P1 Timbang Perkenal HSBB Tahun Depan

Share Button

Telekom Malaysia Berhad (“TM”) dan Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (“P1”) berganding bahu bagi mempercepatkan lagi penawaran perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) kepada semua rakyat Malaysia, dikuasakan oleh infrastruktur HSBB TM.

Menurut perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak, TM akan menyediakan perkhidmatan HSBB (Akses) dan HSBB (Transmisi) kepada P1 di mana P1 akan mempunyai akses kepada 1.3 juta premis yang termasuk dalam kawasan liputan HSBB di seluruh negara. Termeterainya Perjanjian Perkhidmatan HSBB dengan P1 mengukuhkan lagi komitmen TM dalam menjana ekosistem HSBB di dalam negara dengan menarik pembekal perkhidmatan untuk menyertai dan menawarkan perkhidmatan nilai tambah yang tersendiri terus kepada pelanggan.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM dan Rafaai Samsi, Naib Presiden Eksekutif, Wholesale, TM sementara P1 telah diwakili oleh Michael Lai, Ketua Pegawai Eksekutif dan Mohamad Idham Nawawi, Ketua Pegawai Operasinya. Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disaksikan oleh YB. Dato’ Joseph Salang, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Turut hadir di majlis tersebut ialah Datuk Dr. Halim Shafie, Pengerusi TM bersama-sama Pengerusi P1, Shukor Karim.

Menurut Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM, kolaborasi ini merupakan satu pencapaian cemerlang yang tersendiri kerana menggambarkan selangkah lagi ke hadapan dalam perancangan pelaksanaan HSBB negara, dan ini menyusul selepas kolaborasi awal TM dengan Maxis dan Celcom.

Usahasama TM dengan P1 bukan sahaja menggambarkan hasrat TM untuk bekerjasama dengan industri tetapi mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pembekal perkhidmatan wholesale yang neutral. Kami juga memenuhi janji kami untuk memberi akses terbuka kepada semua pembekal perkhidmatan yang memiliki lesen daripada MCMC, seperti yang kami nyatakan semasa bermulanya projek HSBB di bawah Usahasama Awam-Swasta (PPP) pada tahun 2008. Dengan usahasama ini, industri telekomunikasi memastikan pelanggan dan perniagaan seluruh negara dapat menyertai arus transformasi digital baru yang melanda negara kita, terima kasih kepada HSBB. Perkhidmatan HSBB akan sampai kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan seterusnya memberikan pelbagai manfaat termasuklah merapatkan jurang digital dan membawakan inovasi ke rumah, dalam urusan kerja, perniagaan dan banyak lagi,” kata Dato’ Sri Zamzamzairani.

Michael Lai, Ketua Pegawai Eksekutif P1, berkata, “P1 merupakan yang pertama melancarkan jalur lebar wayarles 4G di rantau ini dan kini, kami meluaskan penawaran jalur lebar kami, kamilah yang pertama menawarkan kombinasi penyelesaian 4G dan fiber optik untuk segmen pengguna yang inginkan jalur lebar pada kelajuan premium. Tiada penyedia perkhidmatan jalur lebar lain yang menawarkan pakej jalur lebar yang lengkap seperti ini dengan kapasiti tinggi untuk di rumah dan juga di luar rumah, digabungkan dengan penyelesaian 4G dan jalur lebar fiber optik.”

Lai meneruskan, “Pelanggan-pelanggan P1 merupakan kelompok yang besar dengan purata penggunaan sebanyak 12GB setiap bulan. HSBB pasti melengkapkan permintaan terhadap penggunaan data yang tinggi di rumah. Kami sememangnya gembira dengan apa yang akan dibawakan oleh usahasama ini buat pelanggan kami sedia ada dan juga pelanggan P1 di masa akan datang yang inginkan yang terbaik dalam kedua-dua aspek – fiber optik di rumah dan jalur lebar 4G ketika di luar.”

Perkhidmatan HSBB ini akan turut membolehkan P1 menawarkan perkhidmatan Televisyen Protokol Internet (IPTV), Video Atas Permintaan (VoD) dan perkhidmatan lain yang kaya dengan multimedia pada masa akan dating.

Kami yakin usahasama ini akan membawa banyak manfaat kepada semua pengguna akhir kerana para pengguna pastinya mahukan pelbagai pilihan untuk dipilih, berdasarkan kualiti perkhidmatan, keluasan liputan, cirri yang pelbagai dan harga yang kompetitif,” Dato’ Sri Zamzamzairani menambah.

Perkhidmatan HSBB (Akses) dan HSBB (Transmisi) yang ditawarkan oleh TM, terbuka kepada semua pembekal perkhidmatan yang menerima lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ingin menawarkan perkhidmatan dan aplikasi berasaskan IP kepada pengguna akhir.

Setakat hari ini, TM telah menawarkan perkhidmatan HSBB kepada lebih 1,044,000 premis sedia dipasang di 77 kawasan ibu sawat di seluruh negara. TM berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 1.3 juta premis sedia dipasang menjelang akhir tahun 2012. Perkembangan ini adala selari dengan selesainya fasa pertama Usahasama PPP yang ditandatangani pada bulan September 2008 antara TM dengan Kerajaan Malaysia. Projek HSBB nasional bernilai RM11.3 bilion ini disasarkan untuk membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi generasi akan datang untuk negara. TM melaburkan sejumlah RM8.9 bilion kepada projek ini manakala pihak Kerajaan menyumbang RM2.4 bilion menurut kaedah tuntutan berdasarkan pencapaian projek yang dicatatkan oleh TM.

Apa komen anda?