Test Produk : Jabra Move Wireless

Share Button

Jabra memang terkenal dengan produk audio, terutama sekali dikalangan pengguna biasa. Mereka telah sekian lama mengeluarkan pelbagai earfon, headphone dari berwayar hinggalah tanpa wayar. Kali ini TheSkop akan membawakan test produk headphone Jabra yang baru, iaitu Jabra Move Wireless.

Jabra Move - direka oleh Jabra Copenhagen

Jabra Move Wireless ialah sebuah headphone tanpa wayar. Ia berhubung dengan peranti lain melalui sambungan Bluetooth ver 4.0 yang terbina di dalam. Ianya adalah jenis headphone di atas telinga, bukan jenis menutup telinga. Jadi akan ada sedikit bunyi luar yang kedengaran ketika memakainya.

Material yang digunakan Jabra Move Wireless pada cekak dan sendi diperbuat dari keluli tahan karat bermutu tinggi, bagi memastikan ketahanannya bagi jangka masa panjang, selain penggunaan aktif setiap hari. Cekak kepala ini juga sangat ringan dengan lapisan kusyen bagi keselesaan pemakai. Cekak ini boleh diubah kepanjangan, mengikut kesesuaian saiz kepala pemakai. Corongnya mempunyai kusyen yang dibalut kulit, memberikan rasa premium ketika memakainya.

Jabra Move - cekak keluli tahan karat Jabra Move - Cuping kiri dan kanan

Headphone ini juga sangat ringan. Beratnya hanya 158 gram sahaja. Apabila dipakai, hanya cuping yang ditekap pada telinga sahaja terasa. Tidak terasa sangat beban di atas kepala. Walaupun kusyen pada cekak tidak terlalu tebal, tetapi ia cukup untuk memastikan ia kekal tidak bergerak di atas kepala. Rekaannya juga mesra pemakai cermin mata. Ia tetap boleh dipakai selesa bersama cermin mata, kerana tidak menghalang satu sama lain.

Jabra Move - kusyen di cekak luar Jabra Move - kusyen di cekak dalam

Untuk menghubungkan headphone ini dengan peranti lain melalui Bluetooth, ianya sangat mudah. Tekan butang Bluetooth pada headphone dan tahan sehingga ia berkelip warna biru. Akan kedengaran suara bantuan, jika anda sedang memakainya, mengatakan sedang mencari peranti dan tiada lagi sambungan dibuat. Pada peranti, buat carian Bluetoooth, dan akan terpampang Jabra Move 2.3.0 di atas skrin. Pilih untuk menyambung dan akan kedengaran notis sambungan berjaya. Kini lagu sudah boleh dimainkan dan didengari dari Jabra Move.

Sambungan Bluetooth Jabra Move

Pada cuping kanan Jabra Move ini, terdapat butang kuasa, dan butang sambungan Bluetooth. Lampu LED kuasa akan menyala jika ia aktif, dan LED Bluetooth pula menyala jika sambungan sedang dan berjaya dibuat. Port USB untuk pengecasan juga berada di cuping kanan. Manakala di cuping kiri, terdapat port audio 3.5mm untuk sambungan wayar, dan butang kawalan dengan 3 sentuhan. Sentuhan tengah biasanya digunakan untuk memainkan atau menghentikan lagu buat seketika. Manakal butang + untuk menguatkan bunyi, atau pergi ke lagu seterusnya jika ditekan lama. Butang – pula untuk memperlahankan bunyi dan kembali ke lagu sebelumnya jika lama ditekan.

Jabra Move - cuping kanan Jabra Move - cuping kiri

Kualiti bunyi yang dihasilkan Jabra Move Wireless ini berada di tahap lebih baik dari yang biasa. Bunyi bass terasa kurang punch, tetapi kedap dan tidak bergema atau pecah. Bunyi vokal yang dihasilkan jelas. Manakala bunyi pada tahap pertengahan dan tinggi lantang. Ternyata ia bukan untuk peminat bass yang sukkakan bunyi yang sangat dalam, tetapi sesuai untuk penggemar muzik pop yang aktif bergerak.

Jangka hayat bateri pada Jabra Move juga agak baik,yang dianggarkan bertahan untuk 8 jam untuk penggunaan berterusan. Menggunakannya ketika menaiki LRT pergi dan pulang kerja selama 3 hari, tidak memerlukan pengecasan semula. Ia juga masih boleh digunakan untuk mendengar lagu, ketika dicas.

Headphone ini dilengkapi dengan mikrofon, yang boleh digunakan untuk membuat panggilan. Percubaan membuat panggilan ketika memakai headphone ini, sangat bagus. Kita dapat mendengar suara pemanggil dengan jelas, terima kasih kepada cuping telinga yang besar dan menutup hampir seluruh telinga. Malah, pemanggil di talian sebelah sana, dapat mendengar suara kita dengan sangat jelas. Lagu akan berhenti bermain sendiri, apabila terdapat panggilan masuk. Tetapi ini biasanya berngantung kepada fungsi telefon itu sendiri.

Jabra Move Wireless tidak kelihatan besar ketika dipakai

Sepanjang penggunaan headphone ini, kami sangat berpuas hati kerana ia ringan di kepala, dan tidak terlalu besar untuk kegunaan aktif ke mana jua. Malah, kami terlepas satu stesen LRT, kerana terlalu asyik mendengar lagu menggunakan Jabra Move ini. Harganya mungkin sedikit mahal, tetapi masih lebih murah berbanding jenama lain untuk rekabentuk yang hampir sama. Boleh dikatakan model termurah untuk headphone wireless keluaran Jabra sendiri.

Jabra Move Wireless ini boleh didapati dari pengedar sah Jabra terpilih seperti Machines, Connect Store, Harvey Norman dan Radioshack pada harga runcit jualan RM369. Tiga warna boleh dipilih iaitu biru, merah dan hitam.

Jabra Move Wireless merah hitam biru

Jabra Move Wireless sekotak

Trackbacks

Apa komen anda?