TM & Naza TTDI Bangunkan Projek Bandar UNIFI Pertama

Share Button

Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini menandatangani Perjanjian Perkhidmatan dengan TTDI Land Sdn Bhd – anak syarikat milik penuh Naza TTDI bagi membekalkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) ke TTDI Alam Impian, Shah Alam. Usahasama ini merupakan yang pertama seumpamanya di antara TM dan pemaju perumahan di Selangor di mana TTDI Alam Impian, yang bakal menjadi bandar UniFi PERTAMA di Zon Tengah, dijangka disiapkan pada tahun 2016.

Datuk Zaini Maatan, Naib Presiden, TM Selangor telah menandatangani Perjanjian Perkhidmatan tersebut bagi pihak TM, disaksikan oleh Mohamad Yusman Ammeran, Pengurus Besar, SME, TM manakala Naza TTDI Land telah diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Syarikat Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq Tan Sri SM Nasimuddin sambil disaksikan oleh Zaidi Baharudin, Pengurus Besar, Perancangan dan Pembangunan Produknya.

Dalam ucapannya, Datuk Zaini berkata bahawa perjanjian antara sebuah syarikat pemaju perumahan yang dinamik dan peneraju jalur lebar negara akan membolehkan pemilik hartanah dan penduduk bandar berkenaan untuk memanfaatkan sepenuhnya sambungan jalur lebar yang tersedia di premis-premis di TTDI Alam Impian.

Kedua-dua TM dan Naza TTDI komited untuk memanfaatkan kecekapan utama kami untuk mengubah premis kediaman dan perniagaan di TTDI Alam Impian dengan adanya sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi berlatarbelakangkan pembangunan projek berkonsep mesra alam yang unik dan memiliki landskap yang indah. Malah, ini juga merupakan detik bersejarah kerana perjanjian ini akan mewujudkan Bandar UniFi yang pertama di Zon Tengah. Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada SM Faliq dan Naza TTDI kerana menjadi perintis dengan wujudnya Bandar UniFi yang pertama di Zon Tengah ini,” kata Datuk Zaini.

Menerusi perjanjian ini, bandar TTDI Alam Impian seluas 208 ekar yang terletak di Seksyen 35, Shah Alam ini akan menjadi bandar UniFi yang pertama di Zon Tengah. Pembangunan ini, yang terdiri daripada 1,450 unit kediaman pelbagai jenis seperti banglo, rumah berkembar, rumah teres super, town house, apartmen dan juga unit–unit komersil, akan dilengkapi dengan perkhidmatan HSBB UniFi daripada TM. UniFi ditawarkan sebagai perkhidmatan tiga serangkai merangkumi Internet berkelajuan tinggi, video (Televisyen Protokol Internet atau IPTV) dan Suara, dengan kelajuan dari 5Mbps sehingga 20Mbps menerusi teknologi Fiber-to-the-Home (FTTH). Perkhidmatan ini juga akan memberi nilai yang lebih tinggi kepada pemilik dan penduduk di unit-unit berkenaan menerusi gaya hidup digital yang diperkaya dan pengalaman online yang dipertingkatkan.

Dengan usahasama ini, NAZA TTDI akan menawarkan semua pembeli unit baru di TTDI Alam Impian dengan langganan UniFi VIP 5Mbps secara PERCUMA bagi tempoh maksimum dua (2) tahun.

NAZA TTDI, sebahagian daripada Kumpulan NAZA, terkenal dengan pembangunan bandar terkemuka iaitu Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan sehingga kini telah membina lebih daripada 14,000 unit perumahan dan komersil di Lembah Klang. Syarikat tersebut telah menerima pelbagai anugerah antarabangsa, termasuk Anugerah Hartanah Asia Pasifik, Cityscape Asia dan FIABCI. Antara projek terkininya adalah Platinum Park yang bernilai RM4 bilion, sebuah pembangunan kediaman dan komersil mewah yang bersepadu dan bertaraf dunia di kawasan KLCC yang berprestij serta Pusat MATRADE berhampiran Jalan Duta yang akan menjadi pusat pameran terbesar di Malaysia.

Tahun ini, kami juga akan memberi fokus terhadap kerjasama dengan persatuan-persatuan industri utama sebagai inisiatif untuk meningkatkan capaian kami kepada komuniti SME, dan dalam konteks ini, syarikat-syarikat pemaju hartanah merupakan sebahagian daripada komuniti tersebut. Kolaborasi seperti ini akan membantu meningkatkan kadar penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi di kalangan rakyat Malaysia dan dengan wujudnya bandar yang sedia dilengkapi jalur lebar ini, kami berharap dapat mempercepatkan lagi perkembangan teknologi maklumat seperti yang dirancang dalam Pelan Jalur Lebar Negara. TM akan terus menyokong PKS yang berpotensi melalui usahasama yang akan meningkatkan daya saing produk yang mereka tawarkan, memandangkan PKS menyumbang sebanyak 37% kepada KDNK Malaysia. Berdasarkan statistik, komuniti PKS merupakan antara tunggak pembangunan ekonomi negara,” tambah Datuk Zaini.

TM telah memulakan usaha kolaborasinya pada tahun 2010 dengan dua (2) syarikat pemaju hartanah; Dynasty View Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan HSBB di projek perumahan Seri Austin yang terletak di kawasan Tebrau, Wilayah Iskandar di Johor Bahru; dan Mudra Tropika Sdn. Bhd. bagi penyediaan perkhidmatan HSBB kepada penduduk di Nong Chik Heights yang terletak di Jalan Kolam Ayer, Johor Bahru. Pada awal tahun ini, TM menandatangani Perjanjian Perkhidmatan yang serupa dengan Seri Alam Properties Sdn. Bhd. bagi penyediaan perkhidmatan HSBB di Bandar Seri Alam, Johor Bahru dan baru-baru ini di Kedah dengan EUPE Kemajuan Sdn Bhd untuk penyediaan perkhidmatan HSBB kepada 2 projek perumahan yang baru, The Somerset dan Cinta Sayang Resort Villas di Sungai Petani.

UniFi merupakan penawaran jalur lebar berkelajuan tinggi TM dan telah dilancarkan pada bulan Mac tahun 2010. Kini, ia ditawarkan di 68 kawasan ekonomi dan zon industri utama termasuk Lembah Klang, Cyberjaya, Putrajaya, Kulim Hi-Tech Park dan kawasan industri Bayan Baru.

Perkhidmatan UniFi kini ditawarkan melalui tiga pakej kediaman dan tiga pakej perniagaan. Pakej-pakej kediaman tersebut adalah VIP5 pada kadar RM149 sebulan, VIP10 pada RM199 sebulan dan VIP20 pada RM249 sebulan. Setiap pakej didatangkan dengan penawaran tiga serangkai iaitu Telefon, Internet Berkelajuan Tinggi dan penawaran IPTV asas percuma, HyppTV.

Sementara itu, pakej-pakej perniagaan yang ditawarkan adalah BIZ5 pada kadar RM199 setiap bulan, BIZ10 pada kadar RM599 setiap bulan dan juga BIZ20 pada kadar RM899 setiap bulan. Setiap pakej ini didatangkan sebagai penawaran dua serangkai (suara dan Internet Berkelajuan Tinggi) dengan pelan panggilan yang kompetitif dan pelbagai lagi perkhidmatan nilai tambah tambahan bagi memenuhi keperluan perniagaan seluruh negara.

Untuk senarai lengkap kawasan liputan UniFi dan kesediaan perkhidmatan layari www.tm.com.my. Untuk maklumat lanjut mengenai TM dan produknya untuk pasaran SME, Pengguna dan Kerajaan, layari www.tm.com.my.

Apa komen anda?