Proton Belum Pasti Lancar model EMAS

Share Button

Prototaip Proton EMAS?

Pembuat kereta nasional Malaysia, Proton, belum memutuskan bila akan mula memasarkan kereta konsep EMAS, kata sumber rapat Proton, di sini hari ini.

Beliau berkata apabila keputusan membina atau melancarkan EMAS (Eco Mobility Advance Solution), dibuat, pengumuman akan dibuat kepada orang ramai pada masa yang sesuai.

“Ia merupakan kereta konsep pertama Proton yang berasaskan sistem pendorongan hibrid,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pameran Industri Automotif Malaysia (MAIE) yang diadakan serentak dengan Pameran Kejuruteraan Automotif (AEE) di sini.

Beliau berkata casis EMAS yang direka khusus, mampu menempatkan sistem bateri hibrid dilantai dan memanfaatkan ruang secara maksimum dan pada masa yang sama mengekalkan dimensi keseluruhan kereta kompak.

Kereta empat tempat duduk dan lima pintu sepanjang 3550mm, dilengkapi enjin  endoterma di bahagian depan untuk mengecas semula bateri lithium ion.

Beliau berkata ciri-ciri lain termasuk lampu LED digital kabin daripada solar, sistem telematik canggih, paparan maklumat interaktif, sistem pengurusan bateri, sistem pendingin hawa elektrik serta kamera belakang dan mengundur.

Proton EMAS dipromosikan sebagai Kereta Kecil Global pertama Proton yang bermakna kereta saiz kompak yang dijual di banyak negara di dunia dan bukan sahaja di Malaysia atau rantau tertentu, katanya.

“Menerusi Kereta Kecil Global yang berasaskan EMAS, Proton merancang menjual kereta yang memenuhi piawaian dunia itu, model yang boleh menjadi platform untuk yang lain dan kereta yang mempunyai komponen yang boleh diseumber dari kebanyakan negara di seluruh dunia,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata EMAS adalah kereta konsep dan tidak semestinya Proton akan mengeluarkan model yang sama seperti yang dipamerkan.

Malah, beberapa aspek reka bentuk model baharu Proton mungkin berdasarkan kereta-kereta konsep ini.

Sebagai contoh, reka bentuk Proton Saga FL adalah berasaskan Kasturi, namun ia tidak sama dengan Kasturi dan dalam hubungan ini, adalah tepat untuk mengataskan Proton sudah melancarkan model yang berasaskan reka bentuk salah sebuah kereta konsep dalam siri Pahlawan.

Sementara itu, pada sesi ceramah untuk wakil Malaysia yang menyertai pameran MAIE/AEE di ibu pejabat Nissan di sini awal minggu ini, Eiji Makino, pengurus besar, unit perniagaan pelepasan sifar global Nissan Motors Co Ltd, berkata
Nissan sangat berminat untuk menjual 100 peratus kereta elektrik “Nissan Leaf” di Malaysia.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan Malaysia perlu bersetuju memberikan insentif untuk memperkenal kereta sedan keluarga lima pintu kompak dengan kapasiti lima tempat duduk, dalam pasaran Malaysia.

LEAF ialah singkatan bagi “Leading, Environmentally friendly, Affordable, Family Car” atau Kereta Keluarga Mampu Milik, Mesra Alam, Utama.

Antara lain, kerajaan perlu sedia memberikan pembeli insentif cukai kereta atau subsidi yang akan mengurangkan kos pembelian kereta itu.

Sebagai kereta elektrik, Nissan Leaf tidak menyebabkan pencemaran atau pelepasan gas rumah hijau semasa beroperasi dan mengurangkan pergantungan terhadap petroleum.

Makino berkata setakat ini 2,000 unit kereta elektrik pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran itu, sudah dijual, kebanyakannya di Jepun. – Bernama

Apa komen anda?