MAMPU dan Cybersecurity perkukuh keselamatan siber Malaysia

Share Button

CyberSecurity Malaysia merupakan pusat pakar keselamatan siber Malaysia, dan ia merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Semalam, bertempat di ibu pejabatnya, CyberSecurity telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. MoU ini ditandatangani bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya di bidang keselamatan siber.

Majlis menandatangani MoU ini disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Omar bin Kaseh, Ketua Pengarah MAMPU bersama YBrs. Dr. Amirudin bin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia. MoU ini menandakan kerjasama strategik selama 2 tahun di antara kedua-dua agensi ini.

Dr. Amirudin bin Abdul Wahab (2 dari kiri) menandatangai Mou dengan Datuk Wira Omar bin Kaseh

Dr. Amirudin bin Abdul Wahab (2 dari kiri) menandatangai Mou dengan Datuk Wira Omar bin Kaseh (2 dari kanan)

Tujuh perkara keselamatan siber akan diperkasakan melalui kerjasama ini meliputi:

1. Pengurusan Insiden Keselamatan Siber
2. Forensik Digital
3. Tadbir Urus, Risiko & Pematuhan Keselamatan Maklumat (ISGRC)
4. Pembangunan Kompetensi dalam Bidang Keselamatan Siber
5. Program Kesedaran dan Pembudayaan Keselamatan Siber
6. Jaminan Keselamatan
7. Pensijilan Produk Keselamatan Siber

Kerjasama Pengurusan Insiden Keselamatan Siber akan dimantapkan dengan proses pengurusan pengendalian insiden keselamatan siber antara Government Emergency Response Team (GCERT sebagai wakil kerajaan) dan juga Malaysia Computer Emergency Response Team ( MyCERT sebagai wakil CyberSecurity). Ia juga akan bekerjasama dengan dengan agensi kerajaan dan sektor awam dalam menjalankan latih amal keselamatan siber.

Dalam bidang Forensik Digital, CyberSecurity Malaysia akan menyediakan perkhidmatan ini kepada agensi kerajaan bagi kes-kes insiden keselamatan siber yang melibatkan unsur perundangan, sanitasi data dan pemulihan data.

MAMPU & CyberSecurity juga akan membantu organisasi untuk mengukur tahap ketersediaan dan inisiatif dalam keselamatan siber, pelaksanaan pensijilan Information Security Management System (ISMS), pelaksanaan dan latih amal pengurusan kesinambungan perkhidmatan (Business Continuity Management) dan pemulihan bencana (Disaster Recovery) di agensi dan sektor awam.

Dr Amirudin menjelaskan, CyberSecurity Malaysia akan terus proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan ruang siber Negara terpelihara. Kerjasama dengan MAMPU ini juga mahu membawa pembudayaan keselamatan siber dalam komuniti digital Malaysia, khususnya penjawat awam, agar dapat menjadikan amalan terbaik keselamatan siber sebagai budaya hidup mereka.

Apa komen anda?