CyberSecurity meraikan media dan menganugerahkan sijil akreditasi

Share Button

Pada 15 januari yang lepas, bertempat di Hotel Hilton Kuala Lumpur, CyberSecurity Malaysia selaku pakar agensi keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah meraikan media Malaysia dengan satu majlis penghargaan, di atas sokongan berterusan mereka kepada CyberSecurity Malaysia khasnya dan MOSTI amnya.

Majlis ini telah dihadiri sendiri oleh Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah serta Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Cybersecurity, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara) yang turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr. Amirudin bin Abdul Wahab dan pegawai-pegawai dari MOSTI serta pihak pengurusan Cybersecurity Malaysia.

Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara) menekankan, ketepatan laporan adalah perkara asas dalam etika kewartawanan. Laporan yang tidak tepat boleh menjejaskan nilai berita dan ianya juga boleh mengelirukan orang ramai. Ketepatan informasi mencabar kerana berita kini disiarkan melalui internet. Dengan kebangkitan media dalam talian, berita terkini boleh dikongsi dengan orang ramai dalam sekelip mata. Oleh demikian, agensi berita harus memastikan laporan yang dibuat adalah tepat dan fakta diakui kesahihannya. Faktor masa dan ketepatan informasi perlu diseimbangkan.

Anugerah Penghargaan CyberSecurity Malaysia bagi Kategori Media Paling Menyokong CyberSecurity Malaysia adalah seperti berikut:

1. Syarikat Media Paling Menyokong 2014 – Kumpulan Media Prima

2. Media Percetakan Yang Paling Menyokong 2014 (Suratkhabar) – Harian Metro

3. Media Percetakan Yang Paling Menyokong 2014 (Majalah/Terbitan Berkala) – Computerworld Malaysia

4. Media Atas Talian yang paling Menyokong – New Straits Times Online

5. Media Penyiaran Paling Menyokong (TV) – RTM TV1

6. Media Penyiaran Paling Menyokong (Radio) – BERNAMA Radio 24

Cybersecurity 2015 - penerima anugerah media

Di dalam majlis yang sama, Cybersecurity turut menganugerahkan Akreditasi Pensijilan Antarabangsa, iaitu Common Criteria ISO/IEC 15408, Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001 dan Malaysia Trustmark untuk e-Perniagaan, kepada 92 buah organisasi di Malaysia.

Cybersecurity Malaysia telah melakukan pemeriksaan dan pengauditan sebelum mengeluarkan persijilan melalu Badan Pensijilan Keselamatan Maklumat (ISCB) setelah organisasi tersebut didapati mematuhi standard antarabangsa dalam keselamatan maklumat, mengikut kategori masing-masing.

Cybersecurity Malaysia yang telah dilantik sekali lagi sebagai Pengerusi World Trustmark Alliance (WTA) bagi tahun 2014,telah memulakan insiatif kebangsaan penting untuk mengukuhkan piawaian Pensijilan Keselamatan Maklumat di Malaysia. Pensijilan Keselamatan Maklumat oleh CyberSecurity Malaysia adalah penting untuk memastikan maklumat perniagaan dilindungi secukupnya. Langkah ini menyokong dua tonggak Program Transformasi Ekonomi, iaitu ‘Keselamatan Negara & Rakyat’ dan ‘Pemangkin Pertumbuhan Industri’ dengan membina daya pulih pada Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII).

Menurut Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara), Malaysia berada pada kedudukan ketiga dunia, bersama Australia dan Oman, di kalangan 193 negara ahli Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), sebagai negara yang memberi komitmen tertinggi dari segi keselamatan siber, berdasarkan Indeks Keselamatan Siber Sedunia yang dikeluarkan pada Disember 2014. Di Asia Pasifik, Malaysia menduduki tangga teratas bersama Australia, jauh mendahului negara Asia Tenggara yang lain. Ini membuktikan komitmen CyberSecurity Malaysia yang tinggi dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan negara dari segi keselamatan siber.

Sehingga kini, CyberSecurity Malaysia menerusi Badan Pensijilan Keselamatan Maklumat (ICSB) telah memperakui 41 produk ICT di bawah skim MyCC dan 22 organisasi Prasarana Maklumat Negara Kritikal (CNII) di bawah Skin CSM27001, manakala 29 laman web e-Perniagaan telah disahkan di bawah Perkhidmatan Malaysia Trustmark. CyberSecurity Malaysia telah dilantik sebagai Ahli Pengeluar Sijil oleh Perjanjian Pengiktirafan Common Criteria (CCRA) pada September 2013, yang mengiktiraf CyberSecurity Malaysia sebagai badan yang diakreditasi bagi mengeluarkan Sijil Common Criteria ISO/IEC 15408 yang diiktiraf di peringkat antrabangsa.

Cybersecurity 2015 - penerima anugerah ISO

Apa komen anda?