Adakah ITU Iktiraf WiMAX Sebagai 4G?

Share Button

Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (“P1”) mengalu-alukan keputusan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (“ITU”) yang secara rasmi mengiktiraf WiMAX sebagai teknologi 4G.

P1, satu-satunya pengendali WiMAX Asia Tenggara dalam Lembaga WiMAX Forum®, pihak berwibawa antarabangsa terkemuka dalam pergerakan WiMAX, menerima surat rasmi daripada WiMAX Forum® baru-baru ini mengesahkan bahawa WiMAX berada dalam kriteria yang boleh diterima sebagai 4G seperti yang disebut dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh ITU baru-baru ini.

Hampir keseluruhan tahun 2010, wujud perdebatan dalam industri di peringkat antarabangsa sama ada WiMAX boleh dianggap teknologi 4G, walaupun banyak pengendali WiMAX di seluruh dunia menggunakan istilah tersebut. Sebelum ini, ITU telah menegaskan bahawa hanya teknologi IMT-Advanced seperti 802.16m boleh diterima sebagai 4G. P1 dan pemegang lesen WiMAX lain di Malaysia mengendalikan WiMAX pada 802.16e 2.3GHz.

Ketika lawatan beliau ke Malaysia sempena Forum WiMAX Fokus Wilayah Asia Tenggara pada November, Pengerusi dan Presiden WiMAX Forum® Ron Resnick memberitahu bahawa WiMAX Forum® akan mempertikaikan definisi 4G ITU kerana ia bertentangan dengan amalan pasaran global. Bersama-sama dengan Sprint, Jabatan Negara A.S. dan IEEE (persatuan profesional terkemuka dunia untuk pemajuan teknologi), WiMAX Forum® telah menyumbang kepada penarikan balik dan penjelasan ITU berkenaan mesej 4Gnya.

Michael Lai, CEO P1 berkata, “Kami menyambut baik penjelasan ITU berhubung definisi 4G. Sebagai pengendali WiMAX pertama di Asia Tenggara hasil daripada pandangan jauh kerajaan Malaysia, tekad P1 semakin kuat untuk mengembangkan WiMAX demi kebaikan setiap rakyat Malaysia.”

Dalam kenyataannya, ITU berkata: “Berikutan penilaian terperinci atas kriteria teknikal dan operasi yang ketat, ITU telah memutuskan bahawa “LTE-Advanced” dan “WirelessMAN-Advanced” perlu diberikan gelaran rasmi IMT-Advanced. Sebagai teknologi yang termaju ketika ini untuk komunikasi jalur lebar mudah alih wayarles global, IMT-Advanced adalah dianggap sebagai “4G”, walaupun diketahui bahawa istilah ini, sungguhpun belum didefinisikan, boleh digunakan kepada perintis teknologi ini, LTE dan WiMAX, dan kepada teknologi 3G lain yang telah berevolusi dan memberikan penambahbaikan yang besar dalam prestasi dan keupayaan berbanding sistem generasi ketiga terawal yang ketika in digunakan.”

P1 telah melabur kira-kira RM650 juta untuk pelancaran di seluruh negara sejak dua tahun lalu dan kini meliputi 45% daripada penduduk Malaysia. Dengan lebih 218,000 pelanggan, P1 memiliki rangkaian terbesar di negara ini dan mensasarkan untuk meliputi 65% penduduk menjelang 2012.

Apa komen anda?