TM Lonjak SmartMap, Analisa Geo Spatial

Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini telah melancarkan aplikasi peta berasaskan laman web, SmartMap kepada pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS). SmartMap, aplikasi pertama seumpamanya di Malaysia, menggabungkan peta digital TM dengan data perniagaan penting yang membolehkan pengguna melakukan analisis ‘geo-spatial’ bagi menyokong proses membuat keputusan dalam perniagaan.

SmartMap merupakan satu penyelesaian berasaskan web atau Software-as-a-Service yang membolehkan analisis interaktif dilakukan termasuklah pencarian dan pengezonan kawasan, memplot data dalaman dan berkongsi data visual. Dengan tahap maklumat, interaktiviti dan ketepatan imej yang tinggi daripada SmartMap, pengguna boleh melakukan carian, menganalisis dan berkongsi data-data penting dengan mudah, di mana sahaja pada bila-bila masa.

Dalam membawa SmartMap kepada pasaran PKS, TM telah mewujudkan usahasama dengan tiga (3) rakan kongsi – Persatuan Francais Malaysia (MFA), TM Info-Media (TMIM) dan iProperty Sdn Bhd (iProperty).

Menerusi kerjasama dengan MFA, TM menawarkan kepada ahli-ahli MFA bukan sahaja aplikasi SmartMap tetapi juga perkhidmatan talian tetap, jalur lebar perniagaan dan WiFi@Outlet. MFA akan menjadi rakan kongsi strategik TM dalam mempromosikan SmartMap dan WiFi@Outlet kepada semua ahlinya yang berdaftar. TM pula akan menawarkan sokongan kepada MFA dalam pelbagai cara bagi memastikan manfaat dan nilai Syarikat dinikmati secara maksimum oleh ahli-ahli MFA. Ini merupakan peluang yang baik buat TM dan MFA untuk dilihat sebagai melaksanakan secara aktif inisiatif-inisiatif kerajaan dalam menggalakkan penglibatan PKS dalam industri francais untuk kebaikan ahli-ahli MFA.

TMIM dan iProperty merupakan dua pihak yang bekerjasama dengan TM sebagai pembekal kandungan untuk aplikasi SmartMap tersebut.

Kerjasama di antara TM dan TMIM termasuk perkongsian data di antara kedua-dua syarikat di mana TMIM akan membekalkan senarai perniagaan dan perkhidmatan direktori Yellow Pages kepada TM. Sementara itu, TM pula akan membekalkan data mengenai Lokasi Tarikan (Point of Interest – POI) dan kedudukan GPS kepada TMIM.

Bagi iProperty, perkhidmatan online untuk industri hartanah negara yang terkenal, usahasama dengan TM ini membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kelebihan dan kepakaran masing-masing, di mana iProperty membekalkan senarai hartanah kepada TM setiap bulan. Sementara itu, TM akan membekalkan liputan pasaran dan peta nilai hartanah secara tematik. TM akan mengekod secara geografi data hartanah tersebut di dalam peta digital TM dan mengubahnya kepada data terbitan untuk SmartMap.

Azizi A. Hadi, Naib Presiden Eksekutif SME, TM dan Mohamad Yusman Ammeran, Pengurus Besar, SME, TM, menandatangani Perjanjian tersebut bagi pihak TM manakala MFA telah diwakili oleh Abdul Malik Abdullah, Pengerusi MFA dan Muhamad Shukri Salleh, Setiausaha Agung MFA.

Bercakap di majlis tersebut, Azizi A. Hadi berkata, “Saya sungguh gembira untuk melancarkan penyelesaian terbaru kami, SmartMap, yang pertama seumpamanya di Malaysia dan ia merupakan batu loncatan kepada perniagaan PKS untuk mempertingkatkan perniagaan mereka menerusi ICT dan mendapat kelebihan berbanding pesaingnya. SmartMap merupakan penyelesaian berasaskan web yang menggabungkan peta digital TM dengan data perniagaan penting yang memberi perniagaan data geografik dan demografik yang penting bagi membantu mereka membuat keputusan dalam perniagaan secara lebih ilmiah. Ia memberi akses kepada taburan demografik, penilaian hartanah dan maklumat perniagaan yang penting dalam menentukan lokasi terbaik untuk memulakan perniagaan baru, perluasan perniagaan atau sasaran pasaran yang berpotensi.”

Ciri-ciri tambahan SmartMap juga membolehkan perniagaan menggabungkan maklumat premis mereka, profil pengguna dan data dalaman syarikat untuk analisis mendalam dan penilaian lengkap bagi proses membuat keputusan. Dengan menggunakan SmartMap, perniagaan bukan sahaja mampu menganalisis, tetapi juga berkongsi maklumat perancangan penting secara efektif dengan kakitangan dan rakan perniagaan dalam suasana bekerjasama dan kolaborasi. Maklumat ini penting bagi membuat keputusan secara ilmiah, terutamanya dalam menganalisis pasaran dan pesaing, menentukan lokasi terbaik untuk perluasan cawangan baru dan mensasarkan pasaran berpotensi.

Peta digital TM dalam aplikasi SmartMap dikemaskini setiap bulan dan semua data boleh dipercayai kerana ianya didapati daripada Jabatan Statistik Malaysia dan iProperty, direktori hartanah terbesar di Malaysia.

Ringkasnya, SmartMap menawarkan penyelesaian yang mampu dimiliki dan mudah digunakan yang boleh membantu golongan PKS untuk meramal dan mengembangkan perniagaan mereka, mengawal operasi dan mengatasi persaingan. Di TM, kami kekal komited kepada janji kami untuk pasaran PKS, iaitu “Perniagaan Menjadi Mudah dengan TM”,” tambah Azizi.

WiFi @ Outlet merupakan perkhidmatan akses Internet jalur lebar tanpa wayar yang ditawarkan oleh TM di mana titik akses akan dipasang di premis pelanggan yang akan membolehkan pengguna menikmati akses jalur lebar tanpa wayar menerusi komputer bimbit, netbook, PDA dan telefon pintar. Perkhidmatan TM WiFi akan menjadikan lokasi perniagaan lebih menarik dan seterusnya membawa lebih ramai pengguna berkunjung ke premis tersebut, yang akan menjana hasil yang lebih tinggi untuk perniagaan tersebut. Sesungguhnya ia sesuatu yang tepat dengan perniagaan di mana perkhidmatan tersebut memberikan faedah kepada perniagaan dan pelanggan kerana ia memberi peluang untuk menambah hasil perniagaan dan meningkatkan kepuasan pengguna.

Menerusi kerjasama strategik dengan tiga entiti negara yang diyakini dan berprestij ddi Malaysia, TM membuka satu lagi ruang untuk PKS mempertingkatkan lagi perniagaan mereka menerusi ICT dengan peralatan analisis pemasaran geografik. Usahasama ini juga menambah nilai kepada kerjasama TM dengan PKS selari dengan aspirasi Syarikat untuk menjadi rakan komunikasi pilihan untuk PKS,” akhiri Azizi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>