Bayar Online Lagi Popular, Dedah Visa

Share Button

Pengguna Internet Malaysia lebih memilih untuk membayar bil mereka menerusi online berbanding menggunakan tunai atau cek, demikian menurut satu kaji selidik.
Kaji selidik itu yang melibatkan 3,156 pengguna internet di enam negara di Asia Pasifik mendedahkan bahawa pengguna internet Malaysia membelanjakan purata bulanan tertinggi bagi membayar bil menerusi online untuk tempoh setahun.

Visa, syarikat teknologi pembayaran global berkata mereka membelanjakan purata RM306 sebulan, lebih tinggi berbanding purata serantau pada RM224.
Ini diikuti responden dari Indonesia, dengan purata bulanan  RM266, dan tanah besar China dengan RM244, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ia berkata jenis bil paling biasa yang dibayar secara online dalam tempoh enam bulan lepas oleh responden Malaysia ialah bagi akses internet, perkhidmatan telefon mudah alih dan bil kad pembayaran.
“Hakikat bahawa pengguna internet Malaysia mencatatkan jumlah purata tertinggi bagi bil bulanan dibayar menerusi online menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia sangat selesa berurusniaga secara elektronik,” kata Pengurus Negara Visa Malaysia Stuart Tomlinson.
“Tahap kecelikan internet yang tinggi di kalangan penduduk Malaysia ditambah dengan prasarana dan perkhidmatan internet yang baik di negara ini merupakan petanda yang baik bagi pertumbuhan IT negara,” katanya. – Bernama

Apa komen anda?