Hitachi Sunway catat untung dengan pengambilaihan ketiga

Share Button

Hitachi Sunway baru-baru ini mengumumkan pengambilalihan ketiga mereka dalam masa 12 bulan ini, selepas mengambil alih syarikat Free Net Business Solutions Sdn Bhd (100%) dan juga Powerware Systems Sdn Bhd (30%) pada bulan Julai lepas. Pengambilalihan Free Net telah selesai dibuat bulan lepas, dan kini ia dikenali sebagai Hitachi Sunway Data Centre Services Sdn Bhd.

Berbeza dengan 2 syarikat yang berpangkalan di Malaysia sebelum ini, pengambilalihan ketiga ini melibatkan syarikat di Singapura, iaitu I-Net Solutions (S) Pte Ltd. Hitachi Sunway mengambil alih 100% kepentingan dalam syarikat tersebut.

Pengambilalihan ini dilakukan untuk mengukuhkan perniagaan syarikat dalam industri ‘Infrastructure and Managed Services’ (IMS) di samping mengukuhkan kepentingan mereka di rantau Asia Tenggara. Dengan ini, gabungan syarikat Malaysia-Jepun ini menjangka keuntungan melebihi sasaran sebelum ini, dari RM137 juta kepada RM240 juta pada tahun fiskal 2015.

Berucap di Hitachi Innovation Forum 2014 yang pertama kali di buat di luar Jepun, CEO Kumpulan Hitachi Sunway, Cheah Kok Hoong menjelaskan, IMS merupakan satu bidang dalam ICT yang berkembang pesat, yang merangkumi banyak elemen teknikal. Pengambil alihan ini menjelaskan lagi arah tuju korporat bagi Hitachi Sunway untuk menjadi peneraju utama servis berkaitan IT dan pembekal solusi di Asia Tenggara.

(kiri) Masato Saito, Pengerusi Hitachi System dan (kanan) Cheah Kok Hoong, CEO Hitachi Sunway

(kiri) Masato Saito, Pengerusi Hitachi System dan (kanan) Cheah Kok Hoong, CEO Kumpulan Hitachi Sunway

I-Net memiliki pengalaman dan kepakaran yang luas dalam bidang sistem integrasi IT, rangkaian dan juga keselamatan yang dapat membantu portfolio IMS dalam Hitachi Sunway bagi memberikan servis pusat data yang menyeluruh.

Selain itu, pengambil alihan I-Net meluaskan lagi capaian perniagaan Hitachi Sunway di Singapura. Dengan ini, mereka boleh memfokuskan perkhidmatan khusus kepada bidang kewangan, syarikat konglomerat besar dan juga syarikat berkaitan kerajaan. I-Net sendiri telah memiliki pelanggan dari sektor perbankan, insuran dan perhotelan di Singapura dan Malaysia.

I-Net Solutions (S) Pte Ltd akan diserapkan menjadi anak syarikat Hitachi Sunway dengan nama baru yang dikenali sebagai Hitachi Sunway Network Solution Pte Ltd (tertakluk pada kelulusan pihak berwajib).

Apa komen anda?