PC anda 9x pantas dengan Intel Core Generasi ke-5

Share Button

Intel hari ini mengumumkan prosesor terbaru keluaran mereka, generasi ke-5 Intel Core yang memperkenalkan teknologi terkini Intel menggunakan prosesor 14nm. Keluarga prosesor generasi ke-5 intel Core ini menampilkan 14 prosesor baru untuk pengguna dan perniagaan, termasuk 10 prosesor baru 15W dengan Intel HD Graphics serta 4 lagi prosesor 28W dengan Intel Iris Graphics.

Prosesor generasi ke-5 Intel Core ini terhasil untuk menguasakan peranti akan datang dengan rekaan lebih nipis, ringan serta pengalaman lebih efisyen, termasuk laptop tradisional, laptop 2-dalam-1, Ultrabooks, Chromebook, PC Desktop semua-dalam-1 serta Mini PC.

Dengan pengenalan prosesor baru ini, Intel turut sama mengeluarkan prosesor 14nm untuk tablet generasi akan datang, dengan kod nama ‘Cherry Trail’. Sistem atas cip (SoC) yang baru ini menawarkan prestasi pengiraan 64-bit, grafik yang dinaiktaraf dengan teknologi grafik Intel Generation 8-LP, prestasi lebih tinggi serta bateri yang bertahan lebih lama. Ia juga mempunyai kebolehan LTE-Advanced di atas platform Intel XMM 726x, yang menyokong kelajuan CAt-6 dan ‘Carrier Aggregation’. Pengguna boleh mendapatkan peranti berasaskan platform ini menjelang dalam separuh pertama tahun ini.

 

Lima manfaat utama yang dapat dinikmati pengguna menerusi keluarga baru prosesor generasi ke-5 Intel Core dan prosesor 14nm untuk tablet ialah:

1. Prestasi berkuasa tinggi

Prosesor generasi ke-5 Intel Core (siri U) menggnakan teknologi memproses terbaru Intel 14nm, bagi peningkatan berbanding generasi Intel Core sebelumnya, dengan kepadatan 35% lebih transistor pada permukaan 37% lebih kecil. Ia membolehkan prestasi grafik meningkat 24% lebih baik, sehingga 50% proses penukaran video lebih pantas. Bagi pengguna yang bertukar dari PC berusia 4-5 tahun, mereka akan dapat merasakan peningkatan yang ketara dengan prestasi grafik 12x lebih baik, penukaran video 8x lebih pantas, prestasi produktiviti 2.5x lebih cepat dan hidup mula komputer 9x lebih laju.

2. Cekap tenaga untuk bateri tahan lebih lama

Dengan pengurusan tenaga dan rekaan baru pada prosesor ini serta peningkatann efisiensi pada proses Intel 14nm, pengguna boleh mendapatkan jangka hayat bateri lebih panjang 1.5x berbanding generasi ke-4 Intel Core (siri U). Lebih banyak tenaga dan kuasa tanpa mengorbankan jangka hayat bateri.

3. Menonton dan bermain game lebih baik dengan Intel Graphics

Intel membawakan evolusi terkini dalam arkitetur prosesor grafiknya ke dalam prosesor terbaru ini. Ia menawarkan pilihan grafik dari Intel HD Graphics 5500, HD Graphics 6000 serta Intel Iris Graphics 6100. Kesemua ini menawarkan grafik menawan serta sokongan paparan Ultra HD 4K termasuk melalui Intel Wireless Display 5.1. Platform baru ini turut menyokong codex terbaru seperti VP8, VP9 dan HEVC serta sokongan ke atas API grafik terkini seperti DirectX 11.2 & DirectX 12, juga fungsi programming grafik termasuk OpenCL 2.0 dan OpenGL 4.3. Intel Iris Grafik pula menawarkan prestasi 3D yang lebih baik.

4. Sokongan Internet of Things (IoT)

IoT yang semakin banyak diperkatakan, turut disokong dan boleh dikuasakan prosesor terbaru Intel ini. Malah, teknologi proses 14nm dalam pakej lebih kecil tetapi berkuasa tinggi, membolehkan peranti baru direka lebih mudah dengan sistem pengurusan haba lebih baik tanpa kipas. Ini akan mempercepatkan penghasilan lebih banyak produk IoT dalam masa akan datang.

5. Pengalaman lebih hidup dan asli

Prosesor generasi ke-5 Intel Core boleh digandingkan dengan teknologi Intel RealSense 3D, bagi penggunaan tanpa wayar serta bantuan suara bagi memberi pengguna pengalaman lebih asli dan interaktif kepada pengguna. Teknologi Intel RealSense 3D membawakan fungsi seperti kawalan gerakan, tangkapan gambar 3D serta pengeditan, juga kebolehan gambar dan video lebih inovatif. Cherry Trail pada tablet akan menambah kebolehan seperti login menggunakan muka, capjari atau apa jua peranti yang diyakini pengguna. Intel RealSense Snapshot memberi kebolehan mengambil gambar dengan pengesanan kedalaman (depth sensing) untuk mengubah fokus, mengira jarak dan menambah efek dinamik hanya dengan sentuhan jari sahaja.

intel depth sensing

Keluarga prosesor generasi ke-5 Intel Core merangkumi Intel® Core™ i3, Intel® Core™ i5, Intel® Core™ i5 vPro™, Intel® Core™ i7, dan Intel® Core™ i7 vPro™. Prosesor baru Intel Pentium dan Intel Celeron berasaskan proses 14nm juga turut sama dihasilkan. Sistem berasaskan prosesor baru ini akan dihasilkan pengeluar dan mula dijual pada Januari 2015. Manakala peranti berasaskan Cherry Trail dijangka akan muncul pada pertengahan pertama tahun 2015. Untuk lebih maklumat lanjut, layari www.intel.com

Prosesor generasi ke-5 Intel Core

Apa komen anda?