JPJ Lelong Kereta, Semak Status Online

Share Button

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan akan mengadakan lelongan awam di Kompleks JPJ Negeri Sembilan, KM 5.5, Jalan Seremban-Tampin pada 20 Sept ini.

Pengarahnya Saiful Azzri Hamzah berkata syarat dan terma mengenai lelongan awam berkenaan tercatat dalam Dokumen Penjualan Lelong(DPL) yang dijual sejak kelmarin.

“DPL boleh dibeli pada 5 Sept sehingga 20 Sept ini sehingga pukul 12 tengah hari di Kompleks JPJ Negeri Sembilan dengan harga RM50,” katanya.

Beliau berkata pembida yang membeli DPL boleh melihat kenderaan yang akan dilelong mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 13, 14 dan 15 Sept di lokasi yang tercatat pada DPL.

Sementara itu katanya, bermula 11 Sept ini JPJ Negeri Sembilan akan mengadakan kaunter ‘1JPJ’ di Giant Superstore Nilai pada setiap Ahad dari 11 pagi hingga 4 petang.

Katanya antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan motosikal bagi cukai jalan yang tamat tempoh melebihi setahun, pertukaran alamat lesen memandu dan pemilik kenderaan.

Turut diadakan ialah aktiviti MyEG iaitu pembayaran lesen memandu, pembaharuan cukai jalan dan insurans oleh MyEG serta menyemak senarai hitam oleh MyEG. – Bernama

Apa komen anda?