Bajet 2011 untuk ICT Malaysia

Share Button

Bajet kedua Datuk Seri Najib Razak yang dibentangkan di Dewan Rakyat menggariskan beberapa strategi baru bagi meningkatkan kecekapan ekonomi negara dan meneruskan agenda memantapkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini.

Tarikan utama dilihat pada pengecualikan cukai jualan untuk telefon bimbit termasuk pembantu peribadi digital (PDA) yang berkuatkuasa serta-merta.

Sebelum ini, telefon bimbit tertakluk kepada 10 peratus cukai jualan sedangkan PDA dan GSM diberikan pengecualian cukai menerusi Perintah (Pengecualian) cukai jualan 2008.
Manakala duti import import dan eksais ke atas kereta hibrid juga diberikan pengecualian 100 peratus diteruskan sehingga 31 Disember 2011 dalam usaha meningkatkan pemilikan kereta mesra alam.

Selain itu, aktiviti penjanaan tenaga dari sumber diperbaharui dengan Kerajaan komited membangunkan teknologi hijau bagi memastikan pembangunan mampan yang berupaya diteruskan.

Untuk tujuan terbabit, Elaun Pelaburan Cukai yang dikenakan untuk tenaga masa depan daripada sumber diperbaharui dan aktiviti tenaga efisien akan diteruskan sehingga akhir 2015,” kata Najib di Parlimen.

Sementara itu, pengecualian cukai daripada pendapatan dagangan dikategorikan Certified Emission Reductions dilanjutkan sehingga 2012 yang menunjukkan komtimen Kerajaan dalam mengurangkan pengeluaran karbon bagi memelihara alam sekitar.

Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM411 juta pada 2011 bagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan kerana ia landasan untuk meningkatkan nilai tambah dalam sektor ekonomi,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan merancang membentuk Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai pusat sehenti untuk merangka dasar dan strategi dalam menyediakan ekosistem yang kondusif yang menjana inovasi.

Satu Akta akan digubal untuk membolehkan UNIK mengkomersialkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institut penyelidikan,” katanya.

Turut mendapat perhatian, penyediaan sejumlah RM200 juta ditawarkan untuk pembelian produk kreatif seperti filem, drama dan dokumenari yang dihasilkan tempatan.

Di samping itu, program MY Creative Content akan dilaksana bagi menggalakkan pembangunan penciptaan kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan yang membabitkan peruntukkan RM119 juta,” katanya.

Manakala Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia akan membekalkan dana permulaan berjumlah RM100 juta yang diberikan dalam bentuk pinjaman ‘soft’.

Selain itu, sebanyak RM857 juta dikhususkan untuk syarikat elektrik dan elektronik tempatan bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global,” tambah PM.

Tidak dilupakan, Kerajaan akan membekalkan Program Latihan Peningkatan Keusahawanan (EETP) untuk melatih 500 usahawan teknologi yang menarik lebih ramai pelabur.

Apa komen anda?