Gerakan bantuan BANJIR oleh Agensi dan Syarikat ICT

Share Button

(gambar oleh TheStar)

Musibah banjir yang sedang melanda negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu & Pahang mendapat liputan meluas kini. Pelbagai bantuan dari segenap sudut dan lapisan masyarakat telah dikerahkan bagi membantu mangsa-mangsa di kawasan terlibat. Agensi kerajaan serta syarikat swasta berkaitan ICT turut sama menggerakkan usaha mereka untuk memberi bantuan kepada kawasan yang teruk dilanda banjir ini.

Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) untuk Bantuan Mangsa Banjir. Pengguna talian telekomunikasi di seluruh Malaysia dapat membantu menderma kepada tabung ini dengan menggunakan SMS. Hanya taipkan perkataan BANJIR serta amaun yang anda ingin derma, contohnya BANJIR 5 (BANJIR jarak 5) untuk derma RM5 (Lima Ringgit) dan hantarkan kepada 13999. Amaun-amaun yang boleh diderma adalah seperti berikut: RM1, 3, 5, 10, 15, 20, 30, 40 atau 50. Ianya boleh digunakan di semua talian telekomunikasi di Malaysia.

SKMM-banjir02

Celcom Malaysia, melalui twitternya @xpaxsays memberitahu, semua pelanggan mereka yang berdaftar di Kelantan, Terengganu & Pahang akan menerima 200 minit panggilan & 200 SMS percuma ke talian Celcom secara percuma, serta merta. Panggilan & SMS percuma ini boleh digunakan untuk berhubung dengan talian Celcom yang lain dan sah sehingga 31 Disember 2014.

 

Airbnb, penyedia lamanweb yang memberi akses kepada penyewa dan tuan rumah menyewakan rumah atau bilik mereka, melancarkan laman khas bagi membantu mangsa banjir. Di laman khas itu, tuan rumah yang ingin membantu mangsa banjir, boleh menyenaraikan rumah atau bilik mereka untuk diduduki secara percuma. Bagi yang memerlukan tempat tinggal pula, boleh merujuk kepada laman khas ini untuk mendapatkannya.

 

DiGi Telecommunications Malaysia, membuat kutipan amal bagi mengumpulkan barang keperluan asas untuk dihantar ke tempat yang dilanda banjir. ‘DiGi Flood Relief Drive’ mensasarkan barangan seperti air mineral, beras, mee segera, minuman segera, makanan dalam tin dan selimut untuk dikumpulkan & dihantar terus ke pusat perlindungan mangsa banjir. Bagi yang berminat membantu, DiGi membuka dua pusat pengumpulan iaitu di DiGi Stores di SS2, Petaling Jaya dan DiGi Stores di Bukit Tinggi, Klang. Pusat pengumpulan ini dibuka pada 29-31 Disember serta 2 Januari dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

digi call for donations

 

Orang ramai dijemput untuk terus menerus menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir ini dan berkongsi sebarang maklumat berguna. Paling utama, hentikan penyebaran maklumat tidak berasas atas dasar ‘Sharing is caring’ di media sosial dan menumpukan kepada usaha membantu mangsa yang terlibat.

Apa komen anda?