Bajet 2015 Malaysia – Kurang penekanan aspek ICT

Share Button

Petang tadi, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Najib Razak telah membentangkan Belanjawan Malaysia bagi tahun 2015. Banyak aspek yang telah disentuh dalam pembentangan itu. Seperti biasa, belanjawan berkaitan teknologi turut menerima peruntukan yang banyak, meliputi pelbagai aspek. Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah 273.9 bilion ringgit iaitu peningkatan sebanyak 9.8 bilion ringgit berbanding peruntukan asal 2014. Daripadanya, 223.4 bilion ringgit bagi perbelanjaan mengurus dan 50.5 bilion ringgit sebagai perbelanjaan pembangunan.

Beberapa isu yang hangat diperkatakan ialah tentang pemberian BR1M dan juga pelaksanaan GST. Manakala bagi peruntukan berkaitan teknologi, antara yang disebut oleh PM ketika pembentangan tadi ialah:

1. Mewujudkan Research Incentive Scheme for Entreprise (RISE) dengan peruntukan 10 juta ringgit untuk menggalakkan syarikat-syarikat menubuhkan pusat penyelidikan dalam bidang berteknologi tinggi, ICT dan industri berasaskan pengetahuan.

2. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 200 juta ringgit kepada MyCreative Ventures pada tahun 2012. Lanjutan daripada ini, usaha ini diteruskan melalui Dana Industri Kandungan Digital di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebanyak 100 juta ringgit.

3. High Speed Broad Band (HSBB), di kawasan ekonomi berimpak tinggi, akan diteruskan meliputi ibu negeri dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara. Sebanyak 2.7 bilion ringgit akan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun melibatkan pembinaan seribu menara pencawang telekomunikasi baru dan pembinaan kabel dasar laut.

4. Kerajaan memperuntukkan 1.3 bilion ringgit kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi melaksanakan program berkaitan, antaranya:

Pertama: Mensasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi dikomersilkan dalam tempoh 5 tahun akan datang;

Kedua: Menyediakan dana penyelidikan sebanyak 290 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti R&D yang berimpak tinggi;

Ketiga: Menjenamakan semula SIRIM. Untuk itu, SME Technology Penetration, Upgrading Program dan Technology Auditing akan dilaksanakan;

Keempat: Memperkenalkan inisiatif baru iaitu Public Private Research Network yang diterajui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama MTDC dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit; dan

Kelima: Memperkukuhkan Program Technology Commercialization Platform oleh Agensi Inovasi Malaysia dengan tambahan 50 juta ringgit.

5. Talent Corp akan menyediakan 30 juta ringgit bagi program Industry Academia Collaboration di mana, universiti, entiti Kerajaan dan industri bekerjasama membangunkan kurikulum program internship serta latihan industri.

6. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi tumpuan bagi Syarikat Permulaan atau Start-up di rantau ini. Salah satu usaha adalah penubuhan MaGIC bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk memudahcara syarikat Start-up memulakan perniagaan. Justeru, bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat syarikat Start-up beroperasi di Malaysia, dicadangkan kriteria khas Modal Berbayar syarikat Start-up ditetapkan sebanyak 75 ribu ringgit. Usahawan ekspatriat Start-up yang layak akan diberi Startup Work Pass untuk tempoh satu tahun.

bajet2015 -2

 

Komen TheSkop

Boleh disimpulkan, belajawan berkaitan teknologi kali ini menumpukan kepada usaha melatih serta menghasilkan produk teknologi di dalam Malaysia sendiri. Pelbagai latihan disediakan dan geran diperuntukkan untuk mereka yang berminat, bagi mengembangkan usaha mereka berkaitan teknologi. Malah usaha menarik entrepenur Startup dari luar negara juga menjadi fokus untuk menarik idea luar masuk ke dalam negara. Apa yang diharapkan, peruntukan seperti geran ini disalurkan tepat pada sasaran dan bukan menunggu masa untuk dihabiskan pada penghujung tahun.

Dari segi infrastruktur, pembangunan lebih banyak pencawang telekomunikasi dan pemasangan HSBB di kawasan bandar memang langkah bagus. Tetapi kawasan luar bandar juga harus disediakan dengan asas HSBB dan serta pencawang telekomunikasi yang berkelajuan sekurang-kurangnya 3G, agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pantas dunia maklumat kini.

Manakala dari sudut perkakas dan peranti berkaitan teknologi, memandangkan ia tidak disentuh langsung dalam pembentangan tadi, bolehlah dirumuskan bahawa ia akan dikenakan GST 6% pada April 2015 nanti. Telefon pintar dan komputer peribadi seperti laptop menikmati 0% cukai selama ini. Jadi bagi yang ingin mendapatkan laptop atau telefon pintar baru, sebaiknya dibuat sebelum April 2015 akan datang.

bajet2015 - beli telefon

Apa komen anda?