BizFest 2012 Program ICT untuk PKS

Share Button

Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini telah melancarkan program SME BizFest 2012, program selama dua hari yang julung kali diadakan dan akan dianjurkan di tiga bandar utama iaitu Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur bermula April hingga Mei tahun ini.

Penganjuran SME BizFest 2012 adalah bertujuan memberikan satu pameran ICT yang bersinergi untuk PKS di Malaysia bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan di kalangan komuniti PKS. Antara acara menarik pada program berkenaan adalah pembentangan interaktif, persidangan berbentuk pleno (plenary) oleh penceramah luar negara dan juga tempatan yang akan membincangkan pelbagai topik berkaitan ICT dan PKS, demonstrasi teknologi terkini dan juga sesi pameran. Melalui program ini, TM membuka satu lagi ruang buat PKS untuk memperkasa perniagaan mereka menerusi perkongsian pengetahuan dan juga melalui penyertaan di dalam aktiviti yang diadakan. Di samping itu, SME BizFest menyediakan platform bagi PKS untuk berinteraksi sesama mereka dan merintis peluang-peluang perniagaan melalui sesi pemadanan perniagaan (business matching) yang diadakan sepanjang dua hari tersebut.

“Kami merasa bangga dapat bekerjasama dengan syarikat-syarikat peneraju ICT global dan kami bersyukur atas penglibatan Green Oranges, Google, Microsoft, Intel, Cisco dan Panasonic pada SME BizFest 2012 ini. Kami optimis dengan masa depan penyelesaian dan perkhidmatan perniagaan TM dan kami berbesar hati dapat memainkan peranan dalam pembangunan, penerimaan dan pelaksanaan meluas ke arah menyokong perkembangan PKS,” kata Azizi A Hadi, Naib Presiden Eksekutif, PKS, TM.

Untuk acara ini, TM mendapat sokongan menggalakkan daripada rakan-rakan usahasamanya termasuklah Green Oranges, Google, Microsoft, Intel, Cisco dan Panasonic. Green Oranges merupakan Rakan Usahasama Premium yang juga merupakan Pembekal Pengangkutan Rasmi bagi SME BizFest 2012. Satu sesi penyampaian replika cek bagi menandakan sokongan daripada rakan-rakan usahasama turut telah diadakan semasa majlis pelancaran hari ini.

Siri acara ini dijangka dapat menarik lebih daripada 500,000 komuniti perniagaan PKS di Malaysia yang pastinya memerlukan penyelesaian ICT untuk memperbaiki dan mempertingkatkan operasi perniagaan mereka.

Tetamu serta jemputan yang hadir pada SME BizFest 2012 juga akan dapat mengambil bahagian dalam permainan-permainan menarik yang menawarkan pelbagai ganjaran dan hadiah untuk dimenangi, semuanya dalam satu acara.

TM telah membangunkan pelbagai produk dan perkhidmatan khusus untuk sektor PKS, termasuklah UniFi untuk perniagaan, Office in a Box, SmartMap, IPVPN, DOME, VSAT, Microsoft Office 365 dan perkhidmatan TollFree, serta aplikasi dan penyelesaian berteraskan perniagaan yang dapat mempertingkatkan proses perniagaan dan seterusnya meningkatkan produktiviti dan keuntungan perniagaan. Penyelesaian-penyelesaian ini boleh diperoleh di SME BizFest 2012 pada kadar yang istimewa.

Maklumat lanjut mengenai SME BizFest 2012 adalah seperti berikut:

TARIKH TEMPAT
13 – 14 April 2012 Equatorial Hotel Convention & Exhibition Centre, Pulau Pinang
11 – 12 Mei 2012 Persada Johor Bahru
18 – 19 Mei 2012 Sunway Convention Centre, Petaling Jaya

“Sebagai pembekal perkhidmatan telekomunikasi terkemuka negara, TM komited terhadap peranan kami dalam menyokong perkembangan dan pertumbuhan PKS dengan membolehkan PKS memperoleh kelebihan daya saing dengan memanfaatkan pelbagai penyelesaian dan rangkaian kami yang meluas di seluruh negara. SME BizFest merupakan salah satu daripada pelbagai platform khas yang telah kami sediakan untuk PKS di Malaysia. Kami berharap agar semua yang mengambil bahagian dalam program ini akan mendapat manfaatnya dan objektif utama acara ini dapat dicapai,” tambah Azizi.

Selaras dengan peranannya sebagai peneraju dalam mempromosi dan membantu pertmbuhan ICT di negara ini, TM juga telah melancarkan Anugerah Mercu. Anugerah ini mengiktiraf individu dan perniagaan-perniagaan kecil yang telah mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan melalui penggunaan ICT secara inovatif. Anugerah ini juga bertujuan untuk mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana yang mampu menjadi penanda aras sebagai sebuah PKS inovatif yang telah berjaya menunjukkan contoh peningkatan dan keberuntungan melalui penggunaan produk dan perkhidmatan TM. Di samping itu, anugerah ini merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada PKS yang menjadi pelanggan setia produk dan perkhidmatan TM.

Terdapat dua (2) kategori bagi Anugerah Mercu – Mercu Top 100 dan Anugerah Kecemerlangan Mercu. Pencalonan untuk Anugerah Mercu adalah terbuka kepada semua PKS di Malaysia dan pencalonan boleh dilakukan semasa SME BizFest berlangsung dan juga secara online bermula 13 April 2012 sehingga 31 Disember 2012. Majlis penyampaian anugerah akan dilangsungkan pada separuh pertama tahun 2013 di Lembah Klang.

Untuk maklumat lanjut mengenai SME BizFest PKS 2012, layari www.tm.com.my/sme atau hubungi hotline kami di 1800-2-BizFest (24933).

Apa komen anda?