Test Produk – Blackberry Passport

Share Button
Kelebihan Kekurangan
  • Spesifikasi tinggi (Snapdragon 801, 3GB ram)
  • Bateri tahan lama hingga 2 hari (3450mAH)
  • Papankekunci Touchpad
  • Boleh pasang aplikasi Android melalui Amazon Appstore
  • Sistem sekuriti tahap Blackberry, dijamin selamat
  • Harga agak mahal (RM2399)
  • Papankekunci terlalu lebar, tidak boleh operasi sebelah tangan
  • Kamera agak perlahan menangkap gambar
  • Terlebih berat (196 gram)

 

PENGENALAN

Blackberry telah lama dikenali sebagai peranti yang mementingkan ciri-ciri keselamatan. Walaupun mengalami sedikit penurunan dalam jualan peranti selepas pengenalan Blackberry OS10 mereka, itu tidak membantutkan perkembangan Blackberry kerana mereka terus fokus dalam usaha memastikan perniagaan benar-benar selamat dengan pelbagai solusi keselamatan yang mereka sediakan.

CEO Blackberry, John Chen telah menerajui Blackberry selama setahun, dan terkini beliau telah memperkenalkan peranti Blackberry terbaru yang penuh dengan revolusi pembaharuan yang diberi nama, Blackberry Passport. Yang pasti, ciri-ciri keselamatan tetap menjadi fokus utama dalam peranti terbaru ini.

 

REKABENTUK LUAR

Passport atas Blackberry Passport

Blackberry Passport mendapat nama dari rupanya yang sebesar saiz passport sebenar. John Chen menerangkan, saiz ini merupakan satu keperluan bagi perniagaan kerana ia dapat memaparkan lebih banyak di atas skrin, berbanding telefon mahupun phablet bersaiz 6-inci yang lain. Beratnya juga bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, dengan keberatan 196 gram. Tetapi ia memberikan rasa premium setiap kali memegangnya. Mungkin pengguna kerangka besi menyumbang kepada keberatan ini, tapi John Chen telah memastikan ia tidak akan dapat dibengkok dengan mudah.

Passport memiliki skrin berbentuk segiempat sama sebesar 4.5-inci, sesuatu yang unik dan sukar ditemui dalam pasaran sekarang. Malah ada yang menyamakannya sebesar sekeping keju. Ia mempunyai resolusi 1440×1440, yang pastinya berkemampuan HD. Skrin ini lebih lebar jika dibandingkan dengan peranti 6-inci sekalipun.

Dari hadapan, kelihatan skrin empat segi sama itu memakan lebih banyak ruang. Rekaan Blackberry lama era OS7, menyaksikan skrin dan papankekunci berkongsi ruang yang sama besar. Tetapi pada Passport, skrin mengambil 3/4 dari keseluruhan ruang dan papan kekunci pula memenuhi 1/4 ruang di bawah.

BB Passport - depan theskop BB Passport - depan logo

Ruang atas di hadapannya memaparkan logo Blackberry, serta pembesar suara panggilan di atasnya. Manakala kamera hadapan terletak di sudut kanan telefon. Lampu LED notifikasi yang menjadi lambang peranti Blackberry, terdapat di sebelah kiri logo. Lampu LED ini sangat jelas dilihat, berbanding peranti jenama lain yang sering menggunakan LED yang sangat kecil dan sukar dilihat.

BB Passport - papankekunci

Di bahagian bawah, merupakan ruang papan kekunci Blackberry yang terkenal. papan kekunci ini mempunyai reka bentuk berbeza dari Blackberry yang biasa dilihat, kerana ia mempunyai hanya 3 barisan sahaja. Ia hanya mempunyai kekunci huruf, Spacebar, Delete dan Enter sahaja. Tidak terdapat nombor, simbol, Shift dan Alt. Blackberry meletakkan kekunci tambahan sebagai barisan dalaam kekunci maya, yang akan terpapar di skrin bawah apabila diperlukan.

BB Passport - kiri BB Passport - kanan

Di kiri Passport, hanya kelihatan besi yang menjadi frame untuknya. Butang kawalan suara terletak di sebelah kanan Passport, bersama butang khas di tengahnya. Butang khas ini boleh digunakan untuk memainkan atau menghentikan lagu, atau apa jua arahan yang ditetapkan padanya.

Apabila dipusingkan 90-darjah di atas, akan dapat dilihat port audio3.5mm di sebelah kiri. Di sebelah kanan pula, terdapat butang kuasa yang mempunyai warna sama seperti garisan perak, tetapi dapat dirasakandengan tangan kerana ia terbonjol sedikit. Terdapat satu lubang di tengahnya, yang digunakan untuk mengumpil keluar penutup belakang dan akses ke slot kad memori dan kad sim.

BB Passport - atas BB Passport - bawah

Port USB 2.0 boleh didapati di bawah Passport. Ia diapit oleh dua pembesar suara, yang juga diletakkan di bawah Passport. Pembesar suara ini mmebawkan sokongan bunyi stereo, dan ia juga menghasilkan bunyi yang sangat kuat. Bunyi notifikasi terutamanya, sangat jelas kedengaran jika ditetapkan pada tahap maksima, lebih dari yang diperlukan.

Melihat di belakang Passport, sudah menjadi kemestian meletakkan logo di tengahnya. Blackberry turut sama meletakkan logo BBnya di tengah-tengah. Kamera belakang 13MP pula beradadi atas logo, yang turut diletakkan di tengah, beserta LED Flash di atasnya. Terdapat satu garisan perak merentasi kamera belakang ini.

BB Passport - belakang BB Passport - belakang kamera

Garisan perak ini menjadi pemisah ruangan yang boleh dibuka. Bahagian di atas garisan perak ini boleh dibuka untuk akses ke slot kad memori dan kad sim. Passport menggunakan kad sim SD bersaiz mikro, manakala kad sim pula bersaiz nano. Semua slot ini terletak di sebelah kiri. Di bahagian tengah, boleh didapati maklumat seperti no pin BBM, negara pengeluar, serta no IMEI. Mankala di bahagian kanan tercetak nombor model Passport serta beberapa logo pengesahan.

 

KUASA DALAMAN

Untuk Blackberry Passport kali ini, mereka memastikan perkakas yang terbaik terdapat di dalamnya. Ia menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 801 4-teras berkelajuan 2.2GHz. RAM sebesar 3GB dan memori dalam pula 32GB, memastikan ruang memori dan simpanan fail lebih dari mencukupi. Memori dalaman ini boleh ditambah dengan kad memori mikro-SD.

Blackberry Passport spec

Telefon ini menyokong 4G LTE, sesuatu yang normal bagi telefon berprestasi tinggi. Ia dilengkapan jua dengan sambungan tanpa wayar seperti WiFi 802.11ac serta Bluetooth 4.0 bertenaga rendah. NFC juga terdapat padanya untuk penghantaran data semudah satu sentuhan.

Passport OS10UI - BBVE

 

SISTEM OPERASI & ANTARAMUKA

Blackberry Passport dijalankan di atas BlackBerry OS10 yang terbaru, iaitu BBOS 10.3 yang antara fungsi terbarunya ialah, kebolehan memasang aplikasi Android secara terus dari Amazon Appstore. Blacberry OS10 juga menggunakan hanya sapuan untuk operasinya, tiada butang back atau home diperlukan. Untuk keluar dari aplikasi, sapu dari bawah skrin ke atas. Sapuan satu jari dari atas ke bawah, akan memaparkan tetapan untuk aplikasi. Manakala sapuan dua jari dari atas ke bawah, akan membawakan ruangan tetapan pantas seperti WiFi, Bluetooth dan NFC.

Passport OS10UI - BB HUB Passport OS10UI - shortcut setting

Antaramuka Home, di bahagian kiri sekali akan memaparkan Hub. Hub ialah ruangan di mana semua notifikasi terbaru semua aplikasi dipaparkan. Email, BBM, Whatsapp, Facebook, Twitter dan semua notifikasi baru boleh dilihat di sini. Ia boleh dilihat secara satu-satu aplikasi, ataupun semua sekaligus. Terdapat juga tetapan Priority Hub untuk memaparkan notifikasi terpenting sahaja.

Disapu dari kanan ke kiri, akan sampai ke antaramuka Home. Pada pertama kali mengaktifkan peranti, akan boleh dilihat waktu dan tarikh. Tetapi selepas beberapa penggunaan, antaramuka Home ini akan memaparkan aplikasi yang telah digunakan. Pengguna boleh kembali ke aplikasi yang telah digunakan di sini.

Passport OS10UI - Recent Apps Passport OS10UI - Apps 01

Di sebelah kanan ruangan Home, adalah antaramuka aplikasi. Semua aplikasi akan disusun di bahagian ini, dan bersambung ke muka seterusnya. Terdapat 20 aplikasi di dalam satu halaman dalam susunan 5×4. Halaman akan bertambah sendiri apabila ikon aplikasi telah memenuhi satu muka tersebut.

Untuk memasang aplikasi, Blackberry mempunyai stor aplikasinya sendiri, iaitu Blackberry Appsworld. Tetapi dengan pengenalan Blackberry OS10 ia telah mual boleh dipasang dengan aplikasi Android. Kini, di dalam kemaskini OS 10.3 yang siap dipasang pada Passport, ia menyertakan stor aplikasi Amazon Appstore yang menyediakan kemudahan mencari dan memasang aplikasi Android. Keserasian mungkin satu masalah kerana aspek skrin yang unik ini, tetapi lebih banyak aplikasi dapat dipasang dengan kedatangan Amazon Appstore ini.

Passport OS10UI - BB Appsworld Passport OS10UI - Amazon Appstore Android

Blackberry juga kali ini menyertakan aplikasi Blackberry Blend. Ia membolehkan kawalan dan penggunaan telefon Blackberry Passport, pada peranti lain seperti laptop dan tablet. Pengguna boleh membaca emel, mesej, memuat turun atau naik fail ke dalam Passport, dari peranti lain. Dan ianya pasti sangat selamat, dengan jaminan dari Blackberry.

 

KAMERA

Blackberry Passport dilengkapi dengan kamera hadapan 2MP dan kamera belakang 13MP. Kamera belakang ini dilengkapi auto-fokus dan LED Flash. Ia juga mempunyai tetapan HDR.

Passport OS10UI - Camera Option Passport OS10UI - Camera Setting

Dari percubaan kami dengan kamera pada Passport, kami mendapati Blackberry masih tidak memberi penekanan dalam aspek ini. Aplikasi kamera agak lambat untuk dilancarkan, dan kamera mengambil masa agak lama untuk merakamnya. Jika mod HDR digunakan, ia mengambil masa lebih panjang untuk memproses. Standard kamera pada Passport dapat dirasakan jauh ketinggalan dalam kelas peranti berharga lebih RM2000. Ia menjalankan tugas mencukupi untuk menangkap gambar, tetapi bukan untuk peminat kamera pastinya.

Passport boleh menangkap gambar dalam bentuk 1:1 yang sama sperti skrinnya berbentuk empat segi sama. Dalam aspek ini, boleh dikatakan ia sangat tepat untuk penggunaan Instagram. Untuk mengambil gambar dengan kebolehan penuh lensa, aspek 16:9 dapat merakam paling banyak keluasan. Manakala aspek 4:3 memberi piksel tertinggi pada 13MP, tetapi kelebarannya kurang sedikit berbanding aspek 16:9. Untuk mengambil gambar paling luas, Passport turut memiliki fungsi panorama yang mencantumkan beberapa gambar secara automatik.

SAMPEL GAMBAR

 kamera BlackBerry Passport - Satu Satu kamera BlackBerry Passport - EnamBelas Sembilan

kiri: 1:1, kanan 16:9

 

BATERI

Jangka hayat merupakan kelebihan terbaik yang terdapat pada Blackberry Passport. Penggunaan aktif kami dengan 4 email, Facebook, Twitter, Instagram, dan browser seharian, memberi jangkat hayat 2 hari. Walaupun bukan sepenuhnya 48 jam, tetapi ia dapat bertahan dari waktu bangun hari pertama sehingga pulang dari waktu pejabat pada hari kedua. Kapasiti 3450 mAH yang diletakkan di dalam Passport benar-benar membantu memanjangkan hayat Passport.

Passport OS10UI - Penggunaan Bateri

Aspek ini patut diberi perhatian oleh pengeluar yang lain. Dari pendapat kami, pengguna kini lebih gemarkan peranti yang sedikit tebal tetapi memiliki kapasiti bateri lebih besar, berbanding peranti yang terlalu nipistetapi tidak dapat bertahan lama. Dapat dilihat di Malaysia, ia sudah menjadi norma melihat orang ramai memegang telefon bersama powerbank.

 

KELEBIHAN LAIN

Blackberry telah sekian lama terkenal dengan papan kekuncinya yang selesa ditaip untuk berjam-jam lamanya. Dengan pengenalan Passport, Blackberry sekali lagi memperkenalkan revolusi dalam penggunaan papan kekunci, dengan teknologi yang dipanggilnya Touch Keyboard. Teknologi ini menjadikan keseluruhan papankekunci sebagai satu trackpad.

BB Passport - papankekunci

Dengan Touch Keyboard, pengguna boleh menggerakkan kursor dengan menggunakan keseluruhan papankekunci seperti trackpad pada laptop. Blackberry juga melengkapkan beberapa fungsi menarik untuk kegunaan papankekunci ini, seperti sapuan dari kanan ke kiri akan memadamkan terus satu patah perkataan. Ataupun sapu ke atas mengikut ruang papankekunci yang terbahagi tiga, untuk melengkapkan perkataan dengan perkataan yang dicadang oleh sistem.

 

KESIMPULAN

Blackberry Passport benar-benar membawakan revolusi dalam dunia telekomunikasi, dengan pengenalan pelbagai teknologi baru. Tetapi, ia mungkin tidak akan memenangi hati kebanyakan pengguna. Antaranya kerana saiz yang terlalu lebar yang sukar untuk digunakan sebelah tangan, serta skrin berbentuk empat segi yang sedikit pelik. Selain itu, aplikasi permainan mungkin tidak banyak terdapat pada Blackberry Appsworld, tetapi kini ia boleh menggunakan aplikasi Android melalui Amazon Appstore.

Selain itu, harga Passport yang agak mahal pada RM2399 mungkin menangguhkan hasrat beberapa peminat lama Blackberry yang ingin pulang ke sistem operasi Blackberry, setelah sekian lama menanti peranti premium dengan papan kekunci legenda Blackberry.

Tetapi daya ketahanan bateri yang lama, serta kebolehan memasang apllikasi Android padanya, menjadikan ia satu peranti yang fleksibel untuk pelbagai kegunaan. Kami juga sangat sukakan fungsi LED notifikasi yang sangat jelas pada Blackberry, yang sejak dahulu menjadi salah satu kegilaan pengguna telefon pintar. Malah, bunyi notifikasi juga sangat kuat.

Bagi yang mahukan ciri-ciri keselamatan sepenuhnya tanpa perlu kerisauan, di samping fungsi penuh sebuah telefon pintar terkini, Blackberry Passport merupakan satu-satunya peranti yang dapat memenuhi keperluan sebegini. Tidak hairanlah mengapa Presiden Amerika Syarikat & Perdana Menteri United Kingdom tidak dapat meninggalkannya dari sisi mereka kerana ia dapat membantu menguruskan negara, melalui peranti keluaran Blackberry.

Apa komen anda?