar juga boleh diubahsuai walaupun selepas gambar diambil. Gerakan tangan dengan perbezaan jarak juga boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai arahan berbeza, dengan penggunaan teknologi Real-Sense ini. Dunia 3D juga boleh dihasilkan secara fizikal, apabila digandingkan dengan pencetak 3D yang semakin meningkat popularitinya.

Intel Real Sense

Dalam menghadapi perkembangan dan inovasi teknologi ini, pengguna juga harus menyiapkan diri mereka untuk menerima kehadiran teknologi yang semakin canggih. Pengguna harus bersedia agar teknologi ini tidak mendahului manusia, sehinggakan ianya di luar kawalan dan menimbulkan lebih banyak kerosakan.

Apa komen anda?