Pelan Jalur Lebar Mudah Alih Pertama TM Serendah RM39

Share Button

TM

Setelah membeli saham syarikat yang terkenal dengan WiMAX, P1, pembekal jalur lebar UniFi, TM akan memperkenalkan pelan jalur lebar mudah alih pertama dengan harga serendah RM39 yang membolehkan pengguna mendapatkan kuota penggunaan sehingga 3GB.

Manakala satu lagi pelan pertengahan membolehkan capaian internet dengan kuota 15GB pada harga serendah RM69.

Pelan pertama dengan modem mudah alih dijangka akan ditawarkan pada Disember ini.

Pada masa sama, TM juga sedang menyiasat secara mendalam masalah pengguna P1 sedia ada bagi menyelesaikan aduan yang sebelum ini dihadapi mereka dan menyediakan perkhidmatan pelanggan baru dengan latihan baru kepada staf P1.

Minggu lepas, Telekom Malaysia Berhad (TM) menandatangani satu Perjanjian Pelaburan dengan Green Packet Berhad (Green Packet) selaku pemilik P1 dan SK Telecom Co., Ltd. (SK Telecom) bagi berkolaborasi untuk membangunkan infrastruktur LTE generasi akan datang bagi menawarkan para pelanggan dengan himpunan perkhidmatan komunikasi bersepadu yang lengkap. Langkah ini akan menyaksikan TM menjadi pemegang saham dengan 57% kepentingan dalam Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1).

Perjanjian ini akan mewujudkan rangka kerja usahasama buat ketiga-tiga pihak bagi berkongsi milikan dan berkolaborasi untuk pertumbuhan masa hadapan P1, pembekal WiMAX terkemuka di Malaysia. Pihak-pihak ini akan memanfaatkan teknologi LTE bagi memberikan perkhidmatan data berkualiti tinggi dan boleh dipercayai merentasi semua segmen komuniti. P1 akan menggunapakai aset spektrumnya, platform wayarles sedia adanya dan rangkaiannya di hampir 2,000 lokasi serta pengurusan dan organisasinya yang berpengalaman bagi mempercepatkan kemasukannya ke pasaran LTE.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zam berkata, “Langkah ini adalah selari dengan visi TM untuk menjadi “Pusat Pertukaran Data dan Maklumat” atau “Information Exchange” dan Peneraju Jalur Lebar di Malaysia. Kami sedang meluaskan lagi keupayaan kami dalam segmen jalur lebar wayarles, sebagai satu evolusi semulajadi penawaran perkhidmatan internet dan data kami, bagi memenuhi keperluan para pelanggan kami dengan lebih baik. Usahasama ini memberikan platform LTE tersedia buat kami untuk melaksanakan produk jalur lebar wayarles dengan lebih efisien dan mempercepatkan tempoh untuk kami memasarkannya kepada para pelanggan.”

Apa komen anda?