GALAXY A7 paling nipis bakal berlabuh di Malaysia

Share Button

Pada awal bulan ini, Samsung Malaysia telah mengadakan upacara pelancaran gilang-gemilang bagi telefon pintar yang menggantikan GALAXY Alpha yang nipis dengan penuh kemasan besi, iaitu siri GALAXY A yang merangkumi model GALAXY A3 dengan skrin 4.5-inci dan GALAXY A5 dengan skrin 5.0-inci. Kali ini, Samsung Malaysia mengumumkan GALAXY A7 dengan skrin 5.5-inci sudah berada di pasaran Malaysia.

Telefon pintar GALAXY A7 dilengkapi spesifikasi terbaik dalam siri GALAXY A. Skrin 5.5-inci padanya mempunyai resolusi HD Penuh 1920×1080 menggunakan paparan Super AMOLED keluaran Samsung. Ia menggunakan CPU Samsung Exynos yang menggunakan gabungan 4 teras berkelajuan 1.8GHz berkuasa tinggi serta 4 lagi teras berkelajuan 1.3GHz yang jimat tenaga. RAMnya digandakan dari A5 menjadi 2GB dengan memori dalaman yang sama sebanyak 16GB. Baterinya juga mempunyai kapasiti terbesar iaitu sebanyak 2600mAh.

Samsung GALAXY A7 spec

Beberapa fungsi utama siri GALAXY A yang ada pada A3 dan A5, juga terdapat pada A7. Fungsi paling utama, ialah kamera hadapannya yang dilengkapi selfie bersudut lebar untuk mengambil gambar lebih luas, serta kebolehan mengambil gambar hanya dengan arahan suara ataupun semudah lambaian tangan sahaja. Untuk perkongsian gambar dan video segera, A7 dilengkapi rangkaian internet pantas 4G LTE.

Badan telefon pintar GALAXY A7 diperbuat daripada besi dengan rekabentuk unik. Tebalnya juga yang ternipis dalam keluarga GALAXY A dengan A3 setebal 6.9mm, A5 setebal 6.7mm, manakala A7 hanya setebal 6.3mm sahaja. Rekabentuk ini pastinya menarik perhatian muda-mudi yang gemarkan rekabentuk bergaya sebegini.

GALAXY A7 akan dijual di pasaran Malaysia pada harga RM1499 dengan tiga pilihan warna iaitu putih mutiara, hitam malam gelap dan juga emas champagne. Ia boleh mula didapati di semua kedai Samsung Experiences serta pengedar sah Samsung bermula Februari 2015. Baca juga laporan kami ketika pelancaran GALAXY A3 dan GALAXY A5 di sini.

GALAXY A7 - Pearl White GALAXY A7 - Midnight Black GALAXY A7 - Champagne Gold 2

Apa komen anda?