Portal Jamin Kebebasan Bersuara Diwujud

Share Button

Satu portal akan diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menyuarakan pendapat, cadangan dan kritikan membina kepada kerajaan tanpa perlu bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz berkata laman portal yang disasarkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa itu, adalah satu inisiatif untuk menyediakan saluran khusus bagi kebebasan bersuara.

“Saluran ini berbeza dari laman web sedia ada di mana kami (kerajaan) akan berusaha memberi jawapan kepada persoalan yang ditujukan kepada pihak yang sepatutnya.

“Kesemua cadangan dan kritikan akan diambil kira, malah setiap aduan yang dikemukakan akan cuba kami selesaikan dalam tempoh seminggu,” katanya.

D’Cruz berkata bagi merealisasikan kewujudan laman portal itu, satu bancian akan diadakan dan orang ramai diminta menyertainya bagi menyatakan sokongan.

Beliau berharap melalui laman portal itu, idea-idea bernas yang dapat membela bangsa dan negara akan mendapat perhatian kerajaan untuk dipertimbangkan.

Sumber: Bernama

Apa komen anda?