Kecilkan Saiz Imej Sebelum Dihantar ke Web, Emel

Share Button

Mungkin anda pernah menerima gambar diambil menggunakan kamera digital yang dihantar menerusi e-mel dan mendapati ia terlalu besar untuk dipaparkan.

Atau anda mungkin juga pernah meletakkan gambar di laman blog dan apabila disemak, paparannya lebih besar dari laman web anda.

Sebenarnya tidak ada masalah berlaku pada komputer atau e-mel. Imej yang lebih besar itu disebabkan ia mempunyai tahap kepadatan tinggi.

Saiz gambar merujuk kepada dua unsur iaitu saiz yang diukur dalam unit sentimeter atau kepadatan resolusi imej yang dikenali sebagai DPI (titik seinci).

Lebih tinggi keupayaan sesebuah kamera digital yang diukur dalam bentuk megapixel itu, lebih tinggi kepadatan gambar yang akan dihasilkan.

Gambar tinggi kepadatannya elok untuk cetakan, tetapi tidak sesuai untuk diletak di laman web atau dihantar menggunakan e-mel kerana masa lebih panjang diperlukan untuk proses penghantaran.

Untuk menyelesaikan masalah itu, anda dinasihatkan mengecilkan terlebih dulu saiz imej yang hendak hantarkan.

Kebiasaannya proses mengecilkan saiz imej memerlukan perisian sokongan seperti Adobe Photoshop atau Paint.

Bagaimanapun, ia agak mahal dan tidak mudah digunakan.

Kali ini, kita akan berkongsikan maklumat perisian yang dinamakan ImageResizer yang boleh dipindah turun secara percuma.

Kelebihannya berbanding perisian lain ialah gambar boleh dikecilkan ketika proses pemilihan. Tidak perlu melancarkan perisian dan mengikuti arahan panjang.

Alamat laman web untuk memindah turun Imageresizer adalah http://download.microsoft.com/download/whistler/Install/2/WXP/EN-US/Image-

ResizerPowertoySetup.exe

Selepas dipindah turun, anda tidak akan dapat melihatnya disenarai perisian seperti perisian lain. Untuk mencapainya, anda hanya perlu memilih ketika imej hendak dihantar. Ikuti langkah seperti berikut:

  1. Pilih arahan penghantaran imej di e-mel atau di laman blog.
  2. Cari imej ingin anda hantar untuk dikecilkan secara automatik.
  3. Klik di atas imej menggunakan butang tetikus sebelah kanan.
  4. Pemilihan saiz akan muncul dan pilih saiz sesuai.
  5. Satu imej baru yang bersaiz kecil seperti dikehendaki akan diwujudkan secara automatik dengan tambahan (small) di belakang nama yang asal.
  6. Kemudian hantarkan imej itu seperti biasa. Perbezaannya dapat dilihat apabila imej itu dipaparkan oleh perisian e-mel penerima arau di laman blog anda. Jika dulu imej dipaparkan besar sehingga sukar hendak dilihat, menggunakan teknik ini gambar yang diterima lebih kecil, menjadikannya lebih cepat untuk dipindah turun dan lebih mudah diuruskan.   Imej yang dipaparkan apabila dihantar tanpa proses pengecilan.
  7. Imej yang dipaparkan selepas proses pengecilan.

    Bagaimanapun, teknik ini tidak sesuai untuk penghantaran imej yang akan dicetak atau disunting kerana kepadatan atau resolusi gambar sudah berkurangan dengan banyak.

    Jika tahu penerima hendak mencetak gambar yang diterima, maka hantarkan imej bersaiz asal tanpa diubah.

    Kemudahan pengecilan imej bersaiz besar memang wujud dalam sesetengah perisian pelunsur, tapi ia tidak mengurangkan kepadatan dan saiz sebenar gambar itu.

    Ia hanya mengecilkan gambar dipaparkan sahaja, berbeza dengan teknik yang kita bincangkan ini. – Azli Paat (BH)

Apa komen anda?