Tiada lagi lorong TUNAI di Plaza Tol Lebuhraya Persekutuan bermula 1 September

Share Button

Sebagai salah satu inisiatif untuk membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang lebih lancar di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau, semua transaksi tol di kedua-dua plaza tol tersebut akan dikendalikan sepenuhnya secara elektronik sama ada menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG bermula 1 September yang akan datang.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid berkata, “Langkah ini merupakan salah satu daripada langkah syarikat ini menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang lebih mudah dan lebih selesa.”

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang menggunakan kedua-dua plaza tol tersebut di Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, digesa supaya beralih kepada sistem pembayaran tol secara elektronik secepat mungkin.

“Bagi membantu orang ramai beralih kepada sistem elektronik dengan lebih mudah, PLUS juga akan turut menyediakan lorong-lorong khas bagi mendapatkan dan menambah nilai kad elektronik Touch ‘n Go dan PLUSMiles di lorong paling kiri di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula pada 19 Julai ini, ” tambah Noorizah.

Selain daripada itu, PLUS juga akan memberikan rebat tol sebanyak 30 peratus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada waktu bukan puncak (di antara jam 10:00 pagi – 4:00 petang dan 10:00 malam – 6:00 pagi setiap hari) menggunakan kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG selama 4 bulan bermula 1 September hingga 31 Disember ini.

Selain daripada itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan kad PLUSMiles Touch ‘n Go (dengan nilai tambah RM5) dengan harga promosi RM5 di kedua-dua plaza tol terbabit bermula 18 Ogos hingga 30 November 2014.

Terdahulu, PLUS telah berjaya melaksanakan sistem tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Perling di Lebuh raya Linkedua dan Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor pada Januari 2014 lalu.

 

SUMBER: PLUS LAKSANA SISTEM KUTIPAN TOL ELEKTRONIK SEPENUHNYA DI PLAZA TOL BATU TIGA DAN SUNGAI RASAU MULAI 1 SEPTEMBER

Touch n Go

Apa komen anda?