Proton Sedia Persona Range-Extended Electric Vehicle (REEV)

Share Button

Proton mensasarkan kejayaan pada acara Cabaran Kereta Masa Depan Brighton ke London 2011 pada hari Sabtu dengan penyertaan pertama “Persona Range-Extended Electric Vehicle” (REEV) — kenderaan

binaan pertama sepenuhnya Proton.

Cabaran kereta masa depan The Royal Automobile Club itu bukannya perlumbaan tetapi cabaran baharu untuk memperlihatkan teknologi hijau baru muncul seperti elektrik, hibrid dan lain-lain bentuk perejangan berpengeluaran rendah.

Ia akan menyaksikan kereta yang paling cekap dan menggunakan tenaga paling kurang dalam kategori berbeza di cabaran yang dijadualkan bermula pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang di Malaysia) dari Madeira Drive, Brighton, ke Pall Mall & Regent Street, London.

Pembuat kereta negara itu yang akan mengetengahkan tiga model tahun ini – Saga EV, Exora REEV dan Persona Elegance REEV — memenangi anugerah “Best Range Extender EV” tahun lepas dengan Exora REEV.

Kereta-kereta itu dibangunkan dengan kerjasama Frazer Nash Research Ltd yang berpangkalan di United Kingdom, syarikat penyelidikan dan pembangunan yang berpengkhususan dalam keretapi kuasa kenderaan elektrik.

Walaupun dalam cuaca sejuk dan basah, persediaan untuk cabaran itu berjalan lancar dengan pasukan Proton sibuk meneliti kereta-kereta untuk kali terakhir.

Ketua Projek Kumpulan, Kumpulan Prototaip, Jabatan Teknologi Hijau, Shahril Nizam Abdul Aziz berkata Proton yakin dapat merebut anugerah untuk kesemua tiga kategori tahun ini.

Pasukan yang tiba lewat petang di Brighton masih lagi sibuk memeriksa dan mengecas ketiga-tiga kategori kereta itu apabila ahli-ahli media Malaysia dibawa untuk menyaksikan persediaan itu.

Bercakap mengenai Persona, beliau berkata pasukan Proton Malaysia mengambil masa lapan hari untuk menyiapkannya.

“Jurutera Malaysia mengeluarkan bahagian dan komponen dari Exora REEV dan pasangkan ke Persona. Proses itu berakhir dua minggu lepas dengan lima hari untuk melakukan kesemua itu dan tiga hari untuk menguji di Proton UK di Bristol.

“Tidak seperti Exora dan Saga yang mana pakar Fraser-Nash dan Proton menyiapkannya, Persona REEV disediakan oleh orang Malaysia sendiri,” kata beliau.

Sementara itu, Muhammad Zulfadzli Che Mustafar, pemandu bagi Persona dan Ketua Jurutera Proton (Ketua REEV) HEV Integrasi Kenderaan, Jabatan Teknologi Hijau berkata beliau bangga dapat memandu Persona dan yakin untuk memenangi cabaran itu.

“Menjadi sebahagian daripada cabaran yang akan menaikkan nama Malaysia, menambahkan lagi keyakinan saya untuk cabaran itu,” kata beliau.

Kenderaan yang menang akan dikenalpasti semasa diperagakan di Regent Street sementara anugerah akan disampaikan di Jamuan Makan Malam FCC rasmi di Royal Automobile Club, Pall Mall, London.

sumber: Bernama

Apa komen anda?