Staf Petronas, TM, CIMB Paling Ramai Dalam LinkedIn

Share Button

LinkedIn, rangkaian profesional terbesar dunia dengan lebih 135 juta ahli seluruh dunia, dan lebih 20 juta di Asia Pasifik, hari ini mengumumkan bahawa LinkedIn kini terdapat dalam versi Bahasa Malaysia. Beratus ribu profesional Malaysia sudah pun memiliki profil LinkedIn dan terdapat lebih 1,000 Kumpulan LinkedIn yang berkait dengan Malaysia. Syarikat-syarikat besar seperti Sime Darby Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Petronas sudah pun mempunyai Halaman Syarikat LinkedIn di tapak rangkaian profesional ini.

Tiga industri teratas mengikut keahlian LinkedIn di Malaysia adalah:

  1. Teknologi Maklumat dan Perkhidmatan
  2. Minyak & Tenaga
  3. Pengurusan Pendidikan

Tiga buah syarikat Malaysia dengan jumlah pekerja paling ramai dalam LinkedIn adalah:

  1. Petronas
  2. Telekom Malaysia
  3. CIMB Group

Mengulas mengenai pengumuman terbaru, Clifford Rosenberg, Pengarah Urusan Linkedin untuk Asia Tenggara, Australia dan New Zealand berkata, “Lebih daripada 700,000 profesional di Malaysia kini telah mewujudkan identiti profesional masing-masing, membina rangkaian serta mendapat akses kepada unjuran dan peluang melalui LinkedIn.

Pelancaran versi Bahasa Malaysia pada hari ini akan menyokong lagi bilangan profesional Malaysia yang menyertai LinkedIn. Kami mengalami peningkatan jumlah ahli yang berpangkalan di Malaysia dan percaya bahawa Linkedin mempunyai peluang besar untuk berkembang di negara ini. Melalui penyediaan bahasa tempatan biasanya akan menghasilkan generasi baru pengguna LinkedIn seterusnya memperbaiki lagi pengalaman untuk seluruh komuniti,” kata En. Rosenberg.

Pelancaran LinkedIn dalam Bahasa Malaysia dilaksanakan ketika organisasi di Malaysia berhadapan dengan cabaran mencari pekerja terbaik disebabkan jumlah pekerja yang terhad serta tenaga kerja Gen Y yang lebih berminat mencari peluang pekerjaan di negara-negara Asia Tenggara yang lain1. LinkedIn berada dalam kedudukan terbaik untuk membantu para profesional dan syarikat di Malaysia menghubungkan peluang dengan bakat yang ada melalui rangkaian sumber dan peluangnya yang besar dan bertaraf global.

Pencari pekerja bergantung pada kumpulan bakat yang besar dalam LinkedIn untuk menemui calon-calon ‘pasif’ – para profesional berkemahiran tinggi yang mempunyai pekerjaan. Calon-calon pasif ini mungkin tidak mencari peluang kerja secara aktif tetapi berkemungkinan amat sesuai untuk sesetengah jawatan yang penting.

Apa komen anda?