HyppTV Untuk Pelanggan Streamyx, Tonton Guna Telefon, Laptop, Tablet

HyppTV 1

Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan perkhidmatan IPTVnya – HyppTV –  yang dikuasakan oleh perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi TM, UniFi akan boleh didapati di seluruh negara dan di mana sahaja menerusi Streamyx dan pada skrin pelbagai peranti.

Pada 1 Ogos 2013 ini, TM akan menjadikan perkhidmatan HyppTVnya akan boleh dinikmati oleh para pelanggan jalur lebar Streamyx 4Mbps dan 8Mbps yang baru mahupun sedia ada, sekaligus memperluaskan jangkauan perkhidmatan IPTV kepada jumlah penonton yang lebih ramai di seluruh negara. Sementara itu, HyppTV Everywhere, penawaran pelbagai skrin yang pertama akan membolehkan pelanggan UniFi dan Streamyx (4Mbps & 8Mbps) menonton HyppTV di mana sahaja dan pada bila-bila masa melalui peranti-peranti mereka, menepati aspirasi TM untuk membawakan gaya hidup digital bersepadu yang dipertingkatkan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.

Tawaran perkhidmatan terbaru ini telah dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia di ibu pejabat TM di sini di Kuala Lumpur. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dato’ Sri Dr Halim Shafie, Pengerusi TM dan Tan Sri Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM.

Dato’ Sri Dr Halim Shafie berkata, “Ini merupakan satu langkah ke hadapan yang penting bagi HyppTV dalam memperluaskan penawarannya ke seluruh negara dengan menjadikan  perkhidmatan ini boleh dinikmati menerusi rangkaian jalur lebar TM yang meluas serta menerusi platform-platform lain melalui HyppTV Everywhere. Sebagai perkhidmatan IPTV yang paling pesat berkembang di negara ini, kini kami membolehkan penonton-penonton TV di Malaysia menikmati kandungan HyppTV yang bertaraf antarabangsa walaupun mereka berada di luar kawasan liputan UniFi tanpa mengira keadaan cuaca hujan atau panas.”

“Tawaran ini bertujuan untuk memberikan para pelanggan kami dengan lebih kemudahan dan keselesaan untuk menikmati pengalaman perkhidmatan yang dipertingkatkan, menjadikan HyppTV kami bukan sahaja seperti slogannya, Primetime, Anytime, Everytime malah diperluaskan kepada Everywhere juga!,” tambah beliau.

Pada majlis pelancaran tersebut, para tetamu turut berpeluang mencuba sendiri ‘set top box’ HyppTV yang baru melalui talian tanpa wayar Streamyx dan HyppTV Everywhere merentasi pelbagai platform seperti telefon pintar, tablet, komputer peribadi dan komputer riba. Untuk telefon pintar dan tablet, aplikasi ini hanya boleh didapati untuk pengguna Android dan Apple iOS.

Untuk pelanggan Streamyx 8Mbps sedia ada dan baru, HyppTV akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada pakej perkhidmatan tiga serangkainya iaitu suara, Internet dan IPTV pada harga RM160 sebulan dengan 17 saluran percuma serta mempunyai pilihan untuk melanggani HyppTV Platinum Pack. Untuk pelanggan-pelanggan Streamyx 4Mbps baru dan sedia ada yang pada masa ini menikmati perkhidmatan dua serangkai iaitu suara dan Internet, HyppTV ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada kadar RM30 sebulan dengan 17 saluran percuma serta mempunyai pilihan untuk melanggani pek HyppTV.

HyppTV Everywhere ditawarkan sebagai perkhidmatan tambahan kepada pelanggan sedia ada UniFi dan Streamyx (4Mbps dan 8Mbps) untuk menonton kandungan HyppTV melalui pelbagai peranti. Untuk menikmati HyppTV di pelbagai skrin, para pelanggan baru dan sedia ada HyppTV hanya perlu membayar serendah RM5 sebulan untuk dua (2) peranti atau RM10 sebulan untuk lima (5) peranti.

Sebagai promosi pengenalan, semua pelanggan UniFi dan Streamyx boleh menikmati perkhidmatan HyppTV Everywhere untuk dua (2) peranti secara percuma bermula 1 Ogos hingga 30 September 2013. Untuk memuat turun aplikasi HyppTV Everywhere, pelanggan boleh melayari Play Store atau Apple Store dan cari “HyppTV Everywhere”.

HyppTV boleh ditonton tanpa mengira keadaan cuaca hujan atau panas melalui pakej kediaman UniFi VIP, penawaran tiga serangkai (triple-play) yang menggabungkan suara, video, data, dan kini melalui pakej Streamyx 4Mbps dan 8Mbps. TM juga telah menjadikan HyppTV for Business sebagai sebahagian daripada pilihan-pilihan dalam pakej UniFi BIZ, menjadikannya juga penawaran triple-play – ciri yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada pelanggan kediaman – membolehkan syarikat PKS memperkayakan lagi perniagaan mereka dengan pengalaman infotainment yang menarik.

Kini, HyppTV merupakan perkhidmatan IPTV yang paling pesat berkembang di Malaysia, menawarkan kepada pelanggannya sejumlah 109 saluran dengan 27 saluran dalam bentuk Definisi Tinggi (HD) – terdiri daripada 25 saluran percuma termasuk 8 saluran radio, 48 saluran premium, 16 genre Video-On-Demand (VOD) dan 20 saluran interaktif.

Perkembangan terbaru ini menyusul selepas HyppTV dianugerahkan sebagai Best Online TV Service or Solution di majlis anugerah berprestij, TV Connect Industry Awards 2013  (sebelum ini dikenali sebagai IP&TV Industy awards) di Mayfair, London tahun ini. Dengan anugerah ini, HyppTV juga mencipta sejarah apabila menjadi syarikat IPTV pertama di Malaysia yang memenangi anugerah di acara berprestij itu, yang mengiktiraf dan meraikan inovasi, kecemerlangan dan pencapaian dalam industri Connected Entertainment.

Untuk maklumat lanjut mengenai penawaran terbaru ini, pelanggan-pelanggan boleh mengunjungi TMpoint yang berhampiran. Pelanggan-pelanggan UniFi juga boleh melayari https://occ.unifi.my atau hubungi 1300-88-1222 untuk maklumat lanjut manakala pelanggan Streamyx boleh melayari www.tm.com.my atau hubungi 100.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>