Teknologi Laser Bukan Alasan Kukuh Indonesia Kalah

Share Button

gambar hiasan

Sinaran laser yang lemah tidak akan menjejaskan pandangan mata manusia jika dipancarkan dari jarak jauh contohnya ketika satu perlawanan bola sepak, menurut seorang pakar optometris.

Bekas Pakar Pandangan Mata Hospital Pulau Pinang, Dr Zahimi Chik, berkata sinaran laser akan berbahaya kepada mata sekiranya ia mempunyai daya kekuatan yang tinggi seperti yang digunakan untuk pembedahan.

“Sinaran ini akan merosakkan retina jika ia terkena pada titik pandangan visual mata iaitu mekula walaupun dalam jangka masa singkat.

“Bagaimanapun, jika sinaran itu hanya daripada penunjuk laser seperti “laser pointer” yang digunakan orang ramai sekarang, ia tidak berbahaya kecuali dalam jarak dekat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Zahimi mengulas dakwaan pasukan bola sepak Indonesia tentang gangguan pada mata mereka ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki menentang skuad negara semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, akibat pancaran sinaran laser oleh penyokong Malaysia.

Beliau berkata, sinaran laser yang mampu dibeli kini hanya mempunyai daya kekuatan yang lemah kerana ia dihasilkan dengan tujuan tidak membahayakan pengguna.

“Jika anda ingin memiliki sinaran laser yang kuat, ia menelan belanja jutaan ringgit untuk dimiliki.

“Mustahil untuk penonton bola sepak membawa masuk alat pemancar laser yang boleh menjejaskan pandangan mata ke dalam stadium,” katanya.

Menurut Dr Zahimi, sinaran laser itu mungkin mengakibatkan kesan penglihatan sementara jika disasarkan secara tetap selama beberapa minit di depan mata seseorang.

“Ketika perlawanan Malaysia dan Indonesia semalam, agak sukar untuk mensasarkan mata pemain dalam perlawanan kerana mereka sentiasa bergerak pantas sepanjang perlawanan,” katanya.

Malaysia menewaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan itu, sekali gus membawa bekalan selesa sebelum bertandang untuk perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Indonesia Rabu depan. – BERNAMA

Apa komen anda?