Fujitsu TH550 – Netbook Dengan Monitor Boleh Pusing

Share Button

Fujitsu memang mencuri tumpuan untuk dipamerkan kehebatannya dengan penampilan netbook bersaiz 10.1 inci berwarna hitam yang menggunakan kod modelnya, TH550.

Dari jauh, ia seakan netbook biasa tanpa sebarang keupayaan khusus tapi sebaik membukanya, anda akan terkejut kerana ia mempunyai teknologi empat poin pelbagai sentuh dan tiga kaedah input yang membolehkan pengguna menulis, menaip dan menggerakkan fungsi skrin sesentuh jauh lebih baik.

Ciri teknologi empat poin pelbagai sentuh dan tiga kaedah input menambah pengalaman lancar ketika menggunakan skrin sesentuh yang mengelakkan kegagalan mengesan sentuhan.

Anda boleh lipatkan memusing dan melipatkan monitornya sebelum menukarnya menjadi tablet, magik betul!

Skema warna hitam menonjolkan TH550 yang ringkas dan tampak cantik dengan bahan buatan bersinar menyelaputi skrin manakala papan kekunci diselaputi warna hitam (terdapat juga model berwarna putih).

Sememangnya warna hitam berupaya menyerlahkan apa saja produk netbook bersaiz 10.1 inci

Kombinasi warna saja menampakkan bentuk fizikalnya lebih `kecil’ sementara skrinnya yang boleh diputar 360 darjah tidak mencacatkan rekaannya.

Berat peranti ini mengikut anggaran ialah 1.45 kilogram siap dengan bateri namun ia boleh dianggap sedikit membebankan walaupun dimuatkan pelbagai kemudahan. Bagaimana mahu menjadikannya ringan?

Mungkin Fujitsu perlu ‘bersedia’ mengorbankan beberapa ciri yang jarang digunakan.

Satu lagi persoalan timbul berkaitan tali yang mengikat pen ‘stylus’ dengan kerangka netbook dilihat kurang cantik malah penguji mendapati ia sering tersangkut pada barang lain dalam beg.

Skrin melebar 10.1 inci SuperFine dengan pencahayaan belakang LED 16:9 HD dan output HDMI dilengkap teknologi pencerah paparan yang peka sentuhan di atas resolusi paparan 1366 x 768 piksel memang menakjubkan.

Walaupun kecil, jarak penglihatan sehingga 40 sentimeter dari skrin ke anak mata boleh menampakkan apa yang terpapar di permukaan termasuk laman web yang dibuka.

Apabila diubah menjadi skrin sesentuh, permukaannya tidak terganggu dengan `stylus’ atau terlalu kotor akibat sentuhan jari.

Masalah kecil yang dihadapi ialah baterinya tidak bertahan lama, menurut spesifikasi yang diberi ia mampu bertahan 7.2 jam tapi jika membuka Internet serta melakukan kerja biasa, ia mungkin sekadar lima jam saja.

Kalau mahukan peranti yang mudah alih sebenar, inilah masanya pergi ke kedai dan menyambar Fujitsu TH550 kerana ia antara peranti yang perlu dimiliki malah ketika memakainya di kedai kopi Starbucks, ramai yang bertanyakan model namun jika Fujitsu baik hati, kurangkan sedikit harganya (RM3,688).

Apa komen anda?